Lebih 530 suntikan selesema diberikan di 3 farmasi runcit
Lebih 530 suntikan vaksin selesema diberikan di farmasi runcit setakat 26 November, di bawah satu percubaan untuk meluaskan akses vaksin dalam masyarakat, menurut Kementerian Kesihatan (MOH).

(Gambar: iStock)
Dilancarkan pada bulan lalu, program itu membolehkan ahli farmasi yang sudah menamatkan latihan untuk memberi suntikan selesema di lokasi-lokasi berikut:
- Guardian Health & Beauty di NEX
- Unity Pharmacy di Parkway Parade
- Watsons Singapore di Paragon
Ia adalah sebahagian daripada pelan lebih meluas untuk mengkaji bagaimana ahli farmasi boleh memainkan peranan lebih besar dalam jagaan kesihatan awam.
MOH sebelum ini menyatakan ia berharap sekurang-kurangnya 200 orang akan mendapatkan suntikan selesema menerusi program itu.
Namun ia menambah bahawa jumlah itu bukanlah had yang ditetapkan.
Menjawab pertanyaan Mediacorp, MOH menyatakan khidmat vaksinasi di bawah insiatif itu akan terus ditawarkan di ketiga-tiga farmasi berkenaan.
Orang ramai boleh pergi ke salah satu daripada tiga farmasi itu untuk mendapatkan suntikan selesema.
Mereka juga boleh membuat janji temu untuk mendapatkan vaksinasi melalui laman farmasi berkenaan.
Apabila Mediacorp mengunjungi ketiga-tiga farmasi berkenaan pada petang Isnin (2 Dis), ia tidak melihat sebarang pelanggan yang beratur atau datang ke farmasi itu untuk mendapatkan vaksinasi.
Pekerja di Guardian dan Watsons memberitahu Mediacorp bahawa terdapat slot vaksinasi tanpa perlu membuat janji temu pada Isnin serta Selasa.
Sementara itu, ruang di mana pesakit mendapatkan suntikan selesema di cawangan Unity Pharmacy di Parkway Parade juga sunyi sepi.
Kedua-dua Guardian Health & Beauty dan FairPrice Group yang memiliki Unity Pharmacy berkata mereka mendapat sambutan menggalakkan sejauh ini.
Seorang jurucakap FairPrice Group berkata pihaknya sedang menimbangkan untuk melatih lebih ramai ahli farmasi bagi memenuhi permintaan bagi suntikan selesema itu.
Warga Singapura yang layak mendapatkan vaksinasi di farmasi-farmasi ujian itu akan menerima subsidi pemerintah yang sama seperti di klinik-klinik umum Skim Bantuan Kesihatan Masyarakat (CHAS).
Bayaran bersama untuk suntikan vaksin itu dihadkan pada S$9 dengan S$35, sama dengan di klinik-klinik CHAS.
Caj sebenar di setiap farmasi mungkin berlainan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.