Skip to main content

Singapura

Lebih 370 pembantu rumah hijrahan selesai jalani kursus tambahan bagi jagaan warga tua, bantuan kecemasan

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 21 Jun 2026 07:47PM Dikemas Kini : 27 Jul 2026 10:47AM
SINGAPURA: Lebih 370 pembantu rumah hijrahan selesai menjalani kursus tambahan meliputi penjagaan orang tua, kanak-kanak serta bantuan kecemasan.

Pusat Pekerja Hijrahan (CDE) melancarkan program rintis sedemikian sejak Mac tahun lepas, demi memenuhi keperluan jagaan yang berkembang.

Sedang penduduk Singapura semakin menua, lebih ramai keluarga yang memerlukan pembantu rumah yang mahir dalam menjaga warga senja atau mereka dengan demensia.

Menurut beberapa agensi, para majikan sanggup membayar sehingga 20 peratus lebih tinggi bagi amah dengan kemahiran khusus sedemikian.

Pengarah Urusan, We Are Caring Agency, David Bensadon berkata: "Kami saksikan semakin ramai keluarga yang sanggup menawarkan gaji lebih tinggi untuk mendapatkan seseorang dengan kelayakan beserta pensijilan atau pengalaman jagaan, kerana mereka tahu skop pekerjaan itu agak mencabar, dan ramai yang menghadapi kadar tukar ganti pembantu yang tinggi.

"Jadi mereka menghargainya sebagai faktor yang amat menjamin, dan faktor yang membawa kepada pengekalan yang lebih tinggi dan tempoh kerja lebih lama."

Lebih 200 pembantu rumah sudah pun menyertai program latihan rintis bagi penyakit demensia dan jagaan warga emas.

Salah seorang peserta mendedahkan, program sedemikian dapat bantu mempersiapkan dirinya untuk menyediakan jagaan bagi majikan yang lanjut usia.

Pembantu rumah Cik Lolie Ann Pacardo berkongsi: "Saya ambil kursus ini lebih awal, jadi saya bersedia supaya satu hari nanti jika datuk mengalami masalah ini, saya boleh menjaganya.

"Saya juga belajar banyak daripada kelas ini tentang sikap atau mood 'Ah Gong'."

Cik Pacardo berharap dapat terus mempertingkat kemahirannya, termasuk mempelajari bagaimana cara menggunakan alat-alat perubatan dengan lebih yakin.

CDE juga memperkenalkan program jagaan bayi dan kanak-kanak mulai Februari tahun ini.

Pengarah Segmen Pekerja Hijrahan NTUC Michael Lim berkata: "Ini sebenarnya tentang memberi keluarga fikiran yang tenang, dan juga memperkasakan saudari-saudari kita untuk meningkatkan keyakinan dalam bidang kerja mereka.

"Sedang kita melihat ke depan, kita akan terus mengukuhkan ekosistem ini, supaya kedua-dua pembantu rumah serta keluarga-keluarga yang disokong, mendapatkan sokongan lebih baik."

CDE berkongsi, ia akan terus mengembangkan program dan rangkaian sokongannya sedang keperluan jagaan terus berubah-ubah.
Sumber : CNA/QA/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita