Lebih 5,000 keluarga memerlukan terima daging korban PERTAPIS, MTFA dan Jamiyah

SINGAPURA: Sebanyak 2,000 kg daging korban diagihkan PERTAPIS kepada 500 penerima bantuannya hari ini (9 Jul).
Ini berkat lebih ramai sohibul korban yang melakukan ibadah itu menerusi PERTAPIS.
Jumlah sohibul korbannya meningkat kepada lebih 250 orang iaitu 20% lebih tinggi berbanding tahun lalu.
“Kami amat berterima kasih kepada para sohibul korban kerana telah mengamanahkan PERTAPIS untuk menjalankan ibadah korban tahun ini. Dengan sokongan kuat daripada masyarakat, kami juga dapat terus membantu mereka yang memerlukan dengan pelbagai program untuk meningkatkan taraf kehidupan mereka,” kata Presiden PERTAPIS, Hussaini Abdullah.

Para penerima bantuan mendapat kira-kira 4 kg daging setiap satu.
Selain daging, mereka juga menerima baucar pasar raya dan barang keperluan dapur.
"Saya amat berbesar hati dan berterima kasih atas bantuan yang telah diberikan PERTAPIS selama ini. Alhamdulillah syukur kepada Tuhan kerana saya dapat daging Korban lagi untuk tahun ini. Baucar yang diberikan PERTAPIS juga sedikit sebanyak akan membantu saya dengan perbelanjaan bulanan untuk dapur saya," kata Cik Kamariah Johan, 60 tahun.
Kesemua penyembelihan kambing korban PERTAPIS dilaksanakan di Australia pada 29 Jun lalu dan dagingnya diterbangkan ke Singapura.
Turut hadir untuk sama-sama mengagihkan daging korban di Rumah Peralihan PERTAPIS siang tadi ialah tetamu terhormat, Datuk Bandar CDC Tenggara, Fahmi Aliman.
Encik Fahmi berpendapat penganjuran korban sangat bermakna bagi menyemarakkan lagi nilai-nilai kemasyarakatan di Singapura.
"Saya amat teruja dengan sokongan yang diberikan kepada Pertapis. Ini adalah perkara yang sangat menggalakkan sebab ia menunjukkan bahawa masyarakat kita mempunyai sikap keprihatinan terhadap mereka yang lebih memerlukan," jelas Encik Fahmi.
"Saya harap semangat sifat ingin membantu ini diteruskan, dan saya juga harap lebih
ramai lagi tampil ke hadapan sebagai sukarelawan untuk membantu kegiatan kemasyarakatan seperti ini,” tambah beliau.
RELAWAN MTFA HANTAR DAGING KE RUMAH PENERIMA BANTUAN
Persatuan Dana Amanah Muslimin (MTFA) juga mengagihkan daging korban yang didermakan kepada golongan memerlukan hari ini (9 Jul).
Kira-kira 800 kg daging korban diagihkan kepada 400 keluarga penerima bantuan.
Dengan bantuan sekitar 40 relawan, daging-daging itu dihantar ke rumah para penerima bantuan merata negara.
Bagi MTFA, ini satu komitmen badan itu bagi mewujudkan sikap menyantuni, hormat dan berbudi kepada mereka yang kurang bernasib baik.
"Sambutan yang kami terima daripada pemandu relawan kami dan dedikasi mereka, sangat memberi inspirasi. Ia adalah usaha mereka yang bantu kami menyemai harapan dan kasih sayang kepada anggota masyarakat kita yang memerlukan," kata Pengarah Eksekutif MTFA, Dr Abdul Qader Al-aidaroos.
JAMIYAH TERUSKAN KHIDMAT 'PANDU LALU' BUAT TAHUN KEEMPAT
Bagi Jamiyah Singapura pula, daging-daging korban diberikan kepada para sohibul korban dahulu pada hujung minggu ini.
Sepanjang dua hari, pengambilan daging korban di Pusat Islam Jamiyah berjalan lancar dengan khidmat 'pandu lalu'.
Para sohibul korban hanya perlu menunjukkan nombor siri pada surat pengambilan daging korban mereka dan daging korban akan dimasukkan ke dalam bonet kereta mereka.
"Mereka tidak perlu menunggu lama untuk giliran mereka dan juga tidak perlu keluar dari kereta, membolehkan pengalaman yang lancar dan tanpa sentuhan," jelas Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Korban 2023 Jamiyah Singapura, Mahmud Ahmad.
"Jamiyah Singapura merupakan pertubuhan pertama di Singapura yang menyediakan khidmat pandu lalu pengambilan daging korban. Sambutan yang kami terima daripada para peserta bagi khidmat ini amat menggalakkan sejak kami memperkenalkannya tiga tahun lalu," tambah beliau.
Kaedah pengambilan ini juga dialu-alukan para peserta korban Jamiyah.
"Khidmat Pandu Lalu yang disediakan Jamiyah ini teratur. Daripada kawalan arus trafik
hingga ke pembahagian daging kepada saya, semuanya berjalan cepat dan lancar," kata Encik Azmi Rahmat.
Bagi seorang lagi sohibul korban, Encik Arif yang menggunakan khidmat itu menyifatkannya sebagai memudahkan lagi teratur.
"Adakalanya kalau dapatkan khidmat lain, kita kena tunggu dan tak tahu dengan tepat pukul berapa kita akan dapat daging kita.Tapi dengan khidmat pengambilan sendiri pandu lalu ini, saya boleh ambil daging korban saya dan terus hantar ke rumah kaum keluarga saya," kata Encik Arif.
Para sohibul korban juga ada pilihan untuk daging-daging itu dihantar ke rumah mereka.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.