Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Lebih 500 pelajar cemerlang Melayu/Islam dijulang di acara Anugerah MENDAKI 2020

"Masyarakat kita sudah berjaya dan mencatat kemajuan dalam banyak bidang, sama ada dalam akademik, sukan ataupun bidang seni dan kreatif.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: "Masyarakat kita sudah berjaya dan mencatat kemajuan dalam banyak bidang, sama ada dalam akademik, sukan ataupun bidang seni dan kreatif.

"Ayuh kita raikan setiap kejayaan - sama ada besar atau kecil."

Demikian kata-kata penuh semangat dari Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam semasa merasmikan kempen Raikan Ilmu yang bermula hari ini (3 Okt).

Di majlis itu beliau juga meraikan 514 pelajar cemerlang Melayu/Islam tahun ini, dari peringkat Peperiksaan Tamat Sekolah Rendah (PSLE) hinggalah kepada 66 siswazah yang meraih Ijazah Kepujian Kelas Pertama. Tahun lalu 517 pelajar menerima Anugerah MENDAKI dengan 63 daripada lulusan Ijazah Kepujian Kelas Pertama.

66 PELAJAR MELAYU DENGAN IJAZAH KEPUJIAN KELAS PERTAMA

Majlis merayakan kejayaan anak-anak Melayu itu berlangsung buat pertama kalinya secara online sepenuhnya ekoran pandemik COVID-19. Ia disiarkan secara langsung di YouTube dan disaksikan para penerima, tetamu serta orang awam.

Walaupun dibayangi krisis yang melanda dunia, Encik Masagos, yang juga Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) merangkap Menteri Kedua Kesihatan (MOH), menekankan bahawa masyarakat haruslah tetap berbangga dan meraikan pencapaian anak-anak Melayu.

Beliau turut berkongsi antara perkembangan ketara yang disaksikan beberapa tahun ini.

"Jumlah peratusan murid Darjah 1 Melayu yang melangkah ke pendidikan posmenengah sudah meningkat kebelakangan tahun ini, dari 87 peratus pada 2009 kepada 93 peratus pada 2018," kata Encik Masagos sambil menukil dapatan Statistik Pendidikan 2019 yang diterbitkan Kementerian Pendidikan.

Beliau menambah, lebih ramai pelajar GCE 'N' melangkah ke institusi posmenengah, iaitu dari 87 peratus pada 2009 kepada 97 peratus pada 2017.

"Semua pencapaian ini satu petanda baik bagi masyarakat kita sedang kita terus berusaha memastikan setiap anak Melayu akan menggengam setidak-tidaknya ijazah ITE. Saya yakin, bersama-sama, generasi selanjutnya akan melakukan lebih baik," ujar Encik Masagos yang juga merupakan Pengerusi MENDAKI.

PELAJAR ITE, POLI DAPAT ANUGERAH GEMILANG

Anugerah Gemilang MENDAKI khususnya disampaikan buat kali kedua hari ini sejak diperkenalkan pada tahun lalu.

Anugerah tersebut diberikan kepada para penuntut yang tidak hanya cemerlang dalam pelajaran, tetapi juga memberi kesan positif kepada kehidupan orang lain.

Pengiktirafan itu selaras dengan gagasan 'Masyarakat Gemilang' yang diutarakan Encik Masagos.

Ada empat penerima bagi Anugerah Gemilang tahun ini. Mereka ialah: 

(1) 'Aqilah Insyirah Abdul Rahim dari Kolej Timur ITE
(2) Fiqri Nur Haziq Abu Bakar dari Politeknik Ngee Ann
(3) Muhammad Ismail Shogo Sahul Hamid dari Universiti Nasional Singapura
(4) Nur Jasmine Roslan dari Maktab Rendah Nanyang

FIQRI NUR HAZIQ - PENERIMA ANUGERAH GEMILANG MENDAKI

BERITAmediacorp sempat menemu bual salah seorang penerima, iaitu Fiqri Nur Haziq, untuk mencungkil ciri dan perwatakannya selaku penerima Anugerah Gemilang MENDAKI.

Fiqri, 21 tahun, ternyata pelajar Melayu terbaik di Politeknik Ngee Ann. Kecemerlangannya dalam bidang akademik malah melayakkan beliau menerima Biasiswa Suruhanjaya Perkhidmatan Awam.

Fiqri (dua dari kanan) bersama rakan-rakan sekolah. (Gambar-gambar: Fiqri Nur Haziq Abu Bakar)

Fiqri (dua dari kanan) bersama rakan-rakan sekolah. (Gambar-gambar: Fiqri Nur Haziq Abu Bakar)

Namun, yang lebih menyerlah tentang belia ini adalah, beliau menonjolkan ciri-ciri kepimpinan dan iltizam yang kuat untuk berbakti kepada masyarakat.

Baru-baru ini, Fiqri bahkan menggagahkan diri untuk menjadi sukarelawan yang menjaga para pekerja asing yang dijangkiti COVID-19 di sebuah pusat pengasingan.

"Pengalaman di Pusat Kemudahan Pengasingan Masyarakat amat positif dan saya dapat mengasah kemahiran saya dalam bidang klinikal, mengenali pakar-pakar kesihatan dan menjaga pekerja asing," kata Fiqri.

INGIN BAWA PEMBAHARUAN PADA DASAR AWAM

Ditanya mengapa beliau sanggup meluangkan masa melakukan kerja-kerja sukarelawan, Fiqri berkata beliau sebenarnya daripada keluarga berpendapatan rendah dan pengalaman hidupnya mendorong beliau untuk tampil melakukan sesuatu untuk masyarakat.

