Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Lebih 600 peminat setia berlayar bersama Ziana Zain; Resorts World Cruises mahu tingkatkan tawaran produk seperti hiburan untuk tarik pelancong Melayu/Islam serantau

Tahun 2023 mengukir satu lagi detik bersejarah buat penyanyi Ziana Zain.

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Tahun 2023 mengukir satu lagi detik bersejarah buat penyanyi Ziana Zain.

Awal minggu ini, penyanyi bersuara lantang itu mengadakan persembahan eksklusif di atas kapal pesiaran Genting Dream yang melakukan satu pelayaran tiga hari daripada 15 hingga 18 Januari. 

Konsert satu malam sahaja anjuran Resorts World Cruises (RWC) itu adalah sebahagian daripada siri 'Songbirds' untuk para penumpang kapal pesiarannya.

"Sangat-sangat bersyukur. Saya tidak pernah membuat persembahan di atas kapal. Jadi saya tidak tahu macam mana rasanya. Jadi rupanya macam pentas biasa sahaja cuma kapal yang bergerak, pentas tak bergerak," seloroh Ziana.

(Gambar: Resorts World Cruises)

HIBURKAN PEMINAT WALAU KURANG SIHAT

Selama lebih sejam, sekitar 600 peminat Ziana Zain dari Singapura dan Malaysia dihiburkan dengan lagu-lagu hits beliau sepanjang lebih tiga dekad.

Antara lagu-lagu genre balada dan tradisional yang mengimbau kenangan peminat termasuklah 'Sangkar Cinta', 'Kekal', 'Dingin', 'Kalau Mencari Teman' dan 'Madah Berhelah'.

(Gambar: Syawal Yusoff)

"Anda boleh bernyanyi bersama dan anda semua menghargai kami sebagai seorang penyanyi jadi saya memang rasa sangat bertuah dan seronok," kata Ziana, yang baru sahaja diiktiraf dengan 'Anugerah Legenda' majalah NONA, baru-baru ini.

Walaupun kurang sihat semasa konsert tersebut, Ziana tetap berjaya menggegarkan panggung kapal setinggi 18 tingkat itu, demi para peminat.

Segmen interaksi bersama penonton seperti pertunjukan bakat menyanyikan lagu Ziana dan menari bersamanya turut diselang-selikan untuk memeriahkan lagi suasana.

"Saya rasa seperti lebih intim dengan peminat, jadi saya lebih bersahaja. Dan peminat suka apabila saya 'impromptu'. Kak Gee bukan orang yang mengikut skrip. Jadi kalau mereka berikan skrip, lain pula nanti jadinya," kongsi Ziana yang lebih mesra dipanggil Kak Gee.

IMPIKAN KONSERT HEBAT SEBELUM USIA 60 TAHUN

Tahun lalu, beliau dan adiknya, penyanyi popular Anuar Zain telah mengadakan konsert jelajah di Singapura dan Malaysia yang mendapat sambutan cukup memberangsangkan.

Ziana, 55 tahun berkongsi harapannya agar dapat mengadakan sebuah lagi konsert berdua atau solo sebelum usianya mencecah 60 tahun.

"Kita (beliau dan Anuar Zain) ingin adakan konsert berskala besar. Impian kami ialah untuk ada sistem lampu, lagu dan prop yang bagus. Kalau dapat dua beradik Alhamdulillah. Kalau salah seorang kami dapat solo pun Alhamdulillah. 

"Konsert yang tidak dapat dilupakan yang orang akan ingat sampai bila-bila. Kak Gee tak akan putus harap untuk ada konsert, insya-Allah ada rezeki, ada," ujar Ziana.

(Gambar: Resorts World Cruises)

Sejak album sulungnya pada 1991, lebih 10 buah album sudahpun dihasilkan termasuk album kompilasi.

Namun, dek perubahan penerimaan muzik masa kini, Ziana berkata beliau lebih selesa menghasilkan lagu-lagu barunya dalam bentuk 'single'.

"Saya memang tidak akan membuat album kerana sekarang orang ramai lebih sukakan 'single'. Sebab untuk adakan album solo berbeza dengan dulu. Tapi mungkin sekarang Kak Gee kata tidak tapi tiba-tiba keluar dengan album solo kan? Saya ikut keadaan semasa macam mana," kata Ziana.

Album terakhirnya yang bertajuk 'Dingin' dikeluarkan pada 2008.

(Gambar: Syawal Yusoff)

Beliau yang sinonim dengan lagu-lagu bernada tinggi terbuka untuk bekerjasama dengan mana-mana komposer yang serasi dengannya.

"Asalkan lagu itu kena dengan Kak Gee, bagus dan 'boleh layan', saya terima. Kita jangan tengok orang itu baru kita pandang rendah.

"(Menyanyi) 'Kalau aku tak suka aku Swipe' itu awak rasa?" jelas Ziana, yang juga minat dengan lagu popular nyanyian Alyph.

Mungkinkah kita akan dapat melihat satu kolaborasi dengan Alyph?

AMALKAN PEMIKIRAN POSITIF

Di balik kehidupannya yang penuh glamor, hal keperibadiannya seperti keretakan rumahtangganya sering diperbualkan.

Namun buat Ziana, beliau menjadikannya sebagai iktibar dan mahu lebih tumpukan kepada kesejahteraan dirinya dan orang-orang tersayang.

"Kehidupan mengajar Kak Gee bersikap positif. Kak Gee seboleh-boleh hendak keliling diri dengan orang yang bersikap positif. Jadi itu yang membuat kita kuat. Fikir yang baik-baik, yang baik-baik akan datang," nasihat Ziana.

(Gambar: Syawal Yusoff)

Jadual ibu tunggal empat orang anak itu juga semakin padat tahun ini.

Selain menerima undangan menyanyi untuk beberapa acara, beliau juga baru selesai menamatkan penggambaran untuk sebuah drama khas karya pengarah Erma Fatima untuk Aidilfitri akan datang.

LEBIH BANYAK KEGIATAN UNTUK PENUMPANG MUSLIM BOLEH DIJANGKAKAN

RWC sebelum ini mengundang pelakon dan penyanyi Malaysia, Janna Nick untuk membuat persembahan.

Ia berkata siri konsert khas tersebut adalah antara usaha syarikat itu menambah daya tarikan khususnya kepada penumpang Melayu.

Melihat sambutan cukup memberangsangkan untuk kedua-dua artis tersebut, RWS merancang untuk mengundang  dengan lebih ramai artis tempatan dan serantau untuk membuat persembahan di atas kapal.

Baru-baru ini juga, kapal pesiaran pertama di Asia-Pasifik yang menawarkan hidangan Halal, turut mengadakan bengkel memasak bersama Cef selebriti Mel Dean dalam pelayaran tiga hari ke Kuala Lumpur dan Pulau Pinang.

Sumber : BERITA Mediacorp/SY
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan