Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Lebih 450 pesakit barah di bawah naungan Persatuan Ain terima habuan Raya bernilai lebih $60,000

Jumlah ini sekitar 30% lebih tinggi berbanding tahun lalu.
 

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Apabila Mujahid Alhasbi Mohd Salleh, 9 tahun, mengalami kesakitan di betis kirinya dua tahun lalu, ibu bapanya membawanya berjumpa doktor bagi pemeriksaan lanjut.

Tanpa diduga mereka, kesakitan yang dianggap biasa itu sebenarnya disebabkan oleh Ewing Sarcoma - sejenis barah yang jarang-jarang berlaku dan tumbuh dalam tulang atau di tisu-tisu lembut di sekeliling tulang.

mujahid

Disebabkan itu, Mujahid terpaksa keluar masuk Hospital Wanita dan Kanak-Kanak KK bagi mendapatkan rawatan kemoterapi secara kerap dan tidak dapat ke sekolah sepanjang tahun lalu.

"Saya tidak dapat menyambut ulang tahun kerana saya dimasukkan ke hospital dan saya tidak disambut dengan lilin-lilin. Semasa Hari Raya juga saya tidak keluar, tidak dapat keluar.

"Tahun ini saya sangat gembira kerana saya akhirnya dapat keluar beraya, dapat kembali ke sekolah dan lakukan perkara-perkara yang tidak dapat saya lakukan semasa di hospital," kongsi Mujahid.

mujahid

Kini berusia 11 tahun, keadaan Mujahid bertambah baik dan tumor sebesar segenggam tangan itu juga sudahpun dibuang.

Beliau kini hanya perlu memakan ubat bagi menangani kesan-kesan barah.

LEBIH 450 PESAKIT TERIMA HABUAN BERNILAI LEBIH $60,000

Mujahid merupakan salah seorang daripada lebih 450 pesakit barah yang menerima habuan Aidilfitri oleh Persatuan Ain hari ini (28 Apr).

Beliau juga antara 25 pesakit yang hadir secara fizikal bagi majlis pengagihan habuan tersebut di pusat Jagaan Barah Serenity di Haig Road.

mujahid

Habuan Aidilfitri itu juga disampaikan sendiri oleh penaung Persatuan Ain iaitu Presiden Halimah Yacob.

Habuan tersebut antara lain mengandungi kuih Raya serta makanan seperti sate yang dibekukan dan ketupat segera serta duit Raya berjumlah antara $110 hingga $160.

habuan

Secara keseluruhannya, lebih $60,000 diagihkan kepada lebih 450 pesakit barah tahun ini.

Jumlah ini sekitar 30 peratus lebih tinggi berbanding tahun lalu.

Tahun lalu, lebih 400 pesakit barah menerima habuan Raya berjumlah kira-kira $45,000.

HABUAN RAYA "AMAT MEMBANTU"

Salah seorang penerima dan juga pesakit barah payu dara, Cik Eryannie Mohd Sah berkata habuan Persatuan Ain ini "amat membantu" terutama sekali semasa beliau menjalani rawatan sejak tahun lalu.

persatuan ain

"Lagi-lagi dengan keadaan Syawal sekarang, kita memerlukan sekarang, dengan suami yang hanya seorang pencari nafkah dalam keluarga, jadi Alhamdulillah, berterima kasih sangat.

"Saya amat mengalu-alukan bukan hanya kerana bantuan wang ringgit tetapi dari segi sokongan emosi kerana sebagai ibu muda, ini adalah pengalaman yang tak seperti saya jangkakan tetapi mereka banyak membantu dari segi pengendalian emosi."

Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Ain Encik Md Yusof Ismail berkata: "Selain untuk meringankan beban perbelanjaan menyambut Syawal ini, setidak-tidaknya dapat menceriakan sedikit kehidupan mereka yang muram dalam menyambut Raya supaya mereka tidak rasa terasing dari orang-orang lain."

yusof ismail

Selain pengagihan sekali saja menjelang Raya, para penerima yang layak akan terus menerima sokongan kewangan bulanan serta Dana Bantuan dan Krisis COVID-19 sebanyak $150,000 tahun ini.

SESI SOKONGAN SECARA FIZIKAL AKAN DIJALANKAN SECARA BERTAHAP-TAHAP

Dengan pelonggaran undang-undang bagi sekatan pandemik COVID-19, lebih banyak sesi sokongan berkumpulan dan program-program sokongan dapat disambung semula secara fizikal di kedua-dua pusat Jagaan Barah Serenity dan Jagaan Barah Young Heroes.

Bagaimanapun, Encik Yusof berkata pihaknya memilih untuk mengambil pendekatan "berhati-hati dan berwaspada".

"Kita tahu para pesakit barah kami mereka mempunyai daya tahan tubuh dan imunisasi yang rendah sekali. Walaupun sekatan sekarang dah dilonggarkan, kami bersyukur sangat tapi kami masih perlu berhati-hati dan berwaspada dan ia akan dilakukan secara bertahap-tahap walaupun para pesakit barah di bawah naungan kami mengalu-alukan kumpulan sokongan secara fizikal.

"Yang penting, setiap pesakit sebelum mereka datang kepada kami mereka harus mendapatkan nasihat, kelulusan daripada doktor pakar yang merawat mereka sama ada mereka dibenarkan untuk datang," kata Encik Yusof.

Pusat Jagaan Barah Serenity dibangunkan pada 2012 bagi memberi tumpuan dalam menyediakan sokongan kepada para pesakit barah dalam kalangan masyarakat Melayu/Islam, lebih-lebih lagi mereka yang memerlukan bantuan kewangan.

Persatuan Ain juga menyediakan khidmat buat para pesakit barah daripada pelbagai kumpulan etnik mahupun agama.

Sumber : BERITA Mediacorp/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan