Skip to main content

Singapura

Lebih 33% kanak-kanak berusia 9-11 tahun sudah daftar bagi vaksinasi COVID-19: MOE

Anggaran Waktu Membaca:
Lebih 33% kanak-kanak berusia 9-11 tahun sudah daftar bagi vaksinasi COVID-19: MOE

(Gambar: MCI)

Diterbitkan : 23 Dec 2021 11:06PM

SINGAPURA: Lebih satu daripada setiap tiga murid berusia sembilan hingga 11 tahun di Singapura sudah didaftarkan oleh ibu bapa atau penjaga mereka untuk mendapatkan suntikan  vaksin COVID-19.

Setakat 7.00 malam hari ini (23 Dis), kesemua slot vaksinasi bagi November sudah ditempah. 

Ini selepas sekitar 110,000 pelawaan SMS dihantar oleh Kementerian Pendidikan (MOE) pada Rabu (22 Dis) kepada ibu bapa atau penjaga murid Darjah 4 hingga Darjah 6 tahun depan untuk mendaftar bagi vaksinasi tersebut. 

Murid di sekolah rendah MOE dan madrasah layak bagi program suntikan vaksin itu. 

Sistem Janji Temu Nasional juga dibuka sehari lebih awal kepada 26 Dis untuk "memudahkan vaksinasi buat kanak-kanak kita", kata MOE dalam satu kenyataan malam ini. 

Ini bermakna mulai Ahad, semua ibu bapa atau penjaga kanak-kanak dilahirkan antara 2010 dengan 2012 boleh mendaftarkan minat mereka untuk mendapatkan vaksin bagi anak atau jagaan mereka di child.vaccine.gov.sg. 

Selepas membuat  pendaftaran itu, ibu bapa atau penjaga berkenaan akan menerima pautan melalui SMS dalam masa tiga hingga lima hari bekerja untuk menempah janji temu vaksinasi. 

Menurut MOE, kanak-kanak dilahirkan pada 2009 dan sudah berusia 12 tahun pada tarikh janji temu suntikan dos pertama akan dikehendaki  mengambil vaksin COVID-19 Pfizer-BioNTech. 

"Kanak-kanak ini boleh pergi ke semua 22 pusat vaksinasi yang menawarkan vaksin COVID-19 Pfizer-BioNTech tanpa perlu membuat janji temu dahulu dengan  ditemani seorang ibu atau bapa atau penjaga," kata kementerian tersebut. 

MOE menggesa  ibu bapa atau penjaga supaya mendaftarkan anak atau jagaan mereka bagi suntikan  vaksin selepas menerima pelawaan untuk berbuat demikian  supaya dapat memilih tarikh yang sesuai untuk menerima  vaksin. 

Dalam satu catatan di Facebook Menteri Pendidikan Chan Chun Sing berkata MOE menyaksikan "respons yang baik" bagi slot vaksinasi hujung minggu pada Januari 2022. 

"Terharu melihat ramai ibu bapa mengambil tindakan tegas untuk melindungi anak kita sedang kita  mengharungi cabaran pandemik yang berubah-berubah," tulisnya lagi.
 

Sumber : Today/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita