Lebih 3,700 diberkas atas kesalahan vape antara April-Jun 2025
Lebih 3,700 orang ditangkap dan didenda kerana memiliki atau menggunakan vape antara 1 April hingga 30 Jun, sedang pihak berkuasa Singapura meningkatkan usaha untuk membanteras kegiatan tersebut.
Petikan skrin catatan media sosial oleh pesalah yang didenda kerana memuat naik video dan gambar melibatkan vape. (Gambar: Penguasa Sains Kesihatan)
Ini menandakan peningkatan hampir 20 peratus berbanding tiga bulan pertama tahun ini, di mana lebih 3,100 orang ditangkap, menurut Kementerian Kesihatan (MOH) dan Penguasa Sains Kesihatan (HSA) dalam kenyataan media bersama pada Selasa (26 Ogos).
Kedua-dua Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) dan pasukan Home Team turut meningkatkan pemeriksaan penguatkuasaan di kem-kem tentera, pangkalan-pangkalan serta sekolah-sekolah latihan.
Kementerian Pertahanan (MINDEF) menyatakan dalam catatannya di laman Facebook pada Rabu bahawa pemeriksaan tersebut termasuk pemeriksaan beg bagi barang larangan dan bahan yang tidak dibenarkan, serta ujian air kencing.
Dalam catatan berasingan di Facebook, polis menyatakan bahawa pihaknya dan Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) sudah menjalankan pemeriksaan yang dipertingkat di sekolah-sekolah latihan di Akademi Home Team dan Akademi Pertahanan Awam.
Pemeriksaan itu dijalankan pada Ahad, bertepatan dengan masa di mana para pelatih melaporkan diri untuk latihan yang memerlukan mereka bermalam di kem.
KPOD
Vape yang dicampur dengan etomidate dikenali sebagai Kpod.
Pemerintah berhasrat untuk menyenaraikan agen anestetik itu ke dalam Akta Penyalahgunaan Dadah bermula 1 September, kata Menteri Kesihatan Ong Ye Kung.
Mengenai Kpod, MOH dan HSA menyatakan bahawa setakat 12 Ogos, 29 kes berhubung vape yang dicampur etomidate sudah dikesan.
Sembilan kes melibatkan import dan/atau penjualan, manakala selebihnya ada kaitan dengan penggunaan haram, tambah MOH dan HSA.
Pihak berkuasa menyatakan bahawa lima individu sudah didakwa atau berdepan tuduhan kerana mengimport dan/atau menjual Kpod.
MOH dan HSA turut menyorot satu kes melibatkan seorang lelaki yang didakwa pada 17 Julai kerana menghasilkan Kpod di rumah dengan niat untuk menjualnya.
Mohammed Akil Abdul Rahim, 41 tahun, dijatuhi hukuman penjara 16 bulan pada Selasa, dalam kes pertama seumpamanya.
Empat kes lain melibatkan lelaki berusia antara 19 dan 55 tahun, masih dalam siasatan atau sedang menjalani proses pendakwaan.
MEDIA SOSIAL
Lapan orang didenda antara 1 April hingga 30 Jun kerana memuat naik gambar atau video mereka bersama vape di media sosial.
Mereka dikenal pasti oleh HSA, dengan pihak berkuasa menyatakan bahawa “para pesalah sudah menghapuskan kandungan itu”.
Dalam salah satu kes tersebut, selepas menerima maklumat daripada media sosial, HSA pada 4 Jun menyerbu rumah dua orang remaja berusia 18 tahun yang dirakam sedang menghisap vape di sebuah kedai basikal di Kallang.
Dalam lawatan pada hari yang sama ke kedai tersebut, para pegawai turut menangkap dua lagi lelaki, masing-masing berusia 17 dan 29 tahun, yang sedang menghisap vape.
Keempat-empat mereka didenda di tempat kejadian.
HSA dan MOH sebelum ini manyatakan pada Mei bahawa 15 orang yang memuat naik gambar atau video vape di media sosial mereka antara Januari 2024 dan Mac 2025 sudah dikenal pasti dan didenda.
HSA juga melancarkan borang aduan online pada Julai untuk orang ramai melaporkan kegiatan haram berhubung vape.
Agensi itu kemudian menegaskan bahawa terdapat “peningkatan besar” dalam bilangan catatan media sosial yang menunjukkan individu menghisap vape di tempat awam.
Antara April hingga Jun, HSA menyatakan bahawa pihaknya sudah mendakwa 12 individu - lapan lelaki dan empat wanita berusia antara 17 dan 46 tahun - kerana menjual vape, dengan hukuman termasuk pemantauan, denda dan penjara.
Salah satu kes itu membawa kepada rampasan hampir 3,000 kilogram vape di Bishan dan Ubi, dan pihak berkuasa menambah bahawa seorang lelaki berusia 21 tahun sudah didakwa.
