Skip to main content

Singapura

Lebih 400 belia diajak teroka laluan kerjaya dalam sesi rangkaian YOUth@M³ sempena Raikan Ilmu

Anggaran Waktu Membaca:
Lebih 400 belia diajak teroka laluan kerjaya dalam sesi rangkaian YOUth@M³ sempena Raikan Ilmu

Semasa dialog panel, topik seperti aspirasi dan matlamat kerjaya dalam kalangan belia merupakan antara yang disentuh dalam perkongsian para peserta di Sesi Rangkaian YOUth@M³. (Gambar: Yayasan MENDAKI)

Diterbitkan : 17 Jul 2024 11:58PM Dikemas Kini : 18 Jul 2024 12:08AM
SINGAPURA: Berkongsi perspektif dengan rakan sebaya dari pelbagai latar belakang bagi membina portfolio dan meneroka peluang dalam pelbagai laluan pendidikan dan kerjaya.

Ini yang dilakukan lebih 400 pelajar Institut Pengajian Tinggi (IHL) semasa menghadiri sesi rangkaian YOUth@M³ pada Sabtu (13 Jul) dan Ahad (14 Jul) di pejabat Google Singapore.Sesi rangkaian anjuran Yayasan MENDAKI itu diadakan sempena gerakan Raikan Ilmu tahun ini.

Ia berlangsung menyusuli Persidangan Masyarakat Gemilang (MGC), yang diserikan dengan kehadiran tetamu terhormat Menteri Tenaga Manusia merangkap Menteri Kedua Perdagangan dan Perusahaan, Dr Tan See Leng.
 
Menerusi sesi itu, belia-belia tersebut juga diharap dapat meraih inspirasi dan semangat untuk menyumbang kembali serta membentuk masa depan masyarakat.

Sebanyak empat sesi rangkaian YOUth@M3 diadakan sepanjang hujung minggu lalu, khususnya bagi para peserta dari lima daerah merata negara - Barat Laut, Tenggara dan Tengah, Timur Laut dan Barat Daya meliputi 11 M³@Towns.

Sesi-sesi rangkaian tersebut diadakan buat julung-julung kalinya di bawah satu bumbung selama dua hari.

Hasil cetusan oleh Naib Pengerusi Yayasan MENDAKI Zaqy Mohamad, sesi-sesi rangkaian itu bermatlamat untuk menggabungkan sumber-sumber serta menghimpunkan para penceramah yang dapat menjadi inspirasi kepada golongan muda.
Menteri Negara Kanan, Penasihat GRC Marsiling-Yew Tee dan Naib Pengerusi Yayasan MENDAKI, Encik Zaqy Mohamad, berinteraksi dengan para peserta YOUth@M³ Sesi Rangkaian dari daerah Barat Laut dalam permainan BINGO. (Gambar: Yayasan MENDAKI)
PADAT DENGAN KEGIATAN KHUSUSNYA BAGI PARA BELIA

Dengan tema "Menyokong Laluan Pelajar Ke Arah Kejayaan", para peserta diajak untuk turut serta dalam program kepimpinan selama sejam melalui tiga astaka interaktif - Kepimpinan, Memperkasa Kehidupan dan Tanpa Keterbatasan.

Sepanjang program tersebut, mereka berkesempatan untuk mendalami personaliti serta kekuatan individu masing-masing. Di samping itu, mereka juga dapat meneroka teknologi terbaharu untuk merangsang inovasi dan mengambil bahagian dalam kegiatan pengalaman, di mana mereka berpeluang untuk bekerjasama dalam pasukan untuk menabur bakti kepada masyarakat.

Beberapa karyawan dari bidang berbeza turut diundang ke sesi rangkaian tersebut, untuk berkongsi pengalaman mereka meniti haluan masing-masing untuk mengecapi impian.

Mereka terdiri daripada termasuk Encik Norman Ng, Ketua Dampingan Global Amanah & Keselamatan Google APAC, Cik Malis Selamat, Ketua Perniagaan Korporat, Google Cloud Asia Tenggara, Cik Fathiah Najwa Khan, Perunding Kanan, Capco Consulting dan Encik Syukri Azman, Pakar Keberkesanan Penjualan Global, LexisNexis Risk Solutions.

Selain itu, sesi tersebut turut menyediakan platform bagi para peserta membangkitkan pelbagai isu yang menjadi keprihatinan mereka kepada penasihat GRC mereka.

Seramai 11 penasihat GRC turut turun padang untuk mendampingi belia-belia tersebut.

Mereka terdiri daripada:

- Menteri Masagos Zulkifli Masagos Mohamad, Timur Laut / Tampines
- Menteri Dr Maliki Osman, Tenggara / Bedok
- Menteri Negara Kanan (SMS) Zaqy Mohamad, Barat Laut / Marsiling–Yew
Tee
- Menteri Negara (MOS) Faishal Ibrahim, Barat Laut / Nee Soon
- MOS Rahayu Mahzam, Barat Daya / Jurong
- Anggota Parlimen (AP) Saktiandi Supaat, Tengah / Bishan-Toa Payoh
- AP Dr Wan Rizal Wan Zakariah, Tengah / Jalan Besar
- AP Mariam Jaafar, Barat Laut / Woodlands
- AP Sharael Taha, Timur Laut / Pasir Ris-Punggol
- AP Zhulkarnain Abdul Rahim, Barat Daya / Chua Chu Kang
- AP Dr Tan Wu Meng, Barat Daya / Jurong

Langkah-langkah yang perlu diambil dalam memastikan kesediaan bagi masa depan serta makna kejayaan menjadi antara isu yang dibangkitkan belia di acara tersebut.

Salah seorang peserta sesi rangkaian tersebut, Humaira Safiya akur dengan cabaran yang seringkali membelenggu belia sebayanya itu.

"Bagi belia, kita masih tidak pasti apa yang kita mahu lakukan bagi kerjaya kami. Berbeza dengan zaman ibu bapa saya, terdapat pelbagai laluan hari ini seperti kerjaya dalam teknologi, perkhidmatan sosial, dan juga untuk menjadi sukarelawan dalam masyarakat," ujar gadis berusia 20 tahun itu, yang merupakan mahasiswi dari Universiti Nasional Singapura (NUS).

Berkongsi antara nasihat yang diperolehinya daripada menghadiri sesi tersebut, Fuad Hasan Damanhuri berkata: "Banyak penekanan diberikan dalam memberi jaminan kepada para peserta bahawa (mereka mempunyai akses mudah kepada) laluan untuk menimba ilmu pengetahuan, menjangkaui laluan tradisional untuk menggenggam diploma atau ijazah. Penekanan lain juga diberikan kepada industri-industri yang kian berkembang seperti teknologi, di mana semua orang akan terdedah untuk bekerjasama dan di samping teknologi dalam kapasiti yang berbeza.

"Lagi satu perkara yang saya raih daripada sesi itu adalah untuk memaksimumkan tahun-tahun pengajian tinggi kami dengan melakukan latihan amali dan memperluaskan rangkaian kami. YOUth@M3 juga merupakan platform yang baik bagi membina rangkaian," ujar belia berusia 26 tahun itu, yang kini bertugas sebagai Penilai Kemampanan di DNV Business Assurance Singapore Pte Ltd.
Dr Faishal berharap para AP Melayu/Islam dapat sama-sama turun padang untuk mendampingi masyarakat. (Gambar: Yayasan MENDAKI)
ALU-ALUKAN PLATFORM DAMPINGI GOLONGAN MUDA

Melihat sambutan yang memberangsangkan bagi acara tersebut, Encik Zaqy dan Cik Rahayu antara pemimpin masyarakat yang mengalu-alukan peluang sedemikian untuk mendampingi para pelajar dari pelbagai latar belakang, meliputi mereka dari madrasah hingga ke universiti.

Cik Rahayu malah berbesar hati melihat para peserta "meraih manfaat daripada sesi tersebut dengan mengenali pelajar dan karyawan lain di luar lingkaran sosial mereka".
Menteri Negara merangkap Penasihat GRC Jurong Cik Rahayu Mahzam berinteraksi dengan para pelajar dari pelbagai Institut Pengajian Tinggi di Rangkaian YOUth@M³ Sesi bagi daerah Barat Daya. (Gambar: Yayasan MENDAKI)
"Adalah baik juga untuk mengetahui peri pentingnya membina rangkaian, mengasah kemahiran dan mengetahui pelbagai sokongan yang tersedia untuk membantu mereka mencapai aspirasi mereka," jelasnya.
Sumber : BERITA Mediacorp/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita