Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Lebih 3,200 karton rokok seludup dirampas di Loyang; 4 lelaki diberkas

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 31 Dec 2021 04:11PM Dikemas Kini : 31 Dec 2021 09:58PM

SINGAPURA: Lebih 3,200 karton rokok yang tidak dibayar cukai dirampas di sebuah unit perindustrian di Loyang Drive, menurut Kastam Singapura pada Jumaat (31 Dis).

Menurut pihak berkuasa, empat lelaki - tiga rakyat Singapura dan seorang warga Malaysia yang berusia antara 16 dengan 49 tahun diberkas.

Semasa operasi dilancarkan pada Selasa (28 Dis), para pegawai menahan seorang lelaki ketika dia sedang mendekati sebuah van berdaftar di Singapura selepas meninggalkan unit perindustrian itu.

"Secara serentak, para pegawai menyerbu dan menggeledah unit tersebut dan menemui seorang lagi lelaki yang sedang mengeluarkan rokok-rokok seludup yang disembunyikan dalam bingkai katil dan memasukkannya ke dalam sebuah beg kanvas," menurut Kastam Singapura dalam kenyataan medianya.

Sebanyak 3,232 karton rokok haram, sebuah lori dan van dirampas semasa operasi tersebut dilancarkan.

Jumlah duti dan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang cuba dielakkan masing-masing bernilai kira-kira $276,010 dan $22,140, ​​menurut agensi penguat kuasa itu.

Selain itu, lebih 1,000 kotak kelengkapan alat pengewap dan kira-kira 250 alat pengewap (alat vape) turut ditemui dalam bilik stor unit perindustrian tersebut.

Dua lagi lelaki kemudian ditangkap kerana disyaki terlibat dalam kes berkenaan.

Dua daripada para suspek sudah didakwa, manakala siasatan masih dijalankan terhadap dua suspek lain, menurut Kastam Singapura.

Membeli, menjual, menghantar, menyimpan, memiliki atau berurus niaga dengan barang-barangan yang tidak dibayar cukai adalah kesalahan yang serius di bawah Akta Kastam dan Akta Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), menurut agensi penguat kuasa itu.

Para pesalah boleh didenda sehingga 40 kali ganda jumlah cukai dan GST yang dielakkan, hukuman penjara sehingga enam tahun, atau kedua-duanya sekali.

Sumber : CNA/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan