Skip to main content

Singapura

Lebih 70 tetamu sertai sesi iftar silang agama MKAC

Persatuan Bertindak Ginjal bagi Masyarakat Islam (MKAC) menganjurkan majlis berbuka puasa yang menghimpunkan lebih 70 tetamu daripada pelbagai latar belakang agama.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Persatuan Bertindak Ginjal bagi Masyarakat Islam (MKAC) menganjurkan majlis berbuka puasa yang menghimpunkan lebih 70 tetamu daripada pelbagai latar belakang agama.

Majlis yang berlangsung pada Selasa (4 Mac) itu bertujuan memperkukuh keharmonian silang agama serta berkongsi makna dan nilai ibadah puasa bersama masyarakat berbilang kepercayaan.

Selain anggota dan rakan kerjasama MKAC, majlis itu turut dihadiri pemimpin serta wakil daripada pelbagai pertubuhan agama di Singapura, termasuk Buddha, Kristian, Hindu, Taoisme, Yahudi, Zoroastrianisme, Kepercayaan Baha'i, dan Sikh.

"Walaupun kami di Singapura berbeza latar belakang, kami juga sangat serupa dalam banyak aspek. Tradisi dan sistem kepercayaan kita mungkin berbeza-beza, tetapi nilai asas yang menyokong agama-agama yang telah ditetapkan pada dasarnya adalah sama. Iftar ialah cara terbaik untuk membawa orang yang berbeza agama bersama-sama berbuka puasa dan membina persahabatan yang kukuh," kata Presiden MKAC, Encik Ameerali Abdeali.

Presiden MKAC, Encik Ameerali Abdeali
PERKONGSIAN AMALAN BERPUASA SILANG AGAMA

Selain menikmati juadah berbuka puasa bersama, para tetamu turut menyertai sesi perbincangan mengenai amalan puasa dalam pelbagai agama.

Sepanjang sesi itu, para peserta dan wakil-wakil agama itu berkongsi pengalaman serta bertukar pandangan mengenai makna dan kepentingan berpuasa dalam kepercayaan masing-masing.

"Seperti mana yang kita tahu dalam agama-agama yang lain, mereka juga mempunyai puasa di dalam definisi mereka sendiri. Seperti untuk penganut Kristian, mereka menyambut 'Lent'. Dari situ kita boleh berkongsi segala faedah-faedah dan juga pengajaran yang kita boleh dapatkan dalam amalan berpuasa ini. Kita boleh memupukkan dan mengeratkan lagi silaturrahim kita antara kaum-kaum lain," kata Pegawai Eksekutif MKAC, Encik Muhammad Arif Jamaludin.
Selain menikmati juadah berbuka puasa bersama, para tetamu turut menyertai sesi perbincangan mengenai amalan puasa dalam pelbagai agama.
PROGRAM RAMADAN MKAC

Sempena Ramadan ini, MKAC sudah melakarkan pelbagai kegiatan bagi menceriakan penerima bantuannya, khususnya pesakit ginjal.

Antara program utama yang dianjurkan ialah 'Raih Keberkatan', di mana lebih 260 penerima bantuan akan menerima barangan keperluan dapur serta diraikan dalam majlis berbuka puasa.

Usaha itu bertujuan meringankan beban mereka serta memastikan semua lapisan masyarakat dapat menikmati keberkatan bulan Ramadan.
Sumber : BERITA Mediacorp/SY
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita