Lebih 400 keluarga memerlukan terima zakat, kuih dan habuan Hari Raya dari Persatuan Muhammadiyah
Membeli baju dan kasut baru untuk Hari Raya - itulah hajat Cik Norsuziyanti Saleh untuk anak ketiganya berusia enam tahun yang menghidap leukemia sejak setahun yang lalu.
SINGAPURA: Membeli baju dan kasut baru untuk Hari Raya.
Itulah hajat Cik Norsuziyanti Saleh untuk anak ketiganya berusia enam tahun yang menghidap leukemia sejak setahun yang lalu.
Mujur dengan bantuan duit zakat yang diterima dari Persatuan Muhammadiyah tahun ini, hasrat surirumah berusia 38 tahun itu dapat tercapai.
"Banyak membantu untuk membeli barang-barang raya, beli baju-baju raya untuk anak-anak. Jadi Alhamdulillah, boleh bernafas sikit," kata Cik Norsuziyanti.
(Gambar: Syawal Yusoff)
Dengan perbelanjaan perubatan anaknya mencecah lebih S$24,000 sebulan, beliau sekeluarga bergantung kepada pendapatan suaminya dan juga bantuan badan-badan kebajikan untuk membesarkan empat orang anaknya.
"Alhamdulillah anak saya menunjukkan kemajuan. Badannya sesuai dengan semua ubat yang diberikan kepadanya, ubat kemoterapi. Harapan saya untuk Hari Raya ini doa yang terbaik untuk saya dan anak saya sihat, cepat baik," tambahnya.
Cik Norsuziyanti ialah antara 435 keluarga memerlukan yang menerima bantuan dari Persatuan Muhammadiyah tahun ini.
80 daripadanya juga dijemput hadir ke Majlis Pengagihan Zakat serta Penghargaan Kepada Penaja yang diadakan di Wisma Geylang Serai (WGS) pada Sabtu (15 Apr).
Selain wang zakat, mereka turut membawa pulang Kuih Hari Raya hasil sumbangan kedai Mdm Ling Bakery serta habuan barangan dapur bernilai lebih S$300.
GRAB SINGAPORE SUMBANG S$5,000, BANTU HANTAR BARANGAN LANGSUNG KE RUMAH
Turut menyokong usaha murni tersebut adalah syarikat Grab Singapore yang turut menghulurkan dana bernilai S$5,000 untuk menyokong usaha-usaha Persatuan Muhammadiyah.
Di samping itu, syarikat itu juga menyediakan khidmat pengangkutan percuma kepada para penerima bantuan untuk ke WGS serta menghantar barangan dapur langsung ke semua rumah para penerima bantuan.
"Sering kali kami mempunyai rakan kerja yang datang kepada kami walaupun mereka boleh mendapat barangan dan hamper, adalah sukar untuk mendapatkan khidmat logistik untuk menghantar kepada para penduduk dan di sinilah kami datang untuk bantu. Semoga usaha kecil ini dapat membawa senyuman, keceriaan dan kebaikan kepada masyarakat dalam bulan istimewa ini," kata Pengarah Pengurusan Grab Singapore, Encik Yee Wee Tang.
(Gambar: Syawal Yusoff)
Menerusi bantuan daripada rakan-rakan kerja dan masyarakat sepanjang Ramadan, Persatuan Muhammadiyah berjaya mengagihkan bantuan sekitar S$185,100 kepada lebih 1,000 keluarga yang memerlukan sepanjang Ramadan tahun ini.
"Kami dapat bantuan dari segi makanan dan juga pengumpulan dana. Usaha-usaha sebegini perlukan sokongan daripada masyarakat dan kami mengalu-alukan kolaborasi dengan mana-mana pertubuhan yang ingin bekerjasama dengan kami," kata Setiausaha Umum Persatuan Muhammadiyah Cik Roszanah Abdul Salim.
Selain WGS, Grab dan Mdm Ling Bakery, usaha-usaha Persatuan Muhammadiyah pada Ramadan ini turut disokong Muslim Pro, Texas Chicken, Yoshiko, Suvai Foods Pte Ltd dan One Kampong Gelam serta sumbangan orang ramai.
(Gambar: Syawal Yusoff)
Menteri Negara Pembangunan Negara merangkap Ehwal Dalam Negeri Dr Muhammad Faishal Ibrahim yang hadir sebagai tetamu kehormat memuji sokongan masyarakat yang mempamerkan sikap prihatin tanpa mengira kaum, agama dan latar belakang.
"Dengan adanya landasan ataupun pendekatan seperti ini, kita boleh raih lebih banyak manfaat kerana kita meluaskan golongan yang boleh menolong, menyumbang kepada masyarakat tertentu, mungkin mereka yang berisiko, mungkin mereka yang perlukan lebih banyak sokongan dan dengan penggemblengan tenaga ini, kita boleh memberikan ruang bagi mereka yang mahu menolong," kata Dr Faishal.
Menjelang Aidilfitri pula, Persatuan Muhammadiyah akan sekali lagi mendampingi para penerima bantuan dalam satu acara berbuka puasa beramai-ramai di Bazar Geylang Serai pada Selasa, 18 April.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.