Lebih 5,200 kucing peliharaan dikembiri, dipasang mikrocip menerusi program percuma untuk pemilik haiwan berpendapatan rendah
Sebaliknya, Cik Firdani Seman dan suaminya terpaksa menyusun perancangan kewangan terlebih dahulu sebelum membawa kucing-kucing mereka menjalani prosedur itu secara berperingkat.
Ketika ditemui BERITA Mediacorp di kediamannya di Bukit Batok, Pegawai Pesakit Kanan yang berusia 40 tahun itu berkata: "Cabaran yang kami lalui dengan adanya 13 ekor kucing sudah tentunya kos."
Mula memelihara kucing pada 2019, bilangan haiwan peliharaannya bertambah secara beransur-ansur sehingga kini mencecah 13 ekor, berusia antara lapan bulan hingga tujuh tahun.
"Namun, ia bukan satu beban untuk kami kerana kami sudah menganggap mereka sebagai keluarga dan anak-anak kami," tambahnya.
KOS TINGGI PAKSA PROSEDUR DILAKUKAN SECARA BERPERINGKAT
Tekanan kos itu lebih dirasai apabila tiba masanya untuk mengembirikan kesemua kucingnya.
Sebelum adanya Program Sokongan Pengembirian Kucing Peliharaan (PCSS), kos untuk mendapatkan khidmat mengembirikan dan memasang mikrocip bagi kesemua kucingnya terlalu tinggi untuk ditanggung secara serentak.
“Jadi kami perlu membuat perancangan kewangan terlebih dahulu dan melakukannya secara berperingkat,” ujar Cik Firdani.
Sepanjang tempoh dua tahun, beliau dan suaminya mengembirikan serta memasang mikrocip bagi 12 ekor kucing mereka secara berperingkat, dengan jumlah kos keseluruhan menelan belanja hampir S$1,800.
Keadaan itu berubah apabila Cik Firdani mengetahui tentang PCSS menerusi carian dalam talian.
Yuki, kucing bongsunya yang berusia lapan bulan, antara sekitar 80 ekor kucing peliharaan yang dikembiri dan dipasang mikrocip menerusi PCSS semasa acara 'Spay Day' pada 20 Julai.
Program yang diperkenalkan pada 1 September 2024 itu menyediakan khidmat pengebirian dan pemasangan mikrocip secara percuma kepada isi rumah berpendapatan rendah yang layak.
Ia dibiayai menerusi Garden City Fund, selain sumbangan orang ramai melalui giving.sg.
Dianjurkan Perkhidmatan Haiwan dan Veterinar (AVS), ia merupakan acara ketujuh dan diadakan di Pusat Pengurusan Haiwan (AMC), yang terletak di Sungai Tengah Road.
Sehari sebelum itu, BERITA Mediacorp berpeluang mengikuti perjalanan Yuki dari kediaman Cik Firdani ke AMC dengan kerjasama Persatuan Kebajikan Kucing (CWS).
Selepas pulih, kucing-kucing itu dibawa pulang oleh pemilik masing-masing bersama pek penjagaan yang mengandungi makanan, snek dan pasir kucing.
Dengan penuh lega, Cik Firdani berkata: “Bantuan ini sangat bermakna bagi kami kerana ia dapat mengurangkan beban kewangan.
“Program ini juga membantu kucing-kucing kami mendapatkan penjagaan penting seperti pengebirian untuk mengawal pembiakan, manakala mikrocip dapat membantu mengesan mereka jika hilang.”
LEBIH 5,200 KUCING DIKEMBIRI, DIPASANG MIKROCIP SEJAK 2024
Turut hadir semaca acara 'Spay Day' ialah Setiausaha Parlimen Kanan Pembangunan Negara merangkap Pendidikan Dr Syed Harun Alhabsyi.
Bercakap kepada media selepas meninjau operasi 'Spay Day' di AMC, Dr Syed Harun menzahirkan rasa "senang hati" melihat semakin ramai pemilik kucing tampil mengembirikan haiwan peliharaan mereka.
“Ini menunjukkan bahawa ramai yang prihatin dan memahami manfaat mengembirikan kucing dan kita harap ini dapat terus dilakukan, selain memberi jaminan kepada keluarga bahawa proses ini sesuatu yang selamat bagi haiwan peliharaan mereka,” kata beliau.
BANTU PEMILIK LAKSANA TANGGUNGJAWAB
Menyambut baik PCSS, Cik Firdani berkata: “Tidak semua pemilik mampu menanggung kos penjagaan yang tinggi walaupun mereka sayangkan haiwan mereka.
“Program ini membantu pemilik menjadi lebih bertanggungjawab dan pada masa yang sama mengurangkan masalah pembiakan kucing yang tidak terkawal,” katanya.
Selain mengembiri dan memasang mikrocip pada kucing, para pemilik kucing juga perlu
mendapatkan lesen untuk kucing mereka selewat-lewatnya pada 31 Ogos.
Mulai 1 September, ia menjadi satu kesalahan di bawah Akta Haiwan dan Burung untuk memelihara kucing tanpa lesen.
Pemilik yang gagal mematuhi syarat pemeliharaan kucing dan syarat lesen boleh dikenakan denda sehingga S$5,000 mulai 1 September 2026.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.