Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Lebih 378,000 pekerja berhasil jalani latihan atau dapat kerja melalui inisiatif Belanjawan COVID-19

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Pelbagai inisiatif diperkenalkan dalam tempoh dua tahun kebelakangan ini untuk membantu lebih 378,000 pekerja menjalani latihan atau meraih peluang kerja semasa pandemik COVID-19.

Demikian menurut laporan Kementerian Kewangan (MOF) pada Khamis (17 Feb), yang meneliti kesan langkah-langkah yang dibentangkan dalam Belanjawan Negara sejak 2020.

Pelbagai langkah, termasuk Skim Bantuan Pekerjaan (JSS) dan Pakej Pekerjaan dan Kemahiran SGUnited serta dasar-dasar kewangan yang lain turut memastikan kadar pengangguran dalam kalangan penduduk Singapura kekal rendah.

"Langkah-langkah tersebut memastikan perniagaan-perniagaan dapat terus bertahan, mengekalkan pekerjaan bagi para pekerja tempatan dan membantu lebih ramai individu dan keluarga mengharungi krisis," menurut kementerian tersebut dalam kenyataannya pada Khamis (17 Feb).

Laporan MOF itu dikeluarkan sehari sebelum kenyataan Belanjawan 2022 dibentangkan oleh Menteri Kewangan Lawrence Wong di Parlimen pada pukul 3.30 petang, Jumaat (18 Feb).

SKIM BANTUAN PEKERJAAN

Dalam penilaiannya terhadap skim-skim sokongan utama, MOF turut mendedahkan bahawa JSS, yang memberikan subsidi gaji kepada para pekerja tempatan, berjaya menyelamatkan 165,000 pekerjaan tempatan beberapa bulan selepas pandemik melanda.

Skim yang diperkenalkan dalam Belanjawan 2020 itu membantu para majikan mengekalkan tenaga kerja tempatan semasa tempoh terburuk pandemik.

Antara April 2020 hingga Disember 2021, sebanyak S$28 bilion diagihkan di bawah JSS, dengan lebih bantuan dihulurkan kepada sektor-sektor yang terjejas teruk, menurut laporan tersebut.

Subsidi-subsidi di bawah JSS adalah antara 25 peratus hingga 75 peratus daripada S$4,600 pertama gaji bulanan kasar yang dibayar kepada para pekerja tempatan.

Satu kajian bersama oleh Kementerian Tenaga Manusia (MOM) dan MOF menganggarkan terdapat peningkatan 10 peratusan mata pada subsidi gaji JSS.

Ini membawa kepada peningkatan bersih 0.44 pekerjaan tempatan yang berjaya diselamatkan oleh setiap firma pada setiap bulan bagi perniagaan-perniagaan yang terjejas teruk akibat COVID-19, seperti sektor penerbangan dan pelancongan.

Bagi firma-firma yang perniagaan mereka terjejas oleh langkah-langkah pengurusan selamat, seperti sektor khidmat makanan, sektor hiburan dan persekitaran terbina, 0.13 pekerjaan tempatan berhasil diselamatkan bagi setiap firma pada setiap bulan melalui JSS, menurut laporan itu lagi.

Perangkaan ini menggambarkan sekitar 165,000 pekerjaan tempatan berjaya dikekalkan pada 2020.

PAKEJ PEKERJAAN DAN KEMAHIRAN SGUNITED

Pakej Pekerjaan dan Kemahiran SGUnited bertujuan untuk menyediakan peluang latihan dan pekerjaan bagi para pemohon kerja tempatan yang terjejas akibat pandemik.

Ini termasuk beberapa skim lain, seperti Program Pelatih SGUnited, yang menawarkan peluang kepada para siswazah yang baru menamatkan pengajian untuk menjalani program pelatih dan Kemahiran SGUnited, yang menawarkan program latihan sepenuh masa dengan kerjasama industri-industri tempatan.

Laporan tersebut turut mendapati bahawa setakat Oktober 2021, lebih 166,300 peluang pekerjaan dan kemahiran di bawah pakej berkenaan sudah diisi, dengan 122,300 atau lebih 70 peratus dalam bentuk penempatan pekerja.

Penempatan pekerja ini merangkumi "campuran baik" peranan karyawan, pengurus, eksekutif dan teknisyen (PMET) dan juga peranan-peranan bukan PMET, dengan lebih tujuh daripada 10 merupakan peranan kerja jangka panjang.

INSENTIF PERTUMBUHAN PEKERJAAN

Program Insentif Pertumbuhan Pekerjaan (JGI) memberikan bantuan gaji kepada setiap pekerja tempatan yang digajikan oleh firma-firma yang layak bagi menggalak mereka supaya menggajikan pekerja tempatan.

Skim itu merangsang pengambilan lagi 47,000 pekerja tempatan yang digajikan antara September 2020 hingga Februari 2021. Ia juga secara sederhana meningkatkan jumlah pekerja yang lebih matang, berusia 40 tahun ke atas.

Hampir separuh pekerja yang digajikan dengan sokongan JGI menganggur sebelum itu, dengan hampir 30 peratus daripada mereka sudah menganggur selama lebih enam bulan.

Sumber : CNA/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan