Skip to main content

Singapura

Lebih 50% murid sekolah rendah sudah daftar bagi vaksin COVID-19: Chan Chun Sing

Lebih separuh murid sekolah rendah sudah berdaftar untuk mendapatkan suntikan vaksin, kata Menteri Pendidikan Chan Chun Sing pada Jumaat (7 Jan).

Anggaran Waktu Membaca:
Lebih 50% murid sekolah rendah sudah daftar bagi vaksin COVID-19: Chan Chun Sing

Seorang kanak-kanak perempuan menggenggam erat anak patungnya ketika mendapatkan suntikan vaksin pada 27 Dis 2021. (Gambar: Hanidah Amin/CNA)

SINGAPURA: Lebih separuh murid sekolah rendah sudah berdaftar untuk mendapatkan suntikan vaksin, kata Menteri Pendidikan Chan Chun Sing pada Jumaat (7 Jan).

"Setakat ini, lebih 70 peratus murid Darjah Empat hingga Darjah Enam yang sudah berdaftar. Lebih sepertiga murid Darjah Satu hingga Darjah Tiga sudah membuat pendaftaran dalam tempoh beberapa hari lalu."

Encik Chan berkata demikian dalam semasa melawat Sekolah Menengah Yusof Ishak, yang merupakan sebuah pusat khas vaksinasi MOE bagi kanak-kanak.

Pusat itu akan mula beroperasi pada 11 Jan dan dibuka dari 10.00 pagi hingga 5.00 petang pada Selasa hingga Sabtu. Ia boleh menampung sekitar 600 kanak-kanak setiap hari.

Secara keseluruhannya, 15 pusat vaksinasi paediatrik di merata Singapura boleh memberi vaksin kepada lebih 11,000 kanak-kanak setiap hari.

Pusat vaksinasi di Sekolah Menengah Yusof Ishak merupakan satu-satunya kemudahan di Singapura yang menawarkan vaksinasi untuk kanak-kanak. Ini bermakna mereka yang berusia 12 tahun dan ke atas tidak boleh mendapatkan suntikan vaksin di pusat tersebut.

Memandangkan sesi pembelajaran masih diadakan di sekolah berkenaan, kakitangan pusat vaksinasi akan membantu mengendalikan kedatangan orang ramai dan mengurangkan pergaulan antara orang awam dan pelajar sekolah itu.

Misalnya, hanya seorang ibu atau bapa bagi setiap kanak-kanak atau adik beradik dibenarkan masuk ke sekolah itu untuk menemani anak mereka.

KAKITANGAN BERPENGALAMAN

Berbanding dengan pusat vaksinasi lain di Singapura, salah satu ciri unik di Sekolah Menengah Yusof Ishak ialah semua kakitangan yang mengendalikan pusat itu adalah pekerja dari Lembaga Penggalak Kesihatan, kata Encik Chan.

"Mereka juga telah mengendalikan vaksinasi untuk kanak-kanak kita di sekolah sepanjang beberapa tahun lalu, jadi mereka sangat berpengalaman," katanya.

Pusat vaksinasi di Sekolah Menengah Yusof Ishak turut menawarkan suntikan vaksin untuk adik beradik, di bawah aturan 'walk-in' atau tidak perlu janji temu yang bermula pada 10 Januari.

Di bawah aturan itu, kanak-kanak yang mempunyai janji temu bagi vaksinasi COVID-19 boleh membawa adik mereka untuk mendapatkan vaksinasi itu bersama tanpa perlu menempah slot yang berbeza.

Mereka boleh pergi ke pusat vaksinasi bagi kanak-kanak pada Isnin hingga Khamis sebelum 7.00 malam.

MOE dan ECDA sebelum ini menyatakan bahawa aturan itu tidak ditawarkan pada Jumaat hingga Ahad disebabkan permintaan tinggi bagi slot hujung minggu.

Dengan menjelangnya Tahun Baru Cina, Encik Chan berharap ibu bapa akan mendaftarkan anak mereka yang layak secara perubatan secepat mungkin.

"Tahun Baru Cina menjelang tiba, jadi saya pasti akan berlaku banyak pergaulan sepanjang tempoh itu. Jadi kami ingin memastikan anak-anak kita selamat. Dan kami juga mahu anak-anak kita memainkan peranan dalam memastikan keselamatan keluarga mereka," katanya.

Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita