Lebih 66% penduduk S'pura setuju pasang kamera dalam kereta sewa
Dua pertiga atau lebih 66 peratus penduduk Singapura bersetuju bahawa kenderaan seperti teksi, kereta sewa privet dan limusin seharusnya dibenarkan memasang kamera yang menghadap ke bahagian dalam.
SINGAPURA: Dua pertiga atau lebih 66 peratus penduduk Singapura bersetuju bahawa kenderaan seperti teksi, kereta sewa privet dan limusin seharusnya dibenarkan memasang kamera yang menghadap ke bahagian dalam. Demikian menurut hasil tinjauan online yang diterbitkan pada Khamis (6 Jun).
Peranti sedemikian, lazimnya dikenali sebagai 'in-car camera' atau kamera yang dipasang pada bahagian dalam kereta, dibenarkan bagi teksi, kereta sewa privet dan limusin selagi ia mematuhi garis panduan yang ditetapkan oleh Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) berhubung pemasangan serta penggunaannya.
(Gambar hiasan)
Sebanyak 64 peratus responden menyokongnya, manakala lagi 22 peratus tidak bersetuju. Baki responden pula berkata mereka tidak pasti.
Dalam catatan Facebooknya, Menteri Negara Kanan Perhubungan dan Penerangan merangkap Pengangkutan Janil Puthucheary berkata LTA akan menimbangkan hasil tinjauan itu apabila ia menyemak peraturan-peraturan mengenai pemasangan kamera dalam kereta dalam masa beberapa bulan akan datang.
"Hanya para pengawal data yang diluluskan seperti agensi-agensi Pemerintah dan pengendali akan dibenarkan akses untuk menyokong siasatan dan usaha penguatkuasaan," tambah beliau.
Unit maklum balas dan pendampingan masyarakat MCI, REACH - yang mengarahkan tinjauan tersebut - menyatakan sekitar 90% responden berpendapat peranti sedemikian membantu melindungi kepentingan kedua-dua penumpang dan pemandu.
Dalam kalangan mereka yang bersetuju bahawa kamera tersebut seharusnya dibenarkan merakam audio dan video, kira-kira 40 peratus juga yakin terdapat peraturan yang mencukupi untuk melindungi privasi serta mengelakkan pembocoran data peribadi. Sementara itu, 25 daripada mereka pula meluahkan kebimbangan tentang rakaman perbualan atau wajah mereka di dalam video.
REACH menjalankan tinjauan online itu untuk meninjau sentimen orang ramai mengenai penggunaan kamera di dalam kenderaan, menurutnya. Ia djalankan antara 15 hingga 22 Mac lalu ke atas 1,000 penduduk Singapura yang berusia sekurang-kurangnya 15 tahun.
Februari lalu, satu pertikaian mengenai tambang antara pemandu Gojek dengan seorang penumpang menjadi tular setelah rakaman video insiden tersebut dikongsi ramai melalui lelaman media sosial.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.