Lebih 500,000 pekerja tempatan disokong melalui Insentif Pertumbuhan Pekerjaan setakat Ogos 2021
SINGAPURA: Data Kementerian Tenaga Manusia (MOM) menunjukkan bahawa setakat sehingga Ogos lalu, lebih 500,000 penduduk tempatan diambil bekerja di bawah Insentif Pertumbuhan Pekerjaan (JGI).
Skim itu yang dimulakan pada September 2020 memberi subsidi gaji kepada para majikan untuk menggajikan rakyat tempatan semasa pandemik sekarang.
Sejauh manakah ia akan menjejas rancangan syarikat-syarikat untuk mengambil pekerja baru apabila skim itu berakhir Mac ini?
Pengendali F&B, The Social Kitchen, menggajikan para pekerja berkeperluan khas.
Menurutnya, ia dapat berbuat demikian dalam keadaan ekonomi tidak menentu kerana ada skim JGI.
"Tentunya ia membantu dari segi kos tenaga kerja terutama semasa tempoh pemutus rantaian jangkitan apabila perniagaan turun mendadak," kata Cik Avelyn Lee, pengarah The Social Kitchen.
The Social Kitchen merancang untuk membuka tiga lagi cawangan dan mengambil 25 pekerja baru.
Ia berharap skim JGI akan dilanjutkan selepas Mac ini supaya dapat meringankan kos tenaga kerjanya.
Harapan ini turut dikongsi syarikat logistik PLG.
Di bawah skim JGI, ia mengambil lebih 60 pekerja tempatan dan mengurangkan jumlah pekerja hijrahan daripada separuh kepada sepertiga jumlah keseluruhan tenaga kerjanya.
Namun, PLG tidak pasti jika ia akan dapat terus melakukan demikian apabila skim JGI tamat.
Bagi syarikat pembersihan LS 2 pula, skim JGI membantunya menambah pekerja hampir 20 peratus tahun lalu untuk memenuhi permintaan lebih tinggi bagi khidmat pembersihan dan membasmi kuman.
Pemerintah menyeru para majikan supaya jangan menangguhkan rancangan mengambil pekerja baru dengan harapan skim JGI akan diteruskan untuk selama-lamanya.
Menjelang pembentangan Belanjawan 2022, syarikat-syarikat tempatan berharap lebih banyak sokongan akan diberikan terutama berkaitan dengan tenaga kerja.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.