Skip to main content

Singapura

Lebih 6,000 pendaftaran baru diterima sejak MyHajSg dibuka semula

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 24 Feb 2023 07:06PM Dikemas Kini : 27 Feb 2023 02:22PM

BERITAMediacorp: Lebih 6,000 pendaftaran haji baru diterima sejak portal MyHajSg dibuka Selasa lalu (21 Feb) untuk pendaftaran baru haji.

Ini membawa jumlah tunggakan dalam senarai menunggu kepada kira-kira 41,000 pemohon.

Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) memberitahu BERITAMediacorp, lebih daripada 60 peratus pendaftar berumur 50 tahun ke atas.

GOLONGAN MUDA MULA DAFTAR IBADAH HAJI, KHUATIR MASA MENUNGGU LEBIH LAMA

Nur Aqilah, 28 tahun, teruja apabila pendaftaran haji dibuka semula tiga hari lalu melalui portal MyHajSg.

Beliau sudah lama memendam niat untuk menunaikan rukun Islam kelima pada usia yang muda dan mula menabung sejak usianya 17 tahun.

Related article image
Cik Nur Aqilah (Gambar: Nurfazirah Azman)
Menurut beliau, anggota keluarganya yang lain sudah mendaftar pada 2015 dan masih menunggu untuk ditawarkan tempat.

"Seluruh keluarga masih tengah menunggu, ibu bapa saya, abang-abang saya dan juga isterinya dan kakak saya. Setahu saya giliran mereka masih beribu di belakang," kongsi pemohon ibadah Haji, Nur Aqilah Abdul Rahman.

Beliau akur harus menunggu lama, lebih-lebih lagi dengan ribuan lagi pendaftaran baru.

Namun beliau tetap menaruh harapan dapat menunaikan ibadah haji sebelum mencecah usia 40 tahun.

Beliau memilih untuk menabung lebih awal kerana bimbang harga pakej haji akan terus meningkat pada tahun-tahun mendatang.

"Saya mendaftar pada usia muda sebab saya tahu saya akan tunggu lama dan saya kira balik setiap tahun kami cuma ada 900 jemaah sahaja yang pergi Haji, jadi kalau kita kira saya harus tunggu lagi 40 tahun iaitu masa yang lama, pada masa itu saya sudah berumur 70 tahun," luah beliau.

Seorang lagi yang berhasrat mengerjakan haji di samping ibu bapa ialah Aisyah Azhari yang mendaftar tiga tahun lalu.
Related article image
Cik Aisyah Azhari bersama dengan ibunya. (Gambar: Nurfazirah Azman)
"Saya mendaftar bersama ibu bapa yang sudah lanjut usia, jadi saya rasa sedikit khuatir bahawa jikalau dapat giliran, mungkin ibu bapa saya tidak sihat atau tidak berkesempatan untuk pergi ke haji. Saya anggarkan mungkin dalam 30 tahun baru dapat giliran untuk pergi. Jadi mungkin pada waktu itu saya sendiri tidak begitu sihat atau kuat seperti sekarang," kongsi Cik Aisyah Azhari.

Beliau sangat berharap dapat pergi bersama kedua-dua orang tuanya ketika mereka masih sihat.

Cik Aisyah turut berkongsi bahawa ada kenalannya yang mendaftarkan nama bayi mereka supaya anak-anak mereka dapat mengerjakan haji apabila mereka mencecah usia 30 tahun.

Cik Nur Aqilah dan Cik Aisyah berharap kuota haji Singapura dapat ditambah supaya lebih ramai orang boleh menyempurnakan ibadah haji.
Related article image
Cik Aisyah Azhari bersama dengan ibunya. (Gambar: Nurfazirah Azman)
MUIS memberitahu BERITAmediacorp ia akan terus bekerjasama dengan Kerajaan Arab Saudi untuk mendapatkan tempat haji tambahan untuk mengatasi baki pemohonan haji yang tertunggak.

Di samping itu, MUIS turut memaklumkan menerusi hantaran Facebook pada Rabu lepas (22 Feb) bahawa masalah teknikal yang berlaku di portal MyHajSG telah dapat diselesaikan.

Mereka yang ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenai pendaftaran Haji, boleh melungsuri lelaman http://haj.sg/
Sumber : BERITA Mediacorp/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita