Skip to main content

Singapura

Lebih 55% Muslim SG masih belum buat perancangan legasi secara menyeluruh

Anggaran Waktu Membaca:
Lebih 55% Muslim SG masih belum buat perancangan legasi secara menyeluruh

Acara Perkampungan Perancangan Legasi Islam (ILPV) 2025. (Gambar: Nazirah Jamzuri)

SINGAPURA: Jumlah anggota masyarakat Melayu/Islam yang sudah membuat penamaan CPF, insurans dan wasiat meningkat lebih seganda berbanding tahun lalu.

Ini termasuk mereka yang sudah membuat perancangan bagi legasi mereka dan memberikannya kepada entiti MUIS seperti masjid, madrasah dan wakaf.

Peningkatan itu didedahkan Pemangku Menteri bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Dr Faishal Ibrahim di edisi kedua acara Perkampungan Perancangan Legasi Islam (ILPV) siang tadi (27 Sep).
 

Pemangku Menteri bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Dr Faishal Ibrahim pada 27 Sep. (Gambar: Nazirah Jamzuri)

“Pencapaian ini juga hasil kerjasama rapat MUIS dengan pelbagai agensi-agensi Pemerintah serta kumpulan karyawan, golongan asatizah dan masyarakat kita. Saya mengalu-alukan penyertaan lebih ramai golongan karyawan dan asatizah untuk membimbing masyarakat Islam kita tentang perancangan legasi," kata Dr Faishal.

Namun, lebih banyak usaha diperlukan memandangkan lebih 55 peratus orang Islam Singapura masih lagi belum membuat perancangan legasi mereka secara keseluruhan.

LANCAR BUKU PANDUAN

Buku panduan dilancarkan pada 27 Sep. (Gambar: Nazirah Jamzuri)

Usaha ini diharap dapat diperkukuhkan lagi dengan pelancaran sebuah buku panduan bagi membantu masyarakat Islam Singapura membuat perancangan legasi secara menyeluruh.

Berjudul “The Final Amanah – Guiding Singaporean Muslims on Loss and Legacy”, buku yang diterbitkan oleh Kumpulan Kerja Perancangan Legasi Islam (ILPW) itu merangkumi bimbingan jelas iaitu daripada perancangan sebelum kematian sehinggalah pengurusan selepas seseorang meninggal dunia.

Ia dilancarkan oleh Dr Faishal di acara tersebut.

Dalam ucapannya, Dr Faishal berkata, "ILPW juga telah menyiapkan sebuah buku panduan yang ringkas dan mudah difahami untuk masyarakat, dengan sumbangan daripada pakar undang-undang, kewangan dan agama, untuk menyokong kesedaran yang semakin meningkat tentang perancangan legasi Islam."

"Buku panduan ini bertujuan menjadi teman peribadi anda dalam perjalanan perancangan legasi. Ia menawarkan panduan yang jelas, langkah demi langkah, sama ada anda baharu sahaja bermula atau sedang menyokong orang tersayang pada waktu sukar," tambahnya.

Dalam pada itu, buku itu menyediakan maklumat berkenaan Perancangan Legasi Islam dari aspek undang-undang dan kewangan termasuk hukum agama.

"Saya yakin ramai dalam masyarakat akan mendapati buku panduan ini bermanfaat. Saya menggalak masyarakat untuk mengambil alih tugas merancang legasi sendiri. Manfaatkan inisiatif yang telah disediakan dan merujuk kepada asatizah atau ahli profesional yang dipercayai, supaya anda dapat membuat keputusan yang tepat bagi masa hadapan dan bagi orang yang tersayang," ujar Dr Faishal.

MASYARAKAT DIGALAK PERTIMBANG PEMBERIAN LEGASI KEPADA MMO, MASJID, WAKAF

Acara Perkampungan Perancangan Legasi Islam (ILPV). (Gambar: Nazirah Jamzuri)

Selain merancang untuk ahli keluarga sendiri, masyarakat juga digalak mempertimbangkan pemberian legasi termasuk sumbangan kepada badan-badan Melayu/Islam (MMO), masjid, madrasah atau kepada wakaf dan dana-dana masyarakat lain.

Kemantapan masyarakat menurut Dr Faishal, bergantung kepada pembinaan aset bersama seperti Wakaf Masyarakat Singapura
(WMS) untuk menampung keperluan keagamaan dalam jangka masa panjang.

"Menerusi wakaf, manfaatnya bukan sahaja dapat diraih oleh masyarakat, tetapi juga kepada penyumbang, dalam bentuk pahala yang berkekalan," kongsi Dr Faishal.

HADIRIN DAPAT SIAPKAN LPA, ACP, PENAMAAN CPF ANTARA LAIN DENGAN BIMBINGAN PROFESIONAL

Cik Rozlinda dan suami, Encik Hanafi, antara hadirin yang sertai ILPV 2025. (Gambar: Nazirah Jamzuri)
Di acara itu juga, para hadirin juga boleh mendapatkan khidmat dan bimbingan profesional untuk menyiapkan antara lain Surat Kuasa Berkekalan (LPA), Perancangan Jagaan Lanjut (ACP), penamaan Tabung Simpanan Pekerja (CPF), perlindungan insurans, serta penyediaan wasiat.

Usaha sebegini dialu-alukan oleh peserta seperti Encik Hanafi Asmore dan isterinya, Rozlinda Abdul Rahim.

Pasangan yang mempunyai tiga orang anak lelaki itu berbesar hati dapat menyiapkan LPA di acara itu.

Ini selain mendapatkan nasihat dan pemahaman lanjut tentang apa yang boleh dilakukan sekiranya mereka hilang keupayaan mental untuk membuat keputusan sendiri.

"Apa yang kita pelajari ialah tentang urusan-urusan yang harus diperhatikan dan harus diambil tahu apabila kita tidak mendapat membuat keputusan untuk diri kita sendiri. Jadi, saya rasa bagus untuk anak-anak saya mengetahui keputusan yang mereka akan lakukan untuk saya dan isteri saya sekiranya kita sakit dan tidak dapat membuat keputusan itu," kongsi Encik Hanafi kepada wartawan Nazirah Jamzuri.

"Ramai dalam kalangan kita yang tidak terfikir tentang perkara-perkara seperti LPA dan wasiat. Dengan acara seperti yang diadakan hari ini, saya rasa masyarakat kita akan lebih peka tentang apa yang mereka boleh lakukan untuk merancang ke hadapan sebelum perkara yang tidak diingini terjadi," tambahnya.

Sentimen yang sama turut dikongsi isterinya, Cik Rozlinda.

"Selama beberapa bulan ini, keluarga saya banyak yang mengenali orang yang sakit tetapi tidak tahu bagaimana untuk membuat keputusan kerana mereka tidak melakukan LPA. Sebab itu, saya rasa adalah mustahak kita tahu sebagai orang Islam apa anak-anak atau keluarga kita akan lakukan sekiranya kita menghadapi demensia kerana kes demensia juga semakin meningkat sekarang, terutama dalam kalangan orang tua," ujar beliau.

TEMA "MASYARAKAT KITA, LEGASI KITA"
Ketua, Wakaf Masyarakat Singapura, Dana Masyarakat, Nur Ayuni Affandi Salleh. (Gambar: Nazirah Jamzuri)

Selain itu, para hadirin juga dapat menyertai dua forum yang membincangkan realiti-realiti keluarga yang kompleks termasuk isu berkaitan mualaf dengan keluarga bukan Islam serta tentang panduan bagi hak wanita dalam harta dan perancangan Islam.

Dengan tema "Masyarakat Kita, Legasi Kita", ILPV 2025 bertujuan untuk menjadikan perancangan legasi lebih senang dan mudah diakses untuk masyarakat.

"Tujuannya untuk memberi panduan bahawa perancangan legasi bagi masyarakat Islam bukan sahaja terhad kepada Faraid, tetapi ia juga merangkumi pelbagai pilihan perancangan yang selaras dengan syariah. Buat kali kedua, acara ini diadakan bagi meningkatkan kesedaran masyarakat tentang pentingnya perancangan legasi Islam," menurut Ketua, Wakaf Masyarakat Singapura, Dana Masyarakat, Nur Ayuni Affandi Salleh.

"Dengan ini, ia juga menjadi peluang untuk keluarga menimba ilmu bersama, mendapatkan juga nasihat pakar, dan melengkapkan diri dengan pelbagai pilihan perancangan di bawah satu bumbung," tambahnya.

Edisi pertama acara itu diadakan tahun lalu sempena Bulan Wakaf.

Sumber : BERITA Mediacorp/nj
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita