Lebih 500 belia berhimpun bina rangkaian, timba kemahiran dalam Festival Belia M³
SINGAPURA: Lebih 500 belia berpeluang membina rangkaian baru dan meraih kemahiran baru yang bermanfaat dalam acara tahunan Festival Belia M³ pada Ahad (9 Jul).
Acara yang kembali buat kali kelima itu sebahagian daripada usaha melengkapi belia Melayu/Islam dengan kemahiran yang diperlukan, serta memupuk minat menyumbang kembali kepada masyarakat.
Skala acara itu lebih besar tahun ini berbanding tahun lalu dan dibahagikan kepada dua lokasi iaitu di The Red Box dan Taman Belia Somerset.
Jumlah peserta juga lebih tujuh kali ganda berbanding edisi tahun lalu.
Para belia juga boleh menikmati pelbagai gerai yang disediakan di kawasan berteduh di Taman Belia Somerset itu.
Seawal 10.00 pagi lagi, mereka diberi peluang untuk mencuba pelbagai kegiatan menarik serta menghadiri bengkel-bengkel yang dianjurkan.
Ini termasuk bengkel untuk mempelajari kemahiran hidup seperti menggunting rambut gaya popular masa kini iaitu 'Fade Cut' dan bengkel membuat lilin.
Antara kegiatan yang mendapat sambutan di acara itu ialah pertandingan e-sukan bola sepak yang popular dalam kalangan remaja.
Ia turut dihadiri Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Masagos Zulkifli dan Setiausaha Parlimen Kanan Kesihatan merangkap Undang-undang, Rahayu Mahzam.
"Ini adalah satu usaha kerjasama MENDAKI, MESRA dan MUIS dalam menyajikan kepelbagaian dalam kalangan masyarakat muda kita. Kita dapat lihat mereka mempunyai banyak bakat dan kita mahu memelihara budaya kita, tetapi bagaimana kita dapat mempamerkannya dengan cara yang moden?" kongsi Cik Rahayu, yang juga Penasihat kepada PA MESRA Belia.
"Jadi kita menggunakan peluang untuk mempamerkan bakat mereka tetapi juga menggalakkan mereka untuk mengetahui lebih lanjut apakah usaha-usaha yang ada di mana mereka dapat membina portfolio kerjaya mereka," tambah beliau.
'MEMBENTUK KEPERIBADIAN, MEMUPUK MASYARAKAT'
Dengan tema 'Membentuk Keperibadian, Memupuk Masyarakat', acara itu juga diharap dapat galak golongan belia untuk menyumbang kepada masyarakat.
Selain mengetahui lebih lanjut tentang usaha yang dilakukan, para peserta juga boleh mendaftar sebagai relawan di gerai-gerai oleh badan masyarakat.
Antaranya ialah Majulah Community, Muslim.sg dan Rangkaian Belia Asatizah (AYN).
"Diharapkan usaha hari ini dapat menunjukkan bahawa mereka mempunyai pelbagai aspek dalam kehidupan mereka untuk membina keperibadian mereka tetapi dalam masa yang sama juga menggalakkan mereka untuk kekal aktif dan kembali menyumbang kepada masyarakat," ujar Cik Rahayu.
"(Ini) kerana kita juga telah menunjukkan apakah usaha-usaha bimbingan, peluang sukarelawan yang dapat mereka cuba lakukan dan ini kita harapkan dapat menggalakkan lebih banyak lagi sukarelawan dalam kalangan anak muda kita," menurutnya lagi.
BUKA MINDA BELIA; LUASKAN PEMANDANGAN
Bagi pihak Jawatankuasa Penganjur bagi Festival Belia M³ itu, mereka berharap acara yang disediakan itu dapat memberi manfaat kepada para peserta.
"Kita memperkenalkan beberapa wadah penting daripada pemerintah dan juga bukan pemerintah yang mereka boleh lakukan dan sertai agar dapat membina kemampuan mereka untuk kembali berbakti kepada masyarakat," kongsi Pengerusi Jawatankuasa Penganjur festival itu, Encik Ahmad Muhsein Jasmani, 28 tahun.
"Mereka juga mempunyai wadah untuk mempersembahkan kreativiti mereka di depan masyarakat dan khalayak ramai agar dapat diberi penghargaan terhadap diri mereka," tambah beliau.
Bagi anggota Jawatankuasa Penganjur pula, festival itu diharap dapat melengkapi para belia dengan pelbagai sumber dan maklumat agar dapat membantu golongan tersebut memikirkan dan merancang kerjaya mereka.
"Ia membuka minda mereka dan meluaskan pandangan mereka. Ia juga menyediakan mereka untuk masa depan," ujar Cik Nur Khaliesah Nahrawi, 28 tahun.
"Ini juga satu cara untuk belia kita mengalami penyertaan sivik jadi mereka tahu bahawa mereka penting untuk masa depan negara kita," tambahnya.
BINA RANGKAIAN BARU; BANTU DALAM KERJAYA DAN MASA DEPAN
Selain pelbagai kegiatan bermanfaat, festival itu juga satu peluang yang baik bagi golongan belia membina rangkaian baru.
"Saya sudahpun mempelajari banyak sekali dari perbincangan bersama Hayaa’ Network. Saya telah pun berhubung dan berbual dengan golongan usia yang berbeza seperti orang yang lebih tua, ada yang lebih muda dan sebagainya dan kami telah berbincang tentang bagaimana untuk menghubung para belia dan mereka dari golongan usia yang lain," kongsi Cik Siti Jannatul Arfiyah, 22 tahun.
"Ini sangat penting saya rasa kerana hubungan ini dan perbincangan seperti ini dapat membuka mata kita tentang apa yang difikirkan orang lain," tambahnya.
"Saya lebih terdorong untuk memberi kembali kepada masyarakat kerana ada banyak peluang untuk saya menyumbang, tidak kira kecil atau besar, saya tahu perkara yang saya akan lakukan ini akan menolong masyarakat," menurut Encik Afi.
Para peserta juga dihiburkan dengan persembahan-persembahan menarik sepanjang festival itu yang berlangsung selama lebih lima jam.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.