Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Lebih 40 pelajar, pegawai polis sertai latihan antipengganasan di ITE Kolej Barat

Tembakan kedengaran di udara sedang pegawai polis berdepan dengan sekumpulan pengganas bersenjata di Kolej Barat Institut Pendidikan Teknikal (ITE) pada pagi Isnin (18 Nov).

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 18 Nov 2024 04:57PM Dikemas Kini : 18 Nov 2024 11:08PM
SINGAPURA: Tembakan kedengaran di udara sedang pegawai polis berdepan dengan sekumpulan pengganas bersenjata di Kolej Barat Institut Pendidikan Teknikal (ITE) pada pagi Isnin (18 Nov).

Menembak ke arah pengganas bersenjata dalam formasi taktikal, para pegawai polis bertindak balas terhadap serangan nekad yang kemudian disusuli dengan kenderaan yang digunakan untuk melancarkan serangan.

Penyerang nekad itu kemudian berlari ke arah orang ramai sebelum meletupkan bom di dalam beg galasnya. Para pelajar yang cedera jatuh ke lantai dalam keadaan berlumuran darah di tengah-tengah kepulan asap dan kebakaran, sedang sukarelawan pelajar yang dilatih dalam kemahiran kecemasan oleh Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) bergegas membantu mereka yang cedera.

Tidak lama selepas itu, lebih ramai pengganas merempuh orang ramai di tempat letak kereta sedang pegawai polis tiba di tempat kejadian. Para pengganas dan pegawai polis berbalas tembakan sedang mangsa terbaring di atas lantai.
Reaksi mangsa selepas berlaku "letupan" semasa Latihan Heartbeat di ITE Kolej Barat pada 18 Nov 2024. (Gambar: CNA/Wallace Woon)
Pegawai polis memberi tindak balas kepada ancaman semasa Latihan Heartbeat di ITE Kolej Barat pada 18 Nov 2024. (Gambar: CNA/Wallace Woon)
Pegawai polis menahan pengganas semasa Latihan Heartbeat di ITE Kolej Barat pada 18 Nov 2024.
Beginilah senario latihan antipengganasan dan kesediaan kecemasan - yang diberi nama Latihan Heartbeat - di ITE Kolej Barat yang diadakan pada Isnin (18 Nov).

Lebih 40 orang, termasuk kakitangan dan pelajar ITE, serta pegawai dari Pasukan Polis Singapura (SPF) dan SCDF terlibat dalam latihan tersebut.

Latihan itu "peluang dan peringatan yang tepat pada masanya" untuk pihak-pihak berkepentingan dan pemilik bangunan untuk sentiasa memeriksa dan menyemak langkah-langkah keselamatan masing-masing, di samping mengesahkan protokol luar jangka dan meningkatkan kesediaan kecemasan mereka terhadap kemungkinan berlaku serangan pengganas, menurut SPF dalam kenyataan medianya.

Latihan itu diadakan selepas seorang paderi Katolik ditikam oleh seorang lelaki bersenjatakan pisau semasa upacara misa di Gereja St Joseph di Bukit Timah pada awal November.

Penyerang, warga Singapura berusia 37 tahun, berjaya dilenturkan oleh beberapa orang yang hadir di upacara tersebut dan dia kemudian diberkas oleh pihak polis. Basnayake Keith Spencer didakwa atas tuduhan dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah menggunakan senjata berbahaya pada 11 Nov.

Polis berkata pada masa itu bahawa tiada bukti yang menunjukkan bahawa ia adalah serangan yang bermotifkan agama.
Sekumpulan pelajar ditahan oleh pengganas semasa Latihan Heartbeat di ITE Kolej Barat pada 18 Nov 2024.
Pegawai polis bertindak menghadapi ancaman semasa Latihan Heartbeat di ITE Kolej Barat pada 18 Nov 2024.
Pengawal keselamatan menghadang kawasan dengan objek mencurigakan, dan mengarahkan orang awam supaya menghindari kawasan itu semasa Latihan Heartbeat di ITE Kolej Barat pada 18 Nov 2024.
Menteri Negara Ehwal Dalam Negeri Dr Faishal Ibrahim, yang menyaksikan latihan itu, berkata bahawa sukarelawan pelajar, atau Civil Defence Lionhearters, menyokong para pegawai SPF dan SCDF dalam respons mereka semasa latihan itu.

“Sukarelawan pelajar ini menunjukkan kepada kita betapa pentingnya untuk menimba kemahiran seperti kemahiran pertolongan cemas supaya kita dapat membantu tepat pada masanya sekiranya berlaku serangan atau sebarang insiden kecemasan,” tambahnya.
Pengganas melancarkan serangan semassa Latihan Heartbeat di ITE Kolej Barat pada 18 Nov 2024.
Responden pertama dari pihak polis, SCDF dan sukarelawan menghulurkan bantuan kepada 'mangsa' semasa Latihan Heartbeat di ITE Kolej Barat pada 18 Nov 2024.
“Semua orang memainkan peranan penting dalam memerangi pengganasan. Kita mesti terus berwaspada, menimba kemahiran kesediaan kecemasan dan membina hubungan baik antara satu sama lain untuk mengukuhkan daya tahan masyarakat kita.

Menjawab soalan sama ada Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) akan mempertimbangkan untuk menjalankan latihan sedemikian di tempat-tempat ibadat menyusuli serangan baru-baru ini, Dr Faishal berkata SPF bekerjasama dengan rakan-rakan kongsi masyarakat, termasuk tempat ibadat, untuk menjalankan latihan simuasi dan fizikal.
Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan