Skip to main content

Singapura

Lebih 50% warga muda S'pura percaya bakat asing jadikan negara ini sebagai satu batu loncatan

Kian ramai warga muda Singapura yang ditinjau meragui komitmen jangka panjang golongan pendatang ke Singapura, meskipun mereka akur negara ini banyak meraih manfaat daripada bakat asing.

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 28 Sep 2018 10:48PM Dikemas Kini : 28 Sep 2018 11:00PM

SINGAPURA: Kian ramai warga muda Singapura yang ditinjau meragui komitmen jangka panjang golongan pendatang ke Singapura, meskipun mereka akur negara ini banyak meraih manfaat daripada bakat asing.

Tinjauan yang dijalankan oleh Institut Pengajian Dasar (IPS) bermatlamat untuk mengkaji sikap warga muda Singapura tentang penghijrahan. Ia disertai lebih 2,000 responden berusia antara 19 hingga 20 tahun melalui wawancara bersemuka antara Jun hingga November 2016. Ia merupakan kali kedua tinjauan seumpama itu dijalankan selepas satu tinjauan pada 2010.

Menurut hasil tinjauan yang dikeluarkan hari ini (28 Sep), 55.9 peratus peserta berfikir bakat asing menggunakan Singapura sebagai batu loncatan yang membuka peluang mereka ke negara-negara lain, satu peningkatan 10.4 peratusan mata berbanding 2010.

Hampir separuh (48 peratus) responden juga berasa bahawa kehadiran terlalu ramai pekerja asing akan menjejas perpaduan masyarakat, kenaikan hampir 10 peratusan mata berbanding enam tahun sebelumnya.

Namun, 62.5 peratus responden percaya bakat asing menyumbang kepada pembangunan Singapura, sama seperti rakyat tempatan, iaitu kenaikan 17.1 peratusan mata dari 2010.

Kajian tersebut juga mendapati lebih ramai warga muda Singapura ingin berhijrah ke Australia.

35.6 peratus daripada warga muda Singapura yang ditinjau, mahu berpindah ke Australia.

Ini berbanding 21.7 peratus dalam tinjauan pada 2010.

Menurut tinjauan IPS mengenai tanggapan warga muda Singapura terhadap penghijrahan, Australia dan New Zealand merupakan dua destinasi pilihan dengan Australia semakin mendapat lebih banyak pilihan.

Tinjauan IPS juga menunjukkan peratusan yang memikirkan untuk berhijrah adalah sama pada 2010 dengan 30 peratus meninjau secara aktif kemungkinan berhijrah dalam masa lima tahun mendatang.

Sementara itu, tinjauan itu mendapati peningkatan ketara pada tahap kebanggaan nasional dan kepuasan dalam hidup, dengan hampir 80 peratus mengatakan mereka memilih untuk menjadi rakyat Singapura berbanding mana-mana negara lain di dunia, naik dari 57.2 peratus pada 2010.

Lebih separuh (58 peratus) responden juga berkata mereka berpuas hati dengan kehidupan mereka. 

Sumber : CNA/AQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita