Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Lebih 50 kegiatan dianjur bagi Bulan Raikan Ilmu 2020 anjuran Yayasan MENDAKI

Bulan Raikan Ilmu 2020 anjuran Yayasan MENDAKI bulan depan bakal menyusup masuk ke rumah-rumah anda menerusi lebih 50 program dan kegiatan.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Bulan Raikan Ilmu 2020 anjuran Yayasan MENDAKI bulan depan bakal menyusup masuk ke rumah-rumah anda menerusi lebih 50 program dan kegiatan.

Ini kerana, berbeza dengan tahun lalu, program Raikan Ilmu yang berlangsung sepanjang Oktober ini akan dijalankan secara online.

Kempen Raikan Ilmu yang masuk tahun kedua itu juga mahu menarik 40,000 peserta daripada segenap lapisan masyarakat. Sasaran itu lebih 30 peratus lebih tinggi berbanding penyertaan tahun lalu, walaupun dalam situasi COVID-19 sekarang ini.

MENDAKI mendedahkan demikian kepada wartawan hari ini (11 Sep) menerusi satu sidang media secara online. Semasa sesi taklimat itu ia mendedahkan barisan program yang akan dianjurkan sepanjang Oktober nanti, termasuk program-program baru untuk memancing minat anda.

BERTEMAKAN 'CINTAKAN ILMU, PERKUKUHKAN DAYA TAHAN'

Bertema Cintakan Ilmu, Perkukuhkan Daya Tahan, rancangan-rancangan dan kegiatan Raikan Ilmu kali ini, mahu merangsang segenap lapisan masyarakat untuk membudayakan ilmu dan belajar sepanjang hayat.

Ini lebih-lebih lagi menerusi pelbagai wadah baru sedang kita berdepan keadaan mencabar COVID-19 dan kemelesetan ekonomi sekarang.

Ini juga seiring dengan visi Masyarakat Gemilang, yang mahu memperkasa masyarakat dengan kecekapan dan kemahiran.

(Gambar: MENDAKI)

Menteri Negara Kanan Tenaga Manusia yang juga Timbalan Pengerusi MENDAKI, Zaqy Mohamad, semasa sidang media tersebut berkata di tengah-tengah keadaan mencabar sekarang, proses menimba kemahiran dan pembelajaran sepanjang hayat itu semakin penting.

"Pendekatan (baru) ini sebahagian besarnya disebabkan COVID-19. Namun ia tidak harus menghambat kita daripada usaha-usaha mengetengahkan agenda seperti menajamkan kemahiran, pembelajaran sepanjang hayat serta melakukan kegiatan-kegiatan yang sudah kita rancang," kata Encik Zaqy.

"Kami yakin dengan pendekatan baru membawa pengalaman Raikan Ilmu ini secara langsung ke rumah-rumah keluarga-keluarga (dalam masyarakat) kita dapat mencapai sasaran kita," tambah CEO MENDAKI, Cik Zuraidah Abdullah.

Sekalipun demikian, Encik Zaqy juga akur, masih ada segelintir anggota masyarakat yang mungkin tiada akses kepada wadah-wadah digital. Golongan tersebut tidak dilupakan, jelas beliau, kerana akan ada program menerusi wadah-wadah tradisional seperti televisyen dan radio untuk mereka ikuti.
"Saya rasa memang suasana hari ini memang suasana digital. Maka kami akan memanfaatkan kedua-dua wadah penyiaran dan digital untuk menunjukkan keupayaan masyarakat kita dari aspek digital," kata Encik Zaqy.

Siaran di televisyen contohnya, ialah siri drama empat episod berunsur pendidikan yang berkisar tentang keluarga yang berusaha untuk kekal relevan dan bertahan dalam keadaan tidak menentu sekarang ini.

INISIATIF BARU BULAN RAIKAN ILMU

Kesemuanya lebih 50 program disediakan termasuk Raikan Ilmu Hour di mana orang ramai digalak membuat ikrar melafazkan komitmen mereka kepada pembelajaan sepanjang hayat semasa acara penutup tirai bulan Raikan Ilmu.

Semasa Raikan Ilmu Hour itu, masyarakat juga diajak bersama-sama berkongsi apa sahaja ilmu yang mereka ada dan mengikrarkan komitmen mereka kepada pembelajaran sepanjang hayat.

Acara itu akan disiarkan secara langsung online, pada 30 Oktober.

(Gambar: MENDAKI)

Satu lagi inisiatif baru ialah pengagihan 'Kotak Kegiatan' yang mengandungi permainan-permainan untuk menggalak keluarga-keluarga melakukan kegiatan berunsur pendidikan secara bersama, sekali gus menjalin hubungan lebih erat.

Ia juga diharap dapat menyuntik rasa ingin tahu mereka kepada program-program lain sepanjang bulan Raikan Ilmu nanti.

"Saya mendorong anggota masyarakat kita untuk tidak melepaskan peluang ini dan terus mendaftar bagi peti Raikan Ilmu secepat ilmu sebelum tarikh tutup pada tanggal 18 September ini," kata Cik Zuraidah.

Mereka yang ingin mendaftar untuk mendapatkan kotak kegiatan tersebut boleh melakukannya di pautan ini: Raikan Ilmu.

PESTA KERJAYA, ACARA MEMBACA & DIALOG MENDAKI-IPS

Selain itu, satu pesta kerjaya secara online yang menawarkan pelbagai tawaran pekerjaan dan khidmat nasihat kerjaya juga akan diadakan antara 14 hingga 20 Oktober.

Acara Membaca@Taman Siber pula akan diadakan pada 10 Oktober. Ini merupakan satu acara siaran online secara langsung yang menggalak keluarga-keluarga mengambil bahagian dalam kegiatan membaca dan pembelajaran interaktif secara bersama-sama.

Pada 15 Oktober pula satu Dialog MENDAKI-Institut Kajian Dasar (IPS) akan dianjurkan. Acara dialog secara maya itu akan meneroka perbincangan tentang bagaimana membantunkan sebuah masyarakat yang berdaya tahan menerusi pembelajaran sepanjang hayat.

(Gambar: MENDAKI)

Dengan begitu banyak kegiatan dan penyertaan yang disasarkan, MENDAKI menetapkan matlamat yang cukup besar untuk kempen Raikan Ilmu kali ini.

"Saya rasa penting walaupun tahun ini kita tidak mempunyai aktiviti fizikal. Tapi tahun lepas misalnya kita telah mempunyai satu target untuk mendekati 30,000 peserta, jadi tahun ini kita mempunyai target untuk mendekati 40,000.

"Jadi kita berharaplah melalui aktiviti dalam talian, kita dapat menggunakan peluang-peluang ini untuk mendekati lebih ramai lagi masyarakat kita untuk memenuhi objektif kita untuk meraikan ilmu," kongsi Encik Zaqy lagi.

LAGU RAIKAN ILMU DILANCAR

Tahun ini, Raikan Ilmu juga melancarkan sebuah lagu berjudul Sama Raikan, yang diharap akan terngiang-ngiang di telinga anda dan terus teringat kepada Raikan Ilmu.

(Gambar: MENDAKI)

Lagu rancak yang dibuat oleh penerima Anugerah Belia Harapan Goh Chok Tong, Riduan Zalani dari Nadi Singapura dengan kerjasama penulis lirik Hartina Ahmad itu membangkitkan semangat optimisme dan meraikan ilmu.

Oleh kerana program-program Raikan Ilmu diadakan secara online, MENDAKI juga menyediakan laman mikro sebagai lokasi tumpuan untuk anggota masyarakat mendapatkan maklumat tentang semua kegiatan sepanjang bulan Oktober nanti.

"Ikuti perkembangan mengenai aktiviti dan inisiatif Raikan Ilmu pada bulan Oktober nanti melalui laman media sosial kami di Facebook dan Instagram dan juga di laman mikro Raikan Ilmu," kata Cik Zuraidah.

Senarai kegiatan dan program bulan Raikan Ilmu ini boleh anda diperolehi di laman mikro Mendaki. 

Sumber : BERITA Mediacorp/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan