Skip to main content

Singapura

Lebih 70% flat BTO Bidadari siap dibina; Woodleigh daerah pertama selesai

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 21 May 2023 07:32PM Dikemas Kini : 22 May 2023 12:08AM
SINGAPURA: Lebih 70 peratus flat Bina Ikut Tempahan (BTO) di estet baru Bidadari sudahpun siap dibina, dengan bakinya dijadual siap menjelang 2025, menurut Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) pada Ahad (21 Mei).

Flat-flat yang siap dibina itu membentuk 6,418 daripada 8,872 flat yang dilancarkan sejak November 2015.

Estet tersebut, yang pertama kali didedahkan sebagai kawasan perumahan baru pada 2013, terdiri daripada 12 projek BTO merangkumi empat daerah - Alkaff, Bartley Heights, Park Edge dan Woodleigh.

HDB menyatakan bahawa tiga projek BTO di Woodleigh - Woodleigh Glen, Woodleigh Hillside dan Woodleigh Village - adalah yang pertama disiapkan. Projek-projek itu siap antara September 2022 dan Mac 2023.

Pembinaan bagi ketiga-tiga projek itu bermula sebelum 2020 tetapi tertangguh akibat COVID-19.

Setakat sehingga 30 April, lebih 90 peratus pembeli di daerah Woodleigh sudah mengambil kunci rumah mereka, dedah HDB.

HDB menambah daerah Alkaff, iaitu yang terbesar di Bidadari dengan lebih 4,000 unit, akan menjadi projek seterusnya untuk disiapkan.

"Empat daripada lima projek di daerah Alkaff sudah siap dibina sejauh ini, dan penduduk sudahpun berpindah ke flat baru mereka," menurut HDB.

Baki projek, Alkaff Breeze, dijadual siap menjelang pertengahan 2024, jelas HDB, sambil menambah bahawa lagi empat projek di daerah Bartley Heights dan Park Edge dijangka siap menjelang pertengahan 2025.

"Dengan lebih banyak flat siap dibina dalam masa dua tahun akan datang, Bidadari menepati sasaran untuk merealisasikan wawasan 'Masyarakat dalam Taman', menurut HDB, di mana para penduduk boleh "hidup dan berhubung dengan keluarga dan rakan-rakan di tengah-tengah persekitaran ibarat taman".

"Secara keseluruhannya, HDB merancang untuk menyiapkan 20,000 flat baru pada 2023. Pemerintah akan terus melancarkan lebih banyak flat di pelbagai bandar untuk mengekalkan bekalan perumahan awam yang stabil dan memastikan flat kekal dimampui dan boleh diakses rakyat Singapura," jelas HDB.
Sumber : CNA/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita