Lebih 380 mangsa skim penipuan cinta Internet tahun ini, libatkan kerugian lebih $15 juta

(Gambar: Unsplash)
SINGAPURA: Sekurang-kurangnya 384 individu menjadi mangsa skim penipuan cinta Internet sejak Januari, yang menyebabkan kerugian lebih S$15 juta.
Dalam satu makluman pada Khamis (19 Mei), polis memberi amaran kepada orang awam mengenai kes-kes di mana para penipu berkenalan dengan mangsa lalu memperdayakan mereka untuk sama ada membuat bayaran bagi hadiah yang kononnya dihantar kepada mereka, atau menawarkan bantuan kewangan.
Dalam kebanyakan kes, para penipu mendakwa mereka menghantar hadiah berharga kepada para mangsa. Mangsa kemudian menerima panggilan kononnya daripada pekerja penghantar, yang memaklumkan kepada mereka bahawa barangan itu ditahan oleh pihak berkuasa.
"Para penipu kemudian akan memohon kepada para mangsa supaya membuat bayaran menerusi online kepada akaun bank milik pihak ketiga bagi memastikan pelepasan barang itu," menurut polis.
Dalam satu lagi jenis kes penipuan, para penipu akan meminta mangsa untuk memberikan bantuan kewangan dengan membeli kad hadiah dan mengongsikan kod pengaktifan dengan para penipu, atau dengan memindahkan wang ke akaun bank milik pihak ketiga.
"Mangsa hanya menyedari mereka ditipu apabila mereka menghubungi Kastam Singapura untuk bertanya mengenai yuran penghantaran atau apabila mereka berasa curiga mengenai pertemuan itu dan memutuskan untuk menghubungi polis," menurut SPF.
Bagi mengelak jadi mangsa kepada kes-kes penipuan itu, polis menasihatkan orang awam supaya mengamalkan langkah berjaga-jaga tersebut:
- Berwaspada apabila berkenalan dengan individu menerusi online
- Jangan pindahkan wang kepada individu yang tidak dikenali atau tidak pernah bertemu secara bertemu muka
- Jangan berikan kod pengaktifan kad hadiah kepada individu yang anda tidak kenali atau tidak pernah bertemu secara bertemu muka
- Jika musykil, sentiasa sahkan butiran panggilan itu dengan agensi pemerintah yang relevan
Sesiapa yang mempunyai maklumat mengenai skim penipuan sedemikian boleh hubungi talian polis di 1800-255-0000 atau serahkan maklumat menerusi online.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.