Skip to main content

Singapura

Lebih 500,000 warga muda S'pura akan terima tokokan S$200 pada akaun Edusave, PSEA

Sekitar 532,500 warga Singapura yang berusia antara tujuh hingga 20 tahun pada 2021 masing-masing akan menerima tokokan sekali sahaja bernilai S$200 ke dalam akaun Edusave atau Akaun Pendidikan Posmenengah (PSEA) bulan ini.

Anggaran Waktu Membaca:
Lebih 500,000 warga muda S'pura akan terima tokokan S$200 pada akaun Edusave, PSEA

Gambar fail pelajar Sekolah Menengah Yio Chu Kang memakai pelitup semasa pandemik COVID-19 (Gambar: Reuters/Edgar Su)

Diterbitkan : 12 May 2021 02:21PM Dikemas Kini : 12 May 2021 02:25PM

SINGAPURA: Sekitar 532,500 warga Singapura yang berusia antara tujuh hingga 20 tahun pada 2021 masing-masing akan menerima tokokan sekali sahaja bernilai S$200 ke dalam akaun Edusave atau Akaun Pendidikan Posmenengah (PSEA) bulan ini.

Tokokan tersebut adalah salah satu komponen dalam Belanjawan tahun ini, menurut Kementerian Kewangan (MOF) dan Kementerian Pendidikan (MOE) dalam satu kenyataan bersama yang dikeluarkan pada Rabu (12 Mei).

"Tokokan tambahan ini adalah sebahagian daripada Pakej Bantuan Keluarga Tambahan yang diumumkan dalam Belanjawan 2021 untuk memberi sokongan tambahan kepada keluarga bagi menampung perbelanjaan berkaitan pendidikan anak-anak mereka," menurut kedua-dua kementerian itu.

"Tokokan kepada akaun Edusave itu adalah tambahan kepada sumbangan tahunan Edusave yang dibuat oleh Pemerintah."

Dana Edusave dan PSEA boleh digunakan untuk membayar yuran dan program pengayaan yang diluluskan.

Tokokan itu akan dimasukkan terus ke dalam akaun Edusave dan PSEA sebelum hujung bulan ini tanpa sebarang tindakan diperlukan daripada pihak penerima. Para penerima yang layak akan menerima surat yang memaklumkan mereka tentang tokokan tersebut pada bulan depan.

Menurut laman MOF, kanak-kanak warga Singapura yang berumur enam tahun ke bawah pada 2021 juga akan menerima tokokan S$200 pada Akaun Pembangunan Anak (CDA) mereka pada September.

Secara keseluruhannya, sekitar 780,000 warga muda Singapura dijangka akan meraih manfaat daripada tokokan Pakej Bantuan Keluarga Tambahan, menurut MOF.

Lebih banyak maklumat mengenai Pakej Bantuan Keluarga Tambahan boleh didapatkan di laman web MOF.

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita