Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Lebih 5,000 keluarga penerima zakat MUIS terima daging korban

Secara keseluruhannya, lebih 19,000 kilogram daging korban diagihkan kepada lebih 5,000 keluarga penerima zakat Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS).

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Secara keseluruhannya, lebih 19,000 kilogram daging korban diagihkan kepada lebih 5,000 keluarga penerima zakat Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS).

Usaha itu dijalankan hasil kerjasama MUIS, Jawatankuasa SalamSG Korban serta kesemua 54 masjid yang menawarkan ibadah korban tahun ini.

Daging korban yang diagihkan merupakan sumbangan masyarakat Melayu/Islam yang mendermakan sebahagian daripada kambing korban yang mereka pesan menerusi khidmat yang dikendalikan SalamSG Korban.

100 RELAWAN TURUN PADANG KE MASJID ASSYAKIRIN, HANTAR DAGING KORBAN KE LEBIH 300 KELUARGA

Sempena menyambut Awal Muharram, sekitar 100 relawan turun padang ke Masjid Assyakirin di Taman Jurong pada Sabtu (30 Jul), untuk membantu menghantar daging korban ke rumah penerima zakat.

Bermula sebelum pukul 9.00 pagi lagi, para relawan berjaya mengagihkan sekitar 600 kilogram daging dan 700 paket nasi beriani kepada lebih 300 keluarga penerima zakat serta rumah-rumah kebajikan termasuk Casa Raudha, Melrose Home dan Rumah Penjagaan St Andrews.
'''
"Kami turut mempelawa dua keluarga penerima zakat, selain daripada menerima daging, mereka juga menggembleng tenaga, menghulurkan bantuan dan menjadi sebahagian daripada sukarelawan kita. Ini selaras dengan tema utama gerakan SalamSG iaitu Suburkan Salam, Sebarkan Rahmah," kata Pengerusi Eksekutif Masjid Assyakirin, Ustaz Muhammad Hafiz Abdul Rashid.
'''
Tambahnya: "Kami harap sikap berkorban, bantu membantu dan gotong royong dapat terus kita lestarikan di kalangan masyarakat Singapura dan masjid menjadi wadahnya".

SEMANGAT KERJASAMA PAPAR ERTI SEBENAR IBADAH KORBAN: KADIR MAIDEEN

Acara pengagihan daging korban turut disertai Presiden MUIS, Mohamed Sa’at Abdul Rahman dan Ketua Eksekutif MUIS Kadir Maideen.
''
"Pengagihan hari ini memaparkan erti sebenar ibadah korban iaitu untuk menyebarkan rahmah kepada semua. Saya menyeru agar masyarakat Islam terus mempamerkan semangat murah hati dan sentiasa memberi dalam kehidupan seharian mereka," kata Encik Kadir.
''
"Masyarakat kita telah bersikap sungguh fleksibel dan dapat menyesuaikan diri mereka agar ibadah korban di luar negara dapat diadakan sepenuhnya. Pelaksanaan korban seperti ini membolehkan kita meneruskan syiar Islam kita dan pada masa yang sama dapat menikmati daging yang diterbangkan ke sini," ujarnya.

ADAKAN IBADAH KORBAN DI SINGAPURA DALAM PROSES PERBINCANGAN

Tahun ini, hampir 5,500 kambing disembelih di Australia yang ditempah menerusi SalamSG Korban dengan 54 masjid mengambil bahagian bagi pelaksanaan ibadah korban.

Buat tiga tahun berturut-turut, tiada ternakan hidup dibawa masuk ke Singapura, dengan daging korban dari Australia dibekukan dan dihantar ke Singapura untuk diagihkan.

Tiga syarikat dipilih 54 masjid di sini bagi menyediakan daging korban tahun ini.

"Dalam proses memperkemaskan program ibadah korban ini, kami akan lihat sama ada ibadah tahun akan datang boleh dilakukan di sini atau di luar negeri. Saya yakin ini akan disambut baik masyarakat kita yang kini menjalani kehidupan luar biasa pasca pandemik," kata Encik Kadir.
Sumber : BERITA Mediacorp/hk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan