Lebih 300 jurutera, teknisyen baiki kerosakan 'besar' di Laluan Timur-Barat: Chee Hong Tat
Menteri Pengangkutan Chee Hong Tat ke depoh Ulu Pandan, di mana para jurutera dan juruteknik berusaha menjalankan kerja-kerja membaiki landasan dan peralatan yang rosak. (Gambar: Facebook/Chee Hong Tat)
Pada Rabu (25 Sep), satu komponen terjatuh dari MRT generasi pertama, mengakibatkan apa yang digambarkan oleh pihak berkuasa sebagai "kerosakan besar" pada landasan kereta api dan peralatan antara stesen MRT Clementi dengan Dover.
Ini, seterusnya, menyebabkan gangguan tenaga yang membawa kepada gangguan pada Laluan Timur-Barat, salah satu daripada dua laluan asal yang dibina pada tahun 1980-an.
Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) dan pengendali rel SMRT awalnya berharap dapat memulihkan sebahagian khidmat pada Jumaat (27 Sep).
Namun pada lewat Khamis (26 Sep), mereka mengumumkan bahawa gangguan itu akan berlanjutan buat hari ketiga.
"Sepanjang 40 jam yang lalu, lebih 300 jurutera dan teknisyen kami dari LTA dan SMRT bekerja siang dan malam untuk melakukan kerja-kerja pembaikan, selain menjalankan pemeriksaan pada landasan dan peralatan yang rosak," kata Encik Chee semasa ke depot Ulu Pandan.
"Memandangkan kerosakan ini sangat besar, mereka perlu melakukannya dengan berhati-hati dan ini memerlukan banyak masa," jelasnya lagi, sambil menambah bahawa tugas tersebut sangat mencabar.
"Maka itu, (para pekerja) perlu bertungkus lumus membawa peralatan baharu lalu menggantikan segmen rel yang rosak," ujar Encik Chee.
Para pekerja juga perlu membaiki rel ketiga dan kabel kuasa yang membekalkan tenaga kepada kereta api mahupun mesin suis (point machine), yang memerlukan penentukuran dan penjajaran yang teliti, tambahnya.
"Mereka sedang melakukan yang terbaik untuk memulihkan sepenuhnya perkhidmatan kereta api dengan secepat mungkin, atau untuk melakukannya dengan selamat, selain menjalankan pemeriksaan mahupun ujian yang diperlukan untuk memastikan apabila kami menyambung semula perkhidmatan kereta api, ia akan selamat untuk penumpang."
Menerusi satu catatan Facebook pada awal pagi tadi (27 Sep), Encik Chee juga mengucapkan terima kasih kepada para penumpang atas "pengertian yang baik dan rasa prihatin terhadap pekerja kami."
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.