Skip to main content

Singapura

Lebih 60% golongan dewasa muda SG akui tanggungjawab keluarga jejas kesediaan kewangan jangka panjang

Tinjauan terbaharu mendapati lebih 60 peratus golongan muda di Singapura merasakan bahawa tanggungjawab keluarga menjejas kesediaan kewangan mereka bagi jangka panjang.

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 29 Jun 2026 09:31PM Dikemas Kini : 27 Jul 2026 11:32AM
SINGAPURA: Tinjauan terbaharu mendapati lebih 60 peratus golongan muda di Singapura merasakan bahawa tanggungjawab keluarga menjejas kesediaan kewangan mereka bagi jangka panjang.

Dengan jangka hayat meningkat kepada hampir 84 tahun, timbul tekanan tambahan untuk menjaga anggota keluarga tersayang bagi tempoh lebih lama.

Tinjauan Asia Care itu, yang dijalankan kumpulan pelaburan global Manulife, melibatkan sekitar 9,000 responden di Asia, termasuk lebih 1,000 penduduk Singapura.

Golongan muda berusia antara 18 hingga 24 tahun merasa paling dibebani, dengan lebih 80 peratus bimbang tentang kesediaan kewangan bagi jangka panjang.

Sebanyak 75 peratus individu berusia antara 25 hingga 34 tahun turut merasakan beban tanggungan keluarga.

Mereka yang berusia 35 tahun ke bawah, misalnya, memberi 40 peratus hasil pendapatan mereka kepada anggota keluarga.

Menurut Manulife, perkara tersebut boleh menjejas kewangan peribadi seseorang bagi keperluan masa depan.

Lebih 70 peratus daripada golongan dewasa muda berusia sehingga 24 tahun pula berkata mereka menangguhkan rawatan perubatan disebabkan oleh tanggungjawab sebagai penjaga.

Ini walaupun hampir 90 peratus akur tentang peri penting pengurusan kesihatan secara proaktif sebagai persiapan untuk menghadapi usia lebih lanjut.

Selain kesihatan dan kesejahteraan diri, lebih 90 peratus orang dewasa Singapura ingin mencapai kebebasan kewangan dan berdikari.

Lebih 40 peratus juga menghargai privasi dan maruah, keupayaan membuat keputusan sendiri, serta kebebasan untuk mengembara, selain akses kepada jagaan bermutu.

Sementara itu, lebih separuh bimbang tidak mempunyai simpanan dan pelaburan yang mencukupi untuk mencapai kebebasan kewangan pada kemudian hari.

Lagi 40 peratus pula risau kerana mereka tidak mempunyai aliran pendapatan yang stabil.

Hampir 80 peratus juga bimbang akan kehabisan wang simpanan sebelum menutup usia.

Sungguhpun demikian, penyelidik menemukan jurang antara niat dengan tindakan.

Sekitar 80 peratus responden masih bergantung kepada simpanan peribadi untuk membiayai keperluan persaraan dan jagaan, yang menurut para pakar, mungkin tidak cukup untuk menyokong jangka hayat yang lebih panjang.

Ini memandangkan wang simpanan tidak memberikan aliran pendapatan yang stabil sepanjang masa.
Sumber : CNA/AI/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita