Skip to main content

Singapura

Lebih 4,000 pelanggan 'serbu' Pasar Geylang Serai pada Sabtu

Pasar Geylang Serai tetap jadi pujaan. Lebih 4,000 pelanggan 'serbu' Pasar Geylang Serai pada Sabtu (8 Mei) bagi persiapan Hari Raya. Mujur kebanyakan pelanggan ikut peraturan dan tidak perlu disuruh untuk menjaga jarak selamat.

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Pasar Geylang Serai penuh sesak hari ini (8 Mei) dengan sekitar 4,000 orang 'menyerbu' pasar itu untuk membeli barang-barang dapur bagi persiapan Hari Raya.

Orang ramai beratur panjang sehingga 300 meter panjangnya dan perlu menunggu sehingga sejam sebelum dapat masuk ke pasar itu.

Semasa kru BERITAmediacorp tiba di pasar itu pada 6.45 pagi, bilangan yang beratur sudahpun mencecah ratusan orang.
Menjelang jam 8.00 pagi, panjangnya orang beratur sudah menjalar ke kawasan bangunan apartmen Millage yang terletak bersebelahan Pasar Geylang Serai.

Pada jam 9.00 pagi, kami dimaklumkan bahawa sekitar 3,000 orang sudahpun memasuki kawasan pasar Geylang Serai.Sekitar 500 orang menunggu giliran mereka untuk memasuki Pasar Geylang Serai pada satu-satu masa.

Pantauan BERITAmediacorp mendapati bahawa dua jam kemudian bilangannya sudah mencecah sekitar 4,000 orang.

Mentelah lagi, ini merupakan hujung minggu terakhir sebelum Lebaran di mana orang ramai sibuk membuat persiapan terakhir.

PARA PELANGGAN PATUH PERATURAN JARAK SELAMAT

Secara kebetulan, ini juga adalah hari pertama langkah-langkah pengurusan selamat lebih ketat dikuatkuasakan, demi menyekat lonjakan kes-kes baru COVID-19.

Maka tidak hairanlah, para pegawai serta duta jarak selamat kelihatan tegas memastikan para pelanggan yang membanjiri luar pasar itu mematuhi peraturan.

Menurut seorang kakitangan SG Clean, lebih 10 pegawai kesemuanya - dari SG Clean, Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) dan Duta-Duta Jarak Selamat - dikerahkan untuk memantau situasi di pasar itu.

Seorang pegawai SG Clean memberitahu kami, pihaknya puas hati dengan situasi di pasar ini dan sikap orang ramai. Majoriti pelanggan rata-rata tidak perlu disuruh untuk menjaga jarak selamat.

TIDAK MERUNGUT PERLU BERATUR

BERITAmediacorp sempat bertemu dengan beberapa pengunjung yang sedang menunggu giliran untuk masuk ke dalam pasar.

Encik Wan dan keluarga misalnya tiba di Geylang Serai pada jam 7.45 pagi dan perlu menunggu sekitar setengah jam sebelum dapat memasuki pasar.

"Kita datang untuk cari bahan-bahan pasar. Melihat jarak selamat, semuanya baik dan teratur. Saya rasa kalau yang nak datang dan boleh tahan semasa menunggu, datang lah, kalau tidak jangan datang dulu," kata Encik Wan.
Seperti Encik Wan, Cik Noraini, datang sekitar jam 7.50 pagi. Walaupun tinggal "jauh" dari Geylang "tetap harus datang juga".

"Jumlah orang di sini, memang tak boleh cakap lah. Banyak bersabar dan harus ikut peraturan," ujar Cik Noraini yang perlu menunggu sekitar 30 minit sebelum tiba gilirannya menjadi 'tamu' Pasar Geylang Serai.

Sementara ramai yang perlu menunggu sekitar setengah jam untuk memasuki kawasan pasar, ada juga yang perlu menunggu lebih sejam dalam barisan beratur seperti Cik Jeenat Hassan Muhd, 75 tahun, yang datang bersama suaminya, Encik Sulaiman Osman, 69 tahun.

Cik Jeenat memberitahu BERITAmediacorp: "Dari 7.30 pagi kita sampai di sini. Kita tunggu dari lampu isyarat di sana (simpang jalan), kita berpusing... lebih sejam kita tunggu di sini. Tetapi apa nak buat kan, keadaan sudah macam begini, kita terima saja."

Yang pasti, pasar Geylang Serai tiada tolok bandingnya dengan pasar lain di benak sesetengah anggota masyarakat Melayu.

Manakan tidak, daun ketupat, sayuran dan juga ayam serta daging. Sebut sahaja bahan apa yang anda perlukan untuk memasak lauk-pauk Hari Raya - semuanya ada di Pasar Geylang Serai ini.

Lantaran itulah, ramai yang sanggup beratur panjang untuk melanggani pasar 'lubuk Melayu' itu.

"Tunggu tadi dalam 45 minit. Tetapi okay jugalah sebab kalau pergi ke pasar lain mungkin tidak ada barang yang ada di Pasar Geylang," hujah pelangga bernama Cik Tuty.

JUALAN TAHUN INI LEBIH BAIK BERBANDING 2020

Di dalam pasar sendiri, keadaannya kelihatan rancak tetapi tidak kecoh sebagaimana hiruk-pikuk yang lazim kelihatan semasa zaman sebelum pandemik COVID-19 dulu.

Meskipun jumlah pengunjung dihadkan kepada 300 orang di dalam pasar pada satu-satu masa, pada umumnya kesemua peniaga yang kami temui cukup gembira.

Mereka mengatakan bahawa penjualan masing-masing meningkat lebih-lebih lagi berbanding Ramadan tahun lepas.

Cik Rashidah Hussain, 46 tahun, yang menjual sayuran memberitahu BERITAmediacorp: "Sekarang ini menjelang bulan Syawal, memang rasa orang ramai, perniagaan nampak meningkat. Kita berharap dalam 2-3 hari ini mungkin akan meningkat lagi, sekitar 60%.

"Untuk tahun lepas, agak teruk disebabkan circuit breaker. Jadi kita harapkan tahun ini akan lebih baik dari tahun lepas," tambahnya lagi.

Encik Hafis Sahrudin, 35 tahun, pegerai daging ayam juga menyuarakan sentimen yang sama.

"Kalau kita bandingkan tahun lepas, memang teruk sebab dikenakan sekatan, kan. Tetapi sekarang, dah naik 20-30%," katanya.

Seorang lagi peniaga di pasar itu, Encik Saddam Zahid, 59 tahun juga berpendapat perniagaannya menjelang Hari Raya ini "lebih bagus sikit" berbanding tahun 2020.

"Tahun lepas kan harus ikut genap dan ganjil" katanya dan itu menjejas jumlah pengunjung.

Ditanya berapa pertambahan perniagaan yang diterimanya, Encik Saddam sekadar menjawab "meningkat 5%".

Menjelang tengah hari pada Sabtu, BERITAmediacorp mendapati barisan beratur di pasar yang sinonim sebagai 'pasar halal' itu sudah mula reda.

Sekitar 300 orang yang menunggu giliran mereka untuk memasuki kawasan pasar.  

Sumber : BERITA Mediacorp/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita