Skip to main content

Singapura

Lebih 50 Kadi, Naib Kadi berkumpul cari strategi baru perkukuh mahligai pasangan baru

Lebih 50 orang Kadi dan Naib Kadi hari ini (1 Apr) berkumpul dalam satu 'retreat' atau pertemuan rahat, untuk terus mencari strategi-strategi baru bagi memperkukuh mahligai pasangan yang baru bernikah. 

Anggaran Waktu Membaca:
Lebih 50 Kadi, Naib Kadi berkumpul cari strategi baru perkukuh mahligai pasangan baru

Antara Kadi dan Naib Kadi yang hadir di Retreat Bersamamu secara maya pada 1 April 2021.

SINGAPURA: Lebih 50 orang Kadi dan Naib Kadi hari ini (1 Apr) berkumpul dalam satu 'retreat' atau pertemuan rahat, untuk terus mencari strategi-strategi baru bagi memperkukuh mahligai pasangan yang baru bernikah.

Rahat tersebut yang dianjurkan secara maya, juga bertujuan menghargai sumbangan mereka.

SUMBANGAN KADI, NAIB KADI DALAM BERSAMAMU

Dalam inisiatif Bersamamu di bawah gerakan M³, lebih 10,000 pasangan sudah didampingi para Kadi dan Naib Kadi sejak Julai 2019, demi memperkukuh perkahwinan dan keibubapaan pasangan-pasangan Muslim.

Antara pasangan yang didampingi itu ialah Cik Shazana Mohamed Jupri, 27 tahun, dan suaminya Ahmad Syafiq Harris, 28 tahun.

Enam bulan selepas bernikah, mereka berdepan dengan cabaran mencari seseorang bagi membincangkan soal komunikasi dalam perkahwinan.

(Gambar: Shazana Mohamed Jupri)

Mujur Naib Kadi Ustaz Ahmad Khushairi Abidin sedia membantu dalam memberi nasihat dan bimbingan rumah tangga.

Malah beliau juga mengenalkan pasangan ini kepada kumpulan sokongan yang menjadikan mereka lebih positif melayari bahtera perkahwinan.

KADI, NAIB KADI HARUS DIPERKASAKAN

Bagi merakamkan pencapaian inisiatif itu, 52 Kadi dan Naib Kadi diraikan dalam acara Retreat Bersamamu untuk menjulang sumbangan mereka.

"Saya teringat kata-kata Ustaz Pasuni Maulan kepada para Kadi dan Naib Kadi semasa Bersamamu pertama dicetuskan iaitu: 'Jika Kadi dan Naib Kadi berani menggoncangkan tangan pengantin ketika bernikah, mereka juga harus berani mendampingi mereka,” kata Menteri Negara Ehwal Dalam Negeri (MHA) merangkap Pembangunan Negara (MND), Dr Muhammad Faishal Ibrahim, dalam ucapannya dalam acara itu.

"Ungkapan ini menunjukkan keprihatinan para asatizah terhadap keutuhan hubungan para pasangan yang baru membina mahligai. Namun kita akur bahawa dalam mendampingi pasangan, Kadi dan Naib Kadi harus diperkasakan dengan kemahiran yang sesuai dengan peranan mereka yang semakin besar."

Itulah yang juga dilakukan dalam sesi retreat ini di mana para Kadi dan Naib Kadi cuba membangun strategi-strategi untuk menyokong pasangan Muslim pada dua tahun pertama mereka bernikah.

Pencapaian Bersamamu sejauh ini termasuklah maklum balas positif yang diterima daripada pasangan-pasangan mempelai serta usaha para Kadi dan Naib Kadi meneruskan sesi 'bersemuka' melalui Zoom semasa pandemik COVID-19.

Malah pencapaian yang diraih sejauh ini juga hasil perkongsian aktif antara Kadi dan Naib Kadi dalam Amalan Masyarakat (COP) Bersamamu.

Ia juga diiringi dengan sokongan berterusan kepada pasangan suami isteri dalam dua tahun pertama perkahwinan mereka menerusi kumpulan sokongan Facebook.

Ini kali kedua Retreat Bersamamu dianjurkan Pejabat Pendaftar Pernikahan Orang Islam (ROMM) dengan kerjasama MSF dan agensi-agensi M³. 

Sumber : BERITA Mediacorp/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita