Skip to main content

Singapura

Lebih 570,000 warga emas SG akan terima bonus Earn and Save bernilai S$400 hingga S$1,000 pada Mac

Bonus Earn and Save itu dimasukkan secara automatik ke dalam Akaun CPF penerima yang layak.

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 20 Mar 2025 11:44AM Dikemas Kini : 20 Mar 2025 09:43PM
SINGAPURA: Lebih 570,000 warga emas Singapura akan menerima S$400 hingga S$1,000 pada lewat bulan ini sebagai sebahagian daripada Pakej Majulah yang diperkenalkan pada 2024.

Ia adalah bayaran pertama bonus tahunan yang diumumkan pada Rapat Umum Hari Kebangsaan 2023 sebagai sebahagian daripada Pakej Majulah bernilai S$9 bilion.

Dalam kenyataannya pada Khamis (20 Mac), Kementerian Tenaga Manusia, (MOM) mengatakan Bonus Earn and Save itu dimasukkan secara automatik ke dalam Akaun CPF mereka.

Bonus itu diberi bagi menambah tabungan persaraan warga emas yang masih bekerja.

Ia diberi kepada mereka yang lahir pada 1973 atau sebelumnya dan masih bekerja serta mempunyai pendapatan S$500 hingga S$6,000 sebulan dalam Tahun Taksiran sebelumnya.

Mereka juga mesti tinggal di rumah yang mempunyai Nilai Tahunan tidak lebih S$31,000 dan tidak memiliki lebih daripada sebuah hartanah.

Jumlah bonus yang lebih tinggi akan diberikan kepada mereka yang mempunyai pendapatan bulanan lebih rendah.

Mereka yang mempunyai pendapatan bulanan S$500 hingga $2,500 akan menerima S$1,000, manakala mereka yang memperoleh lebih daripada S$2,500 hingga $3,500 akan mendapat S$700.

Warga emas dengan pendapatan lebih S$3,500 hingga S$6,000 akan menerima S$400.

Para penerima Bonus Earn and Save itu akan dimaklumkan menerusi SMS pada April setelah wangnya dimasukkan ke dalam akaun CPF mereka.

Mereka yang tiada telefon bimbit pula akan diberitahu menerusi surat.

Dalam kenyataannya, itu MOM turut mengingatkan orang ramai supaya berwaspada terhadap penipuan.

Kementerian itu berkata bahawa pemberitahuan SMS yang dihantar daripada "gov.sg" akan memaklumkan tentang faedah yang bakal mereka terima, dan mereka tidak akan diminta untuk membalas SMS, mengklik mana-mana pautan atau memberikan sebarang butiran kepada pengirim.

Mesej tentang pembayaran bonus tidak akan dihantar melalui WhatsApp atau platform pemesejan mudah alih yang lain.

Orang ramai boleh menyemak kelayakan mereka bagi bonus itu di laman web govbenefits, dengan log masuk menggunakan Singpass.

 
Sumber : CNA/SU/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita