Lebih 600 pengecas kenderaan elektrik dipasang di tempat letak kereta 12 bulan akan datang
Pemandu kenderaan elektrik (IV) boleh mengecas kenderaan mereka di tempat letak kereta awam menjelang akhir tahun ini. Pihak berkuasa pada Jumaat (3 Sep) memberi tender untuk membina lebih 600 tempat mengecas kenderaan.
(Gambar: TODAY)
SINGAPURA: Pemandu kenderaan elektrik (IV) boleh mengecas kenderaan mereka di tempat letak kereta awam menjelang akhir tahun ini. Pihak berkuasa pada Jumaat (3 Sep) memberi tender untuk membina lebih 600 tempat mengecas kenderaan.
Dalam satu kenyataan bersama, Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) dan Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA) mengumumkan bahawa tender projek itu telah diberikan kepada dua konsortium - satu yang dibentuk oleh ComfortDelGro Engineering dan Engie South East Asia dan satu lagi gabungan Primech A&P, Charge+, Sunseap Group dan Oyika.
Kemudahan itu akan dipasang di lebih 200 tempat letak kereta di estet-estet perusahaan dan perumahan awam, tempat meletak kereta awam, pusat masyarakat dan Daerah Pusat Perniagaan (CBD), dalam tempoh 12 bulan akan datang.
Di bawah tender rintis ini, konsortium ComfortDelGro akan memasang 210 tempat mengecas di kawasan Tengah, 120 di bahagian Timur dan 140 di bahagian Barat manakala Primech A&P dan rakan-rakan kongsinya akan memasang 50 tempat mengecas di bahagian Utara dan 100 di bahagian Timur Laut.
Menteri Pengangkutan S Iswaran mengumumkan demikian di satu acara industri LTA.
Beliau berkata: "Sasarannya ialah untuk menguji kumpulan pertama tempat mengecas itu menjelang hujung tahun ini."
Langkah itu adalah sebahagian daripada rancangan Pemerintah untuk memasang 40,000 tempat mengecas di tempat letak kereta awam menjelang 2030 sebelum menamatkan penggunaan kereta minyak petrol dan diesel secara beransur-ansur menjelang 2040.
Setakat ini, beberapa syarikat seperti pembekal elektrik dan gas SP Group dan firma-firma petrol memperkenalkan tempat-tempat mengecas di pusat beli belah dan pam minyak.
Pihak berkuasa menyatakan tender itu dianugerahkan berdasarkan mutu khidmat mengecas yang ditawarkan oleh konsortium tersebut, model perniagaan mereka dan harga mengecas yang kompetitif.
Encik Iswaran berkata Kementerian Pengangkutan dan LTA sedang mengusahakan reka bentuk struktur pasaran bagi khidmat mengecas kenderaan elektrik di tempat letak kereta di perumahan awam. Mereka juga akan mempertimbangkan sebarang kerja-kerja naik taraf yang diperlukan bagi infrastruktur elektrik.
Beliau juga mengumumkan bahawa garis panduan nasional bagi pembangunan kenderaan tanpa pemandu sudah dikemas kini.
Piawai yang dikemas kini, dikenali sebagai Rujukan Teknikal 68 dan pertama kali diterbitkan pada 2019, mengandungi beberapa penambahbaikan terhadap bidang-bidang seperti pembelajaran mesin, keselamatan siber dan keselamatan operasi dalam reka bentuk sofwe.
Menurut Encik Iswaran, LTA dan pengendali pengangkutan awam juga akan melancarkan tender untuk menggunakan sistem tenaga suria yang baru di seluruh infrastruktur pengangkutan awam.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.