"Ya, ia memang sukar untuk mengimbangi semua itu kerana saya ada banyak komitmen. Tetapi saya seseorang yang suka merebut peluang yang ada. Pada awalnya ia sukar. Tetapi saya rasa saya dapat membahagikan masa dengan baik. Misalnya kalau saya bersama rakan-rakan, saya tidak mahu memikirkan tentang kerja," kata Fiqri yang sedang menjalani Perkhidmatan Negara (NS).

Meski mengikuti program sains kesihatan di politeknik, Fiqri merancang untuk tidak menjadi seorang kakitangan perubatan kelak. Ini cita-cita beliau sekarang ini:

"Selepas mempunyai pengalaman di lapangan sebagai seorang jururawat, saya tahu saya ingin mengubah sesuatu. Saya pasti saya ingin menjadi pakar dalam kesihatan awam dan pada masa akan datang, merubah dan menggubal dasar-dasar kesihatan lebih baik. Bukan hanya di Singapura, tetapi di peringkat global."

Fiqri akan melanjutkan pengajian ke Universiti Nasional Singapura (NUS) dan mengambil jurusan sains kemasyarakatan dan kesihatan awam.

SITI NUR AISYAH - PENERIMA ANUGERAH BELIA CEMERLANG

Satu lagi anugerah berprestij yang disampaikan hari ini (3 Okt) adalah Anugerah Belia Cemerlang, dengan Siti Nur Aisyah Zulkefli menjadi salah seorang daripada lima penerimanya.

Pelajar tahun kedua Kolej Seni Lasalle ini sedang memburu diploma dalam bidang yang memanfaatkan seni sebagai wadah komunikasi.

Aisyah (kiri) menerima Anugerah Belia Cemerlang MENDAKI tahun ini. (Gambar-gambar: Siti Nur Aisyah Zulkefli) 

Aisyah (kiri) menerima Anugerah Belia Cemerlang MENDAKI tahun ini. (Gambar-gambar: Siti Nur Aisyah Zulkefli) 

Minatnya itu juga digunakan untuk menyuntik semangat orang ramai di tengah-tengah pandemik sekarang. Misalnya, Aisyah menghasilkan nota-nota 'post-it' yang menyelitkan mesej-mesej positif lalu melekatkannya pada pembungkus-pembungkus makanan di tempat kerja ibu beliau.

Aisyah juga sering mencari waktu untuk menjadi sukarelawan bersama Singapore Khalifah Youth.

"Insya Allah pada masa hadapan, saya akan berusaha untuk menyumbang lebih lagi kepada masyarakat khususnya Melayu/Islam, bersama MENDAKI juga seperti Raikan Ilmu dan Terapi Seni dan macam-macam lagi," kata Aisyah.

"Ia satu kepuasan bagi diri saya sendiri dan pengalaman-pengalaman ini banyak membantu saya untuk menjadi lebih mahir. Saya juga seronok berkongsi dengan individu-individu di luar sana tentang seni. Apatah lagi, di Asia ada stigma yang mengatakan kemahiran seni tidak berguna sangat dan tidak boleh pergi jauh."

INGIN JADI SUMBER INSPIRASI BELIA LAIN

Sebagai seorang belia, Aisyah akur, "ada susah senang" dalam mengejar impian beliau tetapi beliau sekarang inigin mencari cara untuk melibatkan diri dalam industri seni.

"(Ini) supaya pelajaran saya tidak terbatas di sekolah sahaja. Untuk mendapatkan diploma ada susah dan senangnya. Ia tidak memutuskan semangat saya kerana saya akan terus meminati apa yang saya lakukan.

Perjuangan beliau dalam industri seni suatu hari nanti diharap menjadi sumber inspirasi kepada para belia lain.

"Semoga ini menjadi inspirasi kepada pelajar-pelajar lain bahawa lakukan apa yang anda minat, walaupun bidang itu tidak disokong ramai ataupun tidak popular. Asalkan ia tidak mendatangkan keburukan, lakukan sahaja dan paling penting, berseronoklah dalam mencapai cita-cita," katanya lagi.

Hasil karya seni Aisyah. 

Hasil karya seni Aisyah.

Ditanya pula apakah yang ingin beliau lakukan dengan wang yang diterima menerusi Anugerah Belia Cemerlang MENDAKI, Aisyah berkata, beliau ingin menjimat wang itu untuk keperluan sekolah.

"Belajar seni itu mahal. Seperti peralatan melukis dan sebagainya. Jadi wang yang saya terima akan saya simpan, takut sekiranya ada apa-apa berlaku sepanjang saya menuntut di Lasalle selama tiga tahun ini."

Empat penerima Anugerah Belia Cemerlang MENDAKI ialah:
(1) Nurain Mohd Amin
(2) Renny Nadira Zufrie
(3) Taqiyah Iman Junaidi
(4) Muhammad Khair Muhd Rizauddin

NASIHAT MASAGOS KEPADA LULUSAN BARU

Untuk semua penerima Anugerah MENDAKI 2020 itu, khususnya mereka yang baru selesai pendidikan dalam masa-masa sukar sekarang, Encik Masagos ada nasihat untuk mereka.

Mendapatkan pekerjaan yang diinginkan kini memang sukar kata beliau.

"Saya menggalakkan anda supaya berfikiran terbuka dan manfaatkan peluang-peluang yang ada seperti Program Latihan SGUnited untuk menimba menimba pengalaman, meningkatkankemahiran anda dan membina rangkaian sosial dan portfolio," kata Encik Masagos.

Semua ini, tambah beliau, akan meletakkan mereka dalam kedudukan lebih baik untuk merebut peluang-peluang yang akan tersedia pada masa hadapan.  

Sumber : BERITA Mediacorp/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan