Lebih 500 kakitangan Jetstar Asia akan dibayar 4 minggu gaji bagi setiap tahun berkhidmat
Para kakitangan Jetstar Asia yang akan diberhentikan kerja ekoran penutupan syarikat penerbangan itu akan dibayar empat minggu gaji bagi setiap tahun mereka berkhidmat dengan syarikat itu.
Syarikat penerbangan tambang jimat itu akan berhenti beroperasi pada 31 Julai, menurut syarikat induk Qantas pada Rabu (11 Jun).
Lebih 500 kakitangan yang diberhentikan kerja juga akan menerima bayaran bonus bagi tahun kewangan 2025, bayaran penghargaan khas dan akses berterusan kepada faedah perjalanan kakitangan selama tempoh setara dengan tempoh perkhidmatan mereka.
"Kami komited untuk memberi sokongan kepada kakitangan yang terjejas oleh pengumuman ini sebaik mungkin," kata jurucakap Jetstar Asia.
“Ini termasuk penyediaan pampasan pemberhentian kerja, sokongan peralihan kerjaya serta peluang pekerjaan dalam Qantas Group dan dengan syarikat penerbangan atau rakan kongsi industri penerbangan lain di Singapura di mana mungkin.”
Kesatuan Pekerja Buruh Kasar dan Barang Dagangan Singapura (SMMWU) menyatakan pihaknya telah dimaklumkan mengenai penutupan kekal Jetstar Asia dan sedang bekerjasama dengan pihak pengurusan.
Kesatuan itu telah berunding dengan syarikat berkenaan demi memastikan anggota dan pekerja yang terjejas “dilberi layanan dengan penuh prihatin dan mendapat pampasan yang adil,” kata Setiausaha Agung SMMWU, Encik Andy Lim.
SMMWU menambah ia komited untuk memberi sokongan kepada para anggota dan pekerja yang terkesan melalui tempoh peralihan ini dengan menyediakan bantuan penempatan pekerjaan, khidmat nasihat kerjaya dan bantuan kewangan jika perlu.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.