Selain itu, HSA mendakwa 31 pesalah - terdiri daripada lelaki dan wanita berusia antara 19 dan 64 tahun - gagal membayar denda, meningkat daripada 21 pada suku sebelumnya.
Pesalah-pesalah tersebut berdepan hukuman lebih berat, termasuk denda lebih tinggi dan/atau penjara.
HSA juga menyatakan bahawa pihaknya bekerjasama dengan platform e-dagang dan media sosial untuk menurunkan lebih 2,000 senarai online bagi vape dan komponennya, yang menunjukkan peningkatan sebanyak lima kali ganda berbanding 408 senarai yang diturunkan pada suku sebelumnya.
PUSAT-PUSAT PEMERIKSAAN
Antara April hingga Jun, Penguasa Imigresen & Pusat Pemeriksaan (ICA) meningkatkan usaha menyasar dan memprofil individu di pusat-pusat pemeriksaan bagi laluan udara, laut dan darat, di samping operasi bersama HSA.
Langkah tersebut berhasil membongkar 19 kes penyeludupan besar-besaran dan membawa kepada rampasan sekitar 90,000 vape dan produk berkaitan.
Lebih 850 vape turut dirampas di sempadan Singapura minggu lalu sebagai sebahagian daripada pemeriksaan yang diperketatkan itu.
“Pihak berkuasa mengekalkan pendirian tegas terhadap pelancong yang cuba membawa masuk produk tembakau yang terlarang ke Singapura, dengan hukuman termasuk denda bagi pesalah dan kemungkinan pendakwaan terhadap syarikat pengangkutan serta pemandu yang terlibat dalam pengimportan,” menurut MOH dan HSA.
“Warga asing yang sabit kesalahan di Singapura akan dihantar pulang selepas menjalani hukuman dan dilarang untuk masuk semula ke Singapura.”
HSA manyatakan pada Selasa bahawa ia akan terus bekerjasama rapat dengan agensi lain, seperti polis, Biro Narkotik Pusat (CNB), ICA, MINDEF, Lembaga Taman Negara (NParks) dan Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) untuk mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang mengimport, menjual, mengedar, memiliki, menggunakan atau membeli vape, khususnya yang dicampur etomidate.
“Tindakan sedemikian melanggar disiplin ketenteraan dan juga satu kesalahan sivil. Anggota tentera yang didapati memiliki vape atau barang terlarang lain akan dikenakan tindakan tegas, termasuk kemungkinan ditahan.”
Polis dan SCDF juga menyatakan pihaknya “bersikap tegas terhadap pemilikan dan penggunaan vape dan tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadap pegawai yang didapati memiliki vape”.
Pegawai yang bersalah akan dirujuk kepada HSA dan berdepan tindakan disiplin dalaman.
Dalam Ucapan Rapat Umum Hari Kebangsaan, Perdana Menteri Lawrence Wong menyentuh isu vape dan memaklumkan bahawa Singapura akan menanganinya sebagai “isu dadah”.
Beliau menambah bahawa pihak berkuasa akan mengenakan hukuman yang “jauh lebih berat”, termasuk hukuman penjara dan hukuman lebih tegas terhadap mereka yang menjual vape dengan bahan berbahaya.
Pembelian, pemilikan dan penggunaan vape adalah dilarang di Singapura. Ini termasuk pembelian secara online dan dari luar negara. Pesalah boleh didenda sehingga S$2,000.
Sesiapa yang sabit kesalahan mengimport, mengedar, menjual atau menawarkan untuk menjual vape atau komponennya boleh didenda sehingga S$10,000, dipenjara sehingga enam bulan atau kedua-duanya sekali.
Bagi kesalahan berulang, hukuman maksimum akan digandakan.
Mereka yang didapati memiliki atau menggunakan pod mengandungi etomidate boleh dipenjara sehingga dua tahun, didenda sehingga S$10,000 atau kedua-duanya sekali.
Namun dengan etomidate bakal diklasifikasikan sebagai Dadah Kelas C di bawah Akta Penyalahgunaan Dadah bermula 1 September, hukuman tersebut dijangka akan menjadi lebih berat.
“Ini akan membolehkan tindakan lebih tegas terhadap pembekal dan pengguna vape yang dicampur etomidate, sementara MOH menimbangkan pindaan undang-undang yang diperlukan untuk menangani etomidate dan bahan lain yang serupa,” tambah HSA dan MOH.
“Pengguna boleh berdepan pemantauan dan diwajibkan untuk menyertai program pemulihan, atau dimasukkan ke pusat pemulihan dadah. Pesalah juga boleh didakwa dan berdepan hukuman penjara atau sebatan.
"HSA dengan tegas memberi amaran kepada mereka yang menggunakan vape supaya menghentikan penggunaannya dengan segera.”
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.