Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Lebih 500,000 pokok ditanam sejak projek 1 juta pokok dilancar

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 15 Apr 2023 06:13PM Dikemas Kini : 15 Apr 2023 09:56PM

SINGAPURA: Usaha Singapura bagi menanam sejuta batang pokok di merata negara, sudah mencapai separuh sasarannya.

Orang ramai kini digesa agar memainkan peranan untuk mewujudkan sebuah bandar dalam alam semula jadi serta membantu memerangi perubahan iklim.

Sepanjang 60 tahun lalu, kawasan simpanan alam semula jadi dan laluan penghubung taman telah menjadi sebahagian daripada usaha menghijaukan Singapura.

Ia bermula dengan kempen menanam pokok yang sudah menjadi satu tradisi sehingga hari ini.

Lebih 75,000 anggota masyarakat telah membantu menanam 500,000 batang pokok sejak 2020.

Gerakan itu dijangka mencapai sasaran 1 juta pokok menjelang 2027 iaitu tiga tahun lebih awal.

"Sejauh ini, kita telah menanam sebanyak 500,000 pokok untuk menjadikan program ini berjaya. Untuk meraikan 60 tahun usaha menghijaukan Singapura, kami NParks akan mengadakan berbagai-bagai acara dan aktiviti, peluang untuk masyarakat bersama-sama NParks menanam lebih banyak pokok sepanjang tahun ini," kata Kartini Omar, Pengarah Kumpulan Lembaga Taman Negara.

Dr Leong Chee Chiew, Pesuruhjaya Taman & Rekreasi, Lembaga Taman Negara pula berkata: "Ini tidak akan tercapai jika seluruh masyarakat tidak bekerjasama dengan kami.


Oleh itu, salah satu perkara yang kami katakan Bandar dalam Alam Semula Jadi perlu mencapai adalah pengawasan masyarakat kerana itulah kemampanan."

Sentimen yang dikongsi Dr Leong itu turut disokong oleh Menteri Pembangunan Negara, Desmond Lee.

"Kami akan melakukan usaha yang lebih besar lagi, untuk mengubah Singapura menjadi sebuah Bandar dalam Alam Semula Jadi, sebagai salah satu teras utama Pelan Hijau Singapura. Kami akan menampilkan ciri-ciri alam semula jadi ke dalam kawasan bandar secara intensif agar kawasan bandar dan alam semula jadi boleh wujud bersama dengan lebih baik," ujar Encik Lee.

Antara usaha-usaha termasuk memulihara tanaman dan spesies haiwan tempatan di samping memulihkan habitat hutan.

Ia diharapkan dapat mengurangkan kesan perubahan iklim seta meningkatkan kesejahteraan fizikal dan mental rakyat Singapura.

Sumber : CNA/AI/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan