Skip to main content

Singapura

Lebih 4,700 karton rokok tidak dibayar cukai dirampas, 3 lelaki ditahan di Bedok dan Woodlands

Lebih 4,700 karton rokok yang tidak dibayar cukai disita menyusuli operasi-operasi yang dijalankan di Bedok dan Woodlands, dedah Kastam Singapura hari ini (23 Ogos), dengan keseluruhan duti serta GST yang dielakkan berjumlah hampir S$440,000.

Anggaran Waktu Membaca:
Lebih 4,700 karton rokok tidak dibayar cukai dirampas, 3 lelaki ditahan di Bedok dan Woodlands

Sebuah lori membawa rokok tidak dibayar cukai, yang disita di Woodlands pada 18 Ogos 2021 (Gambar: Kastam S'pura)

Diterbitkan : 23 Aug 2021 12:35PM Dikemas Kini : 23 Aug 2021 12:42PM

SINGAPURA: Lebih 4,700 karton rokok yang tidak dibayar cukai disita menyusuli operasi-operasi yang dijalankan di Bedok dan Woodlands, dedah Kastam Singapura hari ini (23 Ogos).

Tiga lelaki - warga Singapura, China dan Malaysia - juga ditangkap.

Kastam Singapura menyatakan pihaknya menjalankan operasi tersebut pada 18 Ogos berdekatan Bedok North Street 5, di mana para petugas memerhatikan kotak-kotak yang dipindahkan daripada sebuah van dengan nombor plat yang berdaftar di Singapura ke sebuah lori yang juga berdaftar di Singapura.

Pemeriksaan itu menemui 1,700 karton rokok yang tidak dibayar cukai dalam kedua-dua kenderaan tersebut.

Pemandu lori itu, seorang warga China berusia 44 tahun, ditangkap, menurut pihak berkuasa.

Semasa satu operasi pada petang yang sama di Woodlands Avenue 6, para pegawai menemui 2,996 karton dan 40 kotak rokok yang tidak dibayar cukai di dalam sebuah lagi van yang berdaftar di Singapura.

Pemandu dan penumpang van itu, warga Singapura berusia 47 tahun dan warga Malaysia berusia 54 tahun, ditangkap.

Dalam operasi penggeledahan susulan di kediaman lelaki warga Singapura itu di Yishun Street 22, para pegawai merampas lagi 64 karton dan 37 kotak rokok yang tidak dibayar cukai, menurut Kastam Singapura.

Tiga kenderaan, sebanyak 4,760 karton dan 77 kotak rokok yang tidak dibayar cukai disita dalam dua operasi itu.

Keseluruhan duti serta Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang dielakkan masing-masing berjumlah sekitar S$407,160 dan S$32,660.

Wang tunai sebanyak S$12,750, yang disyaki merupakan hasil jenayah daripada penjualan rokok yang tidak dibayar cukai, juga dirampas daripada salah seorang suspek.

Siasatan sedang dijalankan, tambah Kastam Singapura.

Membeli, menjual, menyampaikan, menghantar, menyimpan, memiliki atau berurusan dengan barang yang tidak dibayar cukai adalah kesalahan serius di bawah Akta Kastam dan Akta GST.

Pesalah boleh didenda hingga 40 kali ganda daripada jumlah duti dan GST yang dielakkan dan/atau dipenjara sehingga enam tahun.

Kenderaan yang digunakan semasa melakukan kesalahan tersebut dan hasil penjualan rokok yang tidak dibayar cukai juga berkemungkinan akan dirampas.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kegiatan penyeludupan atau elak cukai Kastam atau GST boleh menghubungi Kastam Singapura.

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita