Lebih 70 relawan bantu agihkan daging korban kepada 120 keluarga bekas pesalah
Lebih 120 keluarga bekas pesalah di merata negara menerima agihan daging korban hari ini (15 Jul).
SINGAPURA: Lebih 120 keluarga bekas pesalah di merata negara menerima agihan daging korban hari ini (15 Jul).
Daging-daging itu didermakan mereka yang melakukan ibadah korban menerusi SalamSG Korban.
Lebih 70 relawan daripada sembilan rangkaian pemulihan pertubuhan Melayu/Islam (MMO) berkumpul di kawasan lapang bersebelahan Masjid An-Nur di Marsiling pagi tadi sebelum melakukan penghantaran daging-daging tersebut.
Antara pertubuhan yang menjayakan usaha tahun ini termasuk New Life Stories, Rumah Peralihan Pertapis, Rumah Peralihan Jamiyah, Rumah Peralihan Rise Above, Yayasan MENDAKI, AMP Singapura Persatuan Persuratan Pemuda Pemudi Melayu (4PM), FITRAH dan Persatuan Khidmat Sosial India Muslim (IMSSA).
Setiap keluarga yang layak menerima tiga kilogram daging korban, berbanding hanya dua kilogram pada tahun lalu.

(Gambar: Syawal Yusoff)
Menteri Negara Ehwal Dalam Negeri, Dr Muhammad Faishal Ibrahim yang ditemui pihak media berkata acara itu 'memberi ruang kepada rangkaian MMO untuk memainkan peranan' untuk melakarkan usaha-usaha yang baik.
"Kita hendak memberikan satu ruang pembangunan positif kepada semua, di mana para sukarelawan mereka dapat menyumbang kepada satu usaha yang murni dan mereka yang menerima pun dapat merasakan keprihatinan, kasih sayang, sokongan yang diberikan kepada mereka daripada masyarakat kita," kata beliau.
Menurut Dr Faishal, beliau gembira melihat peningkatan kepada jumlah MMO dan relawan yang menjayakan pengagihan tahun ini.
"Kita dapat melihat sokongan daripada pelbagai lapisan masyarakat, mereka turun padang, mereka hendak menghulurkan bantuan di mana mereka nak memberikan keselesaan kepada keluarga-keluarga ini mereka tidak perlu datang untuk mengambilnya, kita ke rumah mereka," tambahnya.

(Gambar: Syawal Yusoff)
Dr Faishal yang juga Menteri Pembangunan Negara berharap sifat ihsan yang dipamerkan melalui usaha itu dapat membangkitkan semangat para penerima.
"Kami mahu menyokong pada mereka. Memberi sokongan yang mantap pada mereka dan kami mahukan anak-anak mereka membesar dengan positif. Kami mahukan mereka boleh membangunkan keluarga mereka dengan lebih baik walaupun mereka menghadapi cabaran pada masa kini," tambah Dr Faishal.
27 pertubuhan termasuk masjid, Mahkamah Syariah, M³@bandar dan Persatuan Bahasa Melayu Universiti Kebangsaan Singapura (PBMUKS) yang membentuk rangkaian pemulihan MMO.
Selain menghulurkan bantuan kepada keluarga bekas pesalah, rangkaian itu turut bekerjasama dengan Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA), Jabatan Penjara Singapura (SPS) dan Biro Narkotik Pusat (CNB) untuk menyebarkan mesej antidadah serta mengendalikan program-program pemulihan bagi bekas pesalah sejak 2021.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.