Lebih 60 peniaga dijangka meriahkan bazar raya online WGS & DPPMS
Lebih 60 peniaga dijangka akan menjayakan Bazar Raya Geylang Serai anjuran Wisma Geylang Serai (WGS) dan Dewan Perniagaan dan Perusahaan Melayu Singapura (DPPMS) pada tahun ini.
Bazaar-kita.sg 2021. (Gambar: WGS)
SINGAPURA: Lebih 60 peniaga dijangka akan menjayakan Bazar Raya Geylang Serai anjuran Wisma Geylang Serai (WGS) dan Dewan Perniagaan dan Perusahaan Melayu Singapura (DPPMS) pada tahun ini.
Sejumlah 62 peniaga sudah membuat pendaftaran untuk menyertai portal sehenti Bazaar-kita.sg setakat sehingga Isnin (28 Mac).
Perkembangan itu didedahkan dalam satu kenyataan media bersama antara Wisma Geylang Serai (WGS) dan Dewan Perniagaan dan Perusahaan Melayu Singapura (DPPMS) pada Isnin (29 Mac).
Wadah e-dagang itu adalah hasil inisiatif WGS dan DPPMS yang bertujuan untuk membantu para pengusaha dan peniaga kecil-kecilan untuk memperluaskan peluang perniagaan masing-masing - sekalipun dalam persekitaran yang mencabar - dengan menggalak mereka untuk mendakapi pendigitalan.
(Gambar: Squisito/Facebook)
Sebagai pengganti bazar yang tidak dapat diadakan secara fizikal, Bazaar-kita.sg juga menawarkan pelbagai kemudahan beli-belah sehenti bagi memenuhi keperluan Ramadan dan sambutan Hari Raya Aidilfitri para pengguna.
Para pengguna juga boleh menjangkakan beraneka macam pilihan dengan tawaran-tawaran yang berbaloi oleh pelbagai peniaga - dari makanan dan minuman (F&B) hingga ke pendidikan, busana, dandanan dan banyak lagi.
(Gambar: pastels.sg/Facebook)
Berikut adalah antara perniagaan yang bakal menampilkan jualan mereka menerusi Bazaar-kita.sg:
- Istimewa Nasi Padang (F&B - Sajian Melayu)
- Squisito (F&B - Sajian Itali)
- VainPout (F&B - Kuih Raya)
- Vintage Tree Pte Ltd (F&B)
- Gelareh Gallery (Perhiasan Rumah dan Gaya Hidup)
- Songkok Cap Beca (Busana Tradisional)
- Pastels.SG (Busana Wanita dan Kanak-Kanak)
- AqiZ Closetz (Perniagaan dari Rumah - Runcit)
Para peniaga akan menawarkan produk jualan menerusi salah satu daripada dua wadah e-dagang yang akan berpadu tenaga dengan WGS dan DPPMS.
Rakan-rakan kerjasama itu adalah:
- Shopee, wadah e-dagang yang merupakan antara terbesar di Asia Tenggara dan Taiwan,
- Bungkus, laman pasaran bagi perniagaan makanan bersijil Halal atau dimiliki pengusaha Muslim.
(Gambar: Vainpout/Facebook)
BERITAmediacorp difahamkan bahawa sekitar separuh daripada peserta Bazaar-Kita.sg terdiri daripada penyedia F&B, manakala bakinya adalah penjual runcit.
Para pengusaha yang berminat untuk memanfaatkan wadah Bazaar-Kita.sg boleh memilih antara tiga pakej berharga antara S$88 hingga S$220.
Ia menawarkan khidmat pemasaran dan akses kepada portal pembelajaran DPPMS serta khidmat penghantaran dan pengurusan bayaran.
(Gambar: Gelareh SG/Facebook)
Selain membeli-belah, Bazaar-Kita.sg bakal membawakan program-program khas WGS secara maya termasuk:
- Dari Persada Budaya - Persembahan muzik oleh artis-artis Melayu ternama tempatan termasuk Ramli Sarip, Iskandar Ismail, Farhan Shah, Haryani Bakri, Liwani Izzati dan ramai lagi
- Suara Sensasi - Rancangan hiburan khas yang menampilkan finalis-finalis peraduan SUARA WGS2.0
- Komedi Bongkar Periuk - Himpunan sketsa bulan Ramadan yang dilakonkan oleh Suhaimi Yusof
- Jom Buat Kek - Rancangan memasak 'live' oleh SisterCookies yang mengajar cara-cara membuat kek, kuih-muih dan sajian Hari Raya seperti lepat
- E-Buka Show - Rancangan berbuka puasa yang menghimpunkan pihak-pihak berkepentingan dan masyarakat Melayu/Islam tempatan menerusi wadah online, dengan disertakan dengan Azan untuk berbuka puasa, wawancara dan hiburan 'live'
- Kegiatan Kesihatan Masyarakat Secara Maya dengan kerjasama Hospital Tan Tock Seng - taklimat kesihatan, sesi aerobik impak rendah dan bengkel memasak.
Para pemilik perniagaan dan individu yang ingin menyertai portal tersebut boleh membuat pendaftaran menerusi laman www.bazaar-kita.sg.
Portal itu dijangka siap sepenuhnya selewat-lewatnya Khamis (1 Apr).
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.