Skip to main content

Singapura

Lebih 500 laman palsu menyamar sebagai MHA, agensi Home Team diturunkan

Anggaran Waktu Membaca:
  Lebih 500 laman palsu menyamar sebagai MHA, agensi Home Team diturunkan

(Gambar: CNA/Raydza Rahman)

Diterbitkan : 13 Aug 2026 06:04AM Dikemas Kini : 13 Aug 2026 06:05AM
  • Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) Singapura dan tujuh agensi Home Team terlibat dalam penurunan lebih 500 laman palsu yang menyamar sebagai laman rasmi mereka.
  • Laman-laman tersebut dikesan oleh Agensi Sains dan Teknologi Home Team (HTX) pada 10 Ogos dan diturunkan pada hari berikutnya.
  • MHA menegaskan tiada bukti laman palsu digunakan untuk penipuan atau sistem mereka digodam, namun orang awam dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada.
  • Orang ramai digalakkan menyemak alamat laman web dan melaporkan laman mencurigakan kepada pihak berkuasa untuk mengelakkan risiko keselamatan.
Dijana oleh AI
SINGAPURA: Lebih 500 laman palsu yang menyamar sebagai Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) dan tujuh agensi Home Team sudah diturunkan, menurut kementerian itu pada Rabu (12 Ogos).

Laman-laman tersebut dikesan oleh Agensi Sains dan Teknologi Home Team (HTX) pada 10 Ogos, dan kesemua laman yang dikenal pasti sudah diturunkan pada hari berikutnya, menurut MHA dalam satu catatan di Facebook.

Laman palsu itu menyamar sebagai MHA, serta Pasukan Polis Singapura (SPF), Biro Narkotik Pusat (CNB), Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF), Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA), Perkhidmatan Penjara Singapura (SPS), HTX, dan Akademi Home Team.

Laman-laman tersebut meniru jenama rasmi dan kandungan awam daripada laman MHA serta agensi-agensi berkenaan. Ini berpotensi mengelirukan orang awam sehingga mereka percaya bahawa mereka sedang melayari laman rasmi pemerintah.

Sekalipun demikian, berdasarkan siasatan setakat ini, tiada bukti yang menunjukkan laman palsu tersebut digunakan untuk menjalankan penipuan atau mencuri maklumat daripada orang awam, menurut MHA.

Kementerian itu turut menambah bahawa tiada bukti sistem MHA atau agensi Home Team digodam atau diakses tanpa kebenaran.

"Orang awam dinasihatkan supaya sentiasa waspada apabila melayari laman yang mendakwa milik MHA atau agensi Home Team," menurut MHA.

Laman rasmi pemerintah Singapura berakhir dengan ".gov.sg", dan orang awam hendaklah menyemak alamat laman dengan teliti sebelum memberikan sebarang maklumat peribadi atau sensitif.

Sekiranya melayari internet, orang awam juga perlu berhati-hati dengan alamat laman yang ganjil, kesalahan ejaan atau tatabahasa, gambar bermutu rendah, pautan yang rosak, atau halaman dan fungsi yang tidak berjalan dengan baik.

Sesiapa yang menemui sebarang laman mencurigakan yang mendakwa sebagai laman rasmi MHA atau agensi Home Team hendaklah melaporkannya kepada polis melalui Talian Bantuan ScamShield atau portal i-Witness, tambah kementerian itu.

"MHA akan terus memantau keadaan ini dengan teliti dan bekerjasama dengan agensi serta rakan berkaitan untuk mengenal pasti dan mengambil tindakan sewajarnya terhadap mana-mana laman yang menyamar sebagai MHA atau agensi Home Team," menurut kementerian itu.
Sumber : CNA/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita