Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Lebih 320 penduduk Jalan Besar sertai edisi ke-2 'Cinta Minda' untuk tingkatkan kesedaran kesihatan mental

Lebih 320 penduduk Jalan Besar berkumpul di Kelab Masyarakat Kolam Ayer pada Ahad (3 Nov) untuk edisi kedua 'Cinta Minda'.

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Lebih 320 penduduk Jalan Besar berkumpul di Kelab Masyarakat Kolam Ayer pada Ahad (3 Nov) untuk edisi kedua 'Cinta Minda'.

Ia bertujuan meningkatkan kesedaran tentang kesihatan mental, terutamanya dalam kalangan masyarakat Melayu/Islam.

Jumlah peserta tahun ini meningkat berbanding sekitar 200 penduduk tahun lalu.

"Acara sebegini adalah penting kerana ia mencerminkan bahawa kepentingan kesihatan mental ini di Singapura.Dengan adanya lebih ramai peserta pada tahun ini, ia menunjukkan bahawa kita peka atas isu dan cabaran kesihatan mental dan kita mahu menghadapinya secara berdepan," kata Anggota Parlimen GRC Jalan Besar, Dr Wan Rizal Wan Zakariah.
Acara itu turut disertai penasihat GRC Jalan Besar, termasuk Encik Heng Chee How dan Cik Denise Phua.

Dr Wan Rizal menyatakan harapannya agar acara seperti ini dapat memperkasakan keluarga-keluarga di kawasan tersebut.

"Yang penting mereka menggunakan ilmu yang didapati pada hari ini untuk mereka lebih peka tentang cabaran-cabaran dan isu tentang kesihatan mental daripada perspektif yang berbeza dari anak muda kepada orang tua, dan ibu dan bapa juga. Jadi, saya rasa adalah penting untuk mereka menggunakan ilmu ini secara praktikal untuk keluarga mereka," kata Dr Wan Rizal.

EDISI KEDUA TAMPILKAN SESI DIALOG

Tambahnya, sesi kali ini dianjurkan berdasarkan sambutan menggalakkan dan permintaan peserta tahun lalu.

Antara pembaharuan kali ini adalah sesi dialog yang meneroka kesihatan mental daripada pelbagai perspektif dan memberikan penduduk pemahaman yang lebih komprehensif mengenai topik tersebut.
Selama sejam, para peserta dan panelis, termasuk Ketua Pegawai Eksekutif MudaSG, Cik Sherlita Almeyra Sherhan, Jurulatih Bapa Sepanjang Hayat, Encik Yuzaimi Zainal, dan Pengasas Bersama Ibu Sepanjang Hayat, Cik Rahayu Ahmad Asi, rancak membincangkan isu-isu sosial, terutama yang melibatkan hubungan antara ibu bapa dan anak-anak belia.

"Kami telah ketengahkan cabaran dan tekanan dalam keluarga, antaranya tekanan dan cabaran yang dihadapi oleh para bapa, ibu dan belia di mana dengan kita bincangkan dan kita ketahui apakah cabaran dan tekanan yang dihadapi setiap anggota keluarga, dapat kita perkukuhkan lagi sokongan dalam keluarga untuk kesihatan mental," kata Pengerusi M³@Jalan Besar, Encik Didicazli Ismail yang juga memegang peranan selaku moderator.

DAPATAN DARI PERBINCANGAN DIGUNAKAN UNTUK BANTU PENDUDUK

Hasil perbincangan tidak terhenti di situ sahaja.

Encik Didicazli memberi jaminan bahawa pasukannya akan memperluaskan usaha untuk mendampingi dan membantu penduduk.

"Para sukarelawan M³ dan para sukarelawan daripada semua Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu (MAEC) di Jalan Besar GRC akan mengeratkan lagi hubungan dengan para penduduk dan keluarga-keluarga di Jalan Besar GRC untuk sama-sama kita menyokong kesihatan mental keluarga mendengar kisah mereka mendengar rintihan mereka seandainya ada dan mengadakan sokongan yang holistik, kesihatan fizikal dan juga kesihatan mental dalam program-program yang yang diadakan dalam GRC Jalan Besar, ujarnya.
Edisi tahun ini juga menampilkan segmen teater interaktif - 'Selangkah Bersama'.

Dalam persembahan yang mengangkat tema kesejahteraan mental anak-anak, para penonton diajak untuk memberikan saranan yang akan memandu jalan cerita.

Melalui pengalaman itu, peserta dapat melihat kesan pilihan mereka terhadap watak anak tersebut.

Selain itu, peserta juga diajak menyertai senaman Zumba secara berkumpulan dan mendapatkan tip-tip mengenai kesihatan serta kesejahteraan mental melalui gerai yang disediakan oleh beberapa pertubuhan, termasuk Lembaga Penggalak Kesihatan (HPB), Kementerian Kesihatan (MOH), dan Yayasan MENDAKI.
Sumber : BERITA Mediacorp/SY
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan