Lebih 50% wanita sertai W@W MENDAKI berjaya dapat kerja dalam 6 bulan
SINGAPURA: Lebih separuh (53.8 peratus) peserta Women At Work (W@W) pada 2024 berjaya mendapat kerja dalam tempoh enam bulan.
Tahun lalu, seramai 197 peserta menyertai program kendalian MENDAKI itu.
W@W bertujuan untuk membimbing dan menyokong wanita Melayu/Islam yang mahu mencari pekerjaan atau menyertai semula alam pekerjaan.
Antara peserta yang meraih manfaat ialah Cik Norsuryani Abdul Jamal, 55 tahun.
Selepas kontrak kerjanya sebagai penolong guru tamat pada November 2023 di sebuah sekolah, Cik Norsuryani terpaksa mencari pekerjaan baharu.
Namun, bukan mudah untuknya mendapatkan pekerjaan yang sesuai, terutama sekali dalam persekitaran sekolah yang diimpi-impikannya.

Faktor usia serta persaingan yang dihadapi dengan calon yang lebih muda meninggalkan kesan kepada keyakinan ibu kepada seorang anak itu.
"Salah satu cabaran yang saya hadapi adalah sesi temu duga. Saya selalu rasakan saya harus bersaing dengan calon yang lebih muda. Itu yang buat saya rasa kecewa," kongsi Cik Nursuryani kepada wartawan Nazirah Jamzuri.
Namun begitu, Cik Norsuryani tidak putus harapan dan cekalkan hati berbekalkan kemahiran dan kelayakan yang beliau ada.
Ini selain usaha proaktif yang diambilnya untuk mempertingkatkan diri.
CEBURI KURSUS 'CODING', CHATGPT UNTUK TINGKATKAN DIRI

Pada Januari tahun lalu, Cik Norsuryani mendaftarkan diri bagi sertai program W@W dan menceburi kursus-kursus mempertingkatkan diri dan menimba ilmu baharu.
"Oleh kerana saya berminat bekerja di persekitaran sekolah, saya memilih untuk mengambil kursus seperti pengekodan, ChatGPT untuk saya membantu pelajar di dalam kelas. Jadi selepas menghadiri kursus pengekodan dan ChatGPT, saya mendapati ia sangat membantu saya dalam melangkah untuk mencari pekerjaan," menurut Cik Norsuryani.
"Mula-mula, saya kurang keyakinan diri. Saya rasa W@W sangat membantu saya untuk memotivasikan diri saya untuk mempertingkatkan diri dan menghadiri kursus-kursus untuk membantu diri saya agar dapat menambah ilmu," tambahnya.
Berkat usaha gigihnya, Cik Norsuryani akhirnya berjaya mendapat pekerjaan sebagai Teknisyen Makmal Sains di Sekolah Rendah Punggol View pada Februari 2024.

Malah, Cik Norsuryani juga amat berterima kasih kepada jurulatih W@W, Juriah Jahaya yang banyak membantu dalam memberinya bimbingan dan sokongan.
"Cik Juriah adalah seorang jurulatih yang bermotivasi dan dedikasi. Dia selalu memberi bimbingan dan sokongan semasa program W@W," ujar Cik Norsuryani.
"Program W@W dapat membantu wanita membina semula keyakinan, meningkatkan kemahiran dan kembali bekerja. Program ini juga ada sistem sokongan yang kuat jadi kami tidak rasa keseorangan dalam perjalanan ini. Program ini telah memberi saya motivasi untuk terus berusaha dan tidak pernah berhenti belajar," tambah beliau.
LEBIH 50% PESERTA BERJAYA DAPAT KERJA DALAM TEMPOH ENAM BULAN PADA 2024

Program yang mula diperkenalkan MENDAKI sejak 2022 itu antara lain bertujuan meningkatkan lagi kadar penyertaan kerja bagi wanita Melayu/Islam menerusi peningkatan kemahiran, membina keupayaan dan pemadanan kerja.
Ini terutama sekali dengan cabaran-cabaran yang sesetengah wanita hadapi dalam proses untuk kembali ke alam pekerjaan.
Ia juga bagi menggalak sumber pendapatan daripada suami dan isteri dalam sesebuah rumah tangga.
Menurut Cik Juriah, antara cabaran yang dihadapi golongan wanita itu untuk kembali bekerja termasuk kurang keyakinan diri serta pengalaman kerja.
"Mereka tidak tahu pengalaman pekerjaan mereka itu masih relevan atau tidak. Dan ada juga yang bimbang dengan teknologi-teknologi seperti Kecerdasan Buatan (AI), ChatGPT, dan sebagainya. Jadi dalam program ini, kita akan mengajar sedikit pengetahuan asas tentang ini," kongsi Cik Juriah kepada wartawan Nazirah Jamzuri.

Tambahnya, ada juga kebimbangan dalam mencari keseimbangan bekerja dan menggalas tanggungjawab di rumah.
"Mereka ingin bekerja tetapi dalam waktu yang sama, mereka juga harus melalui fasa di mana keluarga mereka masih memerlukan mereka. Jadi di situ, mereka kadangkala risau. Ada tak pekerjaan yang ada keseimbangan seperti kerja '9-5' dan sebagainya tetapi di situ, kadangkala kita harus memberitahu mereka untuk menjadi realistik juga," menurutnya lagi.
Lantaran itu, beberapa usaha diusulkan menerusi program itu bagi membantu wanita dalam perjalanan mereka kembali bekerja.
"Satu bahagian adalah cara untuk mereka menyesuaikan diri kepada perubahan, cara-cara mereka membuka minda untuk belajar atau untuk mengetahui kemahiran-kemahiran baharu ataupun strategi-strategi baharu," kata Cik Juriah.
"Keduanya, kita juga ada topik-topik di mana kita memperkenalkan teknologi-teknologi yang digunakan dan juga cara-cara untuk mereka berkeyakinan diri, sebagai contoh apabila pergi temu duga dan ditolak, bagaimana mereka ingin atasinya dan sebagainya," tambahnya.
LEBIH 400 PESERTA SUDAH SELESAI PROGRAM W@W SEJAK 2022

Malah program W@W juga mempunyai ekosistem yang menyeluruh bagi mendampingi para peserta.
Dengan satu kerjasama bersama NTUC Wanita dan Keluarga, program W@W juga kini melibatkan para mentor.
"Mereka ada ekosistem holistik di mana bukan sahaja para peserta dapat meraih ilmu-ilmu itu dalam tempoh program itu iaitu tiga atau lima hari tetapi selepas itu, mereka ada program-program yang sentiasa membawa mereka ke hadapan. Maksudnya, mereka ada 'mentoring' dengan pihak-pihak yang lain, ataupun kalau ada peluang pekerjaan, mereka semua akan diberitahu. Jadi sistem sokongan itu sangat menyeluruh. Ia bukan berhenti selepas tiga hari sahaja," ujar Cik Juriah.
"Kadangkala, kita tidak dapat membantu 100 peratus tetapi kemahiran itu atau informasi-informasi yang telah diberikan itu dapat digunakan pada setiap masa. Jadi kalau mungkin mereka tidak bersedia lagi pada waktu ini, saya yakin informasi atau pertolongan yang secara holistik ini (masih) dapat membantu mereka," tambah beliau.
Kumpulan sembang Telegram rangkaian W@W juga kini sudah berjaya menarik hampir 850 wanita yang mencari pekerjaan dan maklumat berkaitan pekerjaan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.