Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Lebih 4,000 flat BTO dilancarkan pada Feb; dengan 2 lagi pelancaran pada Jun & Okt 2024

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) melancarkan penjualan bagi sebanyak 4,126 flat Bina Ikut Tempahan (BTO) pada Rabu (21 Feb).

Flat-flat itu ditawarkan bagi tujuh projek baharu di estet-estet berbeza, menurut HDB dalam kenyataan medianya. Ia adalah yang pertama daripada tiga pelancaran BTO bagi tahun 2024, dengan 19,600 flat baharu akan dilancarkan secara keseluruhannya pada tahun ini.

Selain flat-flat BTO, sebanyak 1,588 unit Jualan Baki Flat (SBF) turut dijual secara serentak di bawah pelancaran bulan Februari, dengan sejumlah 5,714 flat ditawarkan kesemuanya. Unit-unit SBF dibangunkan di pelbagai bandar dan estet.

HDB akan mengadakan tiga dan bukan empat penjualan BTO tahun ini, dengan dua lagi akan ditawarkan pada Jun dan Oktober.

"Menawarkan tiga pelancaran BTO dan bukan empat bermakna para pembeli rumah boleh menjangkakan bekalan perumahan yang lebih besar, dan rangkaian flat dan lokasi yang lebih luas, pada setiap pelancaran flat BTO," menurut HDB.

Menurut HDB, ia akan melanjutkan tempoh permohonan tujuh hari bagi penjualan flat kepada lapan hari berkuat kuasa daripada pelancaran bagi penjualan flat kali ini "untuk memberi lebih banyak masa untuk pemohon membuat pilihan yang berhemah".

FLAT BAGI PELBAGAI KEMAMPUAN, KEPERLUAN

Tujuh projek BTO yang ditawarkan dalam pelancaran terbaharu itu terletak di Bedok, Choa Chu Kang, Hougang, Punggol, Queenstown dan Woodlands.

Lima daripada projek tersebut akan mempunyai masa menunggu kurang daripada tiga setengah tahun. Pembeli flat yang ingin berpindah ke flat mereka lebih awal boleh menimbangkan untuk memohon flat di Bedok, Hougang, Punggol dan Woodlands.

“Pelbagai pilihan flat, dari flat dua bilik hingga lima bilik, ditawarkan untuk memenuhi pelbagai keperluan dan kemampuan,” menurut HDB.

Keluarga pemohon kali pertama yang layak boleh memanfaatkan Geran Perumahan CPF yang Dipertingkatkan (EHG) sehingga S$80,000.

LOKASI PERUMAHAN PRIME

Salah satu projek dalam pelancaran tersebut, Tanglin Halt Courtyard, ditawarkan di bawah model Perumahan Awam Lokasi Utama (PLH).

Dibandingkan dengan flat-flat BTO. flat PLH itu berharga lebih rendah daripada flat jual semula yang setanding, dengan mengambil kira lokasi, ciri flat dan keadaan pasaran semasa, dedah HDB.

20 peratus unit flat yang ditawarkan di Tanglin Halt Courtyard akan diketepikan untuk keluarga pembeli kali pertama dan 2 peratus untuk keluarga pembeli kali kedua di bawah Skim Keutamaan Anak Yang Sudah Berumahtangga (MCPS).

JUALAN BAKI FLAT

Kira-kira 12 peratus unit SBF ditawarkan dalam penjualan SBF pada Februari sudah siap, manaka bakinya di peringkat pembinaan yang berbeza, tambah HDB.

Seperti flat-flat BTO, flat-flat SBF diberi subsidi dan harganya lebih rendah berbanding flat jualan semula.

PERMOHONAN BAGI PELANCARAN PADA FEBRUARI 2024

Para pemohon yang ingin menyertai penjualan flat bagi bulan Februari mestilah mempunyai surat kelayakan flat HDB (HFE) yang sah apabila mereka membuat permohonan.

Permohonan flat boleh dibuat secara online melalui Portal Flat HDB mulai Rabu hingga 28 Feb.

Para pemohon hanya boleh memohon bagi satu jenis flat atau kategori bagi satu bandar di bawah penjualan BTO atau SBF. Mereka tidak perlu berkunjung ke Hab HDB untuk membuat permohonan.

HDB akan menyenarai pendek pemohon menggunakan undi komputer dan bukan berdasarkan siapa cepat dia dapat.

Lantaran itu, tidak perlu tergesa-gesa untuk membuat permohonan, menurut HDB.

Pelancaran BTO seterusnya akan diadakan pada bulan Jun, dengan HDB akan menawarkan kira-kira 6,800 flat di Jurong East, Kallang-Whampoa, Queenstown, Tampines, Woodlands dan Yishun.
Sumber : CNA/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan