Skip to main content

Singapura

Lebih 3,000 kakitangan barisan hadapan SBS Transit dilatih bantu penumpang kurang upaya

Lebih 3,000 kakitangan barisan hadapan SBS Transit telah dilatih untuk membantu para penumpang kurang upaya dengan lebih baik.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Lebih 3,000 kakitangan barisan hadapan SBS Transit telah dilatih untuk membantu para penumpang kurang upaya dengan lebih baik.

Bagi penumpang yang kurang daya penglihatan, misalnya, kakitangan dilatih untuk menawarkan lebih banyak bimbingan lisan untuk menunjukkan arah jalan.

Kapten-kapten bas menjalani latihan berasaskan pengalaman yang diadakan di Enabling Village, iaitu sebuah ruang inklusif yang menempatkan perniagaan sosial dan khidmat-khidmat masyarakat. Tema-tema utama untuk sesi dua jam itu adalah hormat dan keizinan. 

"Kapten-kapten bas kami melalui senario di mana mata mereka ditutup. Mereka juga bertongkat dan berkerusi roda supaya mereka dapat mengalami sendiri menjadi seorang individu kurang upaya dan bagaimana perasaan mereka," kata Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SBS Transit Jeffrey Sim.

"Mereka kemudian dapat mengalami dengan lebih baik dan menunjukkan rasa empati, lalu dapat memberi nasihat dengan lebih baik serta memastikan perjalanan penumpang suatu pengalaman yang menyenangkan."

Ini hanya salah satu modul dalam sebuah program lebih meluas bagi mewujudkan budaya prihatin dalam kalangan pemandu bas.

SBS Transit juga menjalankan sebuah program Rakan Perjalanan, di mana kakitangan terlatih akan menemani penumpang yang kurang upaya.

BAGAIMANA TAWARKAN BANTUAN

Latihan adalah penting kerana terdapat etika dalam menghulurkan bantuan, yang mana orang ramai mungkin terlupa dalam keterujaan mereka untuk membantu, kata Cik Chia Ai Ling daripada SG Enable, sebuah agensi tumpuan bagi golongan kurang upaya di Singapura.

Menurut SG Enable, latihan yang dikendalikannya bertujuan memberi lebih keyakinan kepada individu dalam berinteraksi dengan golongan kurang upaya selain meningkatkan kesedaran serta pemahaman mereka.

Pada masa hadapan, SBS Transit menyatakan lebih banyak boleh dilakukan untuk meningkatkan prasarana sedia ada di tempat-tempat perhentian bas dan stesen-stesen kereta api.

"Kami akan bekerjasama dengan Penguasa Pengangkutan Awam (LTA) untuk melihat bagaimana prasarana itu boleh dipertingkatkan bagi membantu perjalanan golongan kurang upaya di pusat pertukaran bas serta stesen-stesen kereta api," kata Encik Sim.

"Kami juga sedang bekerjasama dengan para pembekal untuk cuba melaksanakan dan memanfaatkan huraian teknologi."

Salah satu huraian tersebut adalah 'wayfinding' atau mencari jalan yang dapat lebih membantu golongan kurang daya penglihatan untuk mengemudi sekitaran mereka dengan lebih baik.

Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita