Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Lebih 650 kanak-kanak di CDC Barat Laut terima bantuan tahunan baru S$500

Lebih 650 kanak-kanak dari CDC Barat Laut akan mendapat bantuan tahunan S$500 setiap seorang di bawah satu skim bantuan baru.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 14 Jan 2023 07:42PM Dikemas Kini : 14 Jan 2023 08:59PM

SINGAPURA: Lebih 650 kanak-kanak dari CDC Barat Laut akan mendapat bantuan tahunan S$500 setiap seorang di bawah satu skim bantuan baru.

Skim itu membantu keluarga-keluarga yang mempunyai anak kecil dengan setiap kanak-kanak akan mendapat geran tunai selama sekurang-kurangnya lima tahun. 

Skim bantuan 'Little Steps' itu bertujuan membiayai perbelanjaan harian keluarga-keluarga berkenaan agar dapat menumpukan perhatian kepada pembangunan anak mereka.

"Kami akan membeli susu tepung, lampin, dan lain-lain. Kerana (harga) susu tepung sekarang sudah meningkat dengan agak banyak, sekitar 40 hingga 50 peratus. Jadi kami akan menggunakan ini untuk membeli susu tepung," kata penerima KidSTART Singapore, Seah Jia Ming.

"Lebih-lebih lagi dengan kenaikan GST dan semua itu. Dan sebagai satu keluarga yang besar, kami juga perlu memastikan yang mereka punya makanan yang mencukupi dan kami juga membayar bil tepat pada masanya jadi kami tidak perlu bayar caj bagi bayaran lewat, terutamanya membayar bil," kata seorang lagi penerima KidSTART Singapore, Shalini Devi. 

Geran itu akan diagihkan kepada keluarga-keluarga dengan anak berusia hingga enam tahun, yang menyertai program KidStart SG dan menetap di CDC Barat Laut.

Ia memanfaatkan dana yang dikumpul semasa kempen pungutan dana CDC Barat Laut yang bertujuan untuk membantu penduduk kurang berkemampuan.

Kempen itu dilancarkan dua tahun lalu dan berjaya mengumpul S$2 juta dalam tempoh tujuh minggu. 

Berucap di majlis pelancaran skim itu pada Sabtu (14 Jan), Timbalan Perdana Menteri Lawrence Wong berkata bayaran itu boleh menyediakan bantuan segera, lebih-lebih lagi semasa tempoh kadar inflasi yang lebih tinggi ini. 

Beliau memberi jaminan bahawa pihak pemerintah sedang melakukan yang terbaik untuk membantu rakyat tempatan menangani kesan kenaikan harga barangan. 

Namun, penduduk juga boleh memainkan peranan. 

"Semangat saling membantu dan menjalin persahabatan adalah sesuatu yang kita sentiasa pegang di Singapura. 

"Ini bermakna kita perlu terus menyokong inisiatif akar umbi dan bukan mengetepikannya sedang pihak pemerintah meningkatkan lagi sokongan sosialnya. Kita perlu mengukuhkan rangkaian sosial di lapangan supaya mereka benar-benar boleh berdikari. 

"Dan menjadi sebuah masyarakat yang benar-benar inklusif - di mana pemerintah giat menyokong mereka yang memerlukan bantuan, tetapi kami juga mempunyai rangkaian individu dan organisasi yang giat memainkan peranan dalam mengukuhkan lagi kompak sosial," kata Encik Wong.

Keluarga-keluarga yang layak akan disertakan secara automatik ke dalam program itu.

CDC Barat Laut juga berhasrat untuk melanjutkan geran itu selepas tempoh lima tahun.

Sumber : CNA/IA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan