Skip to main content

Singapura

Lebih 4,000 penduduk dijangka terjejas akibat operasi pelupusan bom Perang Dunia Kedua di Upper Bukit Timah

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 25 Sep 2023 02:34PM Dikemas Kini : 25 Sep 2023 11:09PM
SINGAPURA: Beribu-ribu orang yang tinggal dan bekerja di beberapa bahagian di Upper Bukit Timah perlu mengosongkan bangunan masing-masing sebelum pakar pelupusan bom meletupkan bom era Perang Dunia Kedua pada Selasa (26 Sep).

Mediacorp difahamkan bahawa lebih 4,000 penduduk dan pihak berkepentingan akan terjejas akibat operasi pelupusan bom itu. Ia termasuk apartmen kediaman dan rumah-rumah kedai. Jumlah yang terjejas itu lebih besar daripada anggaran awal yang dikongsikan kepada Mediacorp, sebanyak 1,600 orang. 


Bom seberat 100 kilogram itu ditemui di tapak binaan kondominium Myst berdekatan stesen MRT Cashew.

Para pakar pelupusan bahan letupan Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) menilai bahawa tidak selamat untuk mengalihkan bom itu dan akan menjalankan "pelupusan terkawal di tapak" dari 8.00 pagi sehingga 7.00 malam pada Selasa.

Sepanjang tempoh itu, kawasan seluas 200 meter akan dikepung dan orang ramai perlu mengosongkan lokasi-lokasi berikut sebelum operasi tersebut dijalankan:

- The Linear
- Hazel Park
- Bukit 828
- Hazel Park Terrace
- Blok 154 Gangsa Road
- Rumah kedai di 778 hingga 822 Upper Bukit Timah Road
- Sekolah Menengah Greenridge

Pihak berkuasa mengadakan mesyuarat dengan penduduk di kawasan tersebut pada Ahad untuk memaklumkan mereka mengenai situasi berkenaan.

Dalam sepucuk surat yang dilihat Mediacorp, para penduduk diberitahu untuk meninggalkan rumah masing-masing sebelum 8.00 pagi pada Selasa dan melekatkan sekeping kertas hijau di pintu depan apabila mereka telah mengosongkan rumah mereka. Kertas hijau itu disediakan oleh pihak polis bagi membenarkan pihak berkuasa untuk menghitung jumlah penduduk di sebuah bangunan.

Para penduduk juga dinasihati untuk membiarkan tingkap rumah mereka terbuka dan mengikat barangan yang longgar atau terbiar di rumah mereka.

"Ini adalah satu langkah berjaga-jaga (yang boleh diambil) memandangkan ia tidak berkemungkinan bahawa sebarang tingkap akan pecah disebabkan perbezaan tekanan udara," menurut polis dalam surat tersebut.

Sebuah kawasan menunggu akan disediakan di Kelab Masyarakat Senja-Cashew bagi penduduk terjejas.

Sekolah Menengah Greenridge pula akan mengendalikan pembelajaran di rumah (HBL) pada Selasa.

Bagi mengendalikan operasi pelupusan bom tersebut, Jejambat Bukit Panjang - antara Woodlands Road dengan Petir Road - serta Upper Bukit Timah Road - antara Petir Road dengan Cashew Road akan ditutup kepada lalu lintas dari 11.00 pagi hingga 7.00 malam pada Selasa.

Pegawai Polis Trafik akan dikerahkan untuk membantu mengarahkan semula pengguna jalan raya.

S


"Tidak perlu berasa cemas. Tetapi penting untuk mematuhi sepenuhnya arahan terperinci yang disediakan oleh polis," tekan Anggota Parlimen bagi kawasan tersebut Dr Vivian Balakrishnan, yang juga merupakan Menteri Ehwal Luar.

Menurut sebuah catatan di Facebook, beliau menambah: "Polis akan memastikan kita diberi kemas kini mengenai perkembangan operasi tersebut dan bila penduduk boleh kembali ke rumah."

Pihak polis menyatakan dalam suratnya kepada penduduk bahawa mereka menjangkakan operasi berkenaan dan pemeriksaan keselamatan selesai dijalankan selewat-lewatnya 7.00 malam, dan akan memaklumkan penduduk apabila ia selamat untuk pulang menerusi satu saluran WhatsApp.

"Bunyi kuat boleh dijangkakan semasa pelupusan terkawal relik perang itu. Orang ramai dinasihatkan supaya tidak cemas dan tidak ke kawasan itu," tambah pihak polis.

Pada 2019, satu bom udara seberat 50 kilogram ditemui di River Valley, juga semasa kerja-kerja penggalian di tapak binaan. Ia juga didapati tidak selamat untuk dialihkan dan perlu dilupuskan di tapak itu sendiri.

Sumber : CNA/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita