Skip to main content

Singapura

Lebih 300,000 baucar pengangkutan awam bernilai S$15 juta diagih kepada keluarga bergaji rendah

Lebih 300,000 baucar pengangkutan awam bernilai lebih S$15 juta sudah diagihkan kepada keluarga berpendapatan rendah, menurut Kementerian Pengangkutan (MOT) dan Persatuan Rakyat (PA) pada Jumaat (18 Dis).

Anggaran Waktu Membaca:
Lebih 300,000 baucar pengangkutan awam bernilai S$15 juta diagih kepada keluarga bergaji rendah

Gambar fail sebuah bas SBS Transit. (Gambar: Francine Lim)

Diterbitkan : 18 Dec 2020 12:18PM Dikemas Kini : 18 Dec 2020 12:21PM

SINGAPURA: Lebih 300,000 baucar pengangkutan awam bernilai lebih S$15 juta sudah diagihkan kepada keluarga berpendapatan rendah, menurut Kementerian Pengangkutan (MOT) dan Persatuan Rakyat (PA) pada Jumaat (18 Dis).

Setiap baucar pengangkutan awam itu bernilai S$50 dan ia boleh digunakan untuk menokok nilai kad tambang atau membeli pas konsesi bulanan.

Baucar-baucar itu diagihkan di bawah Urusan Baucar Pengangkutan Awam 2019 yang dilanjutkan sejak dilancarkan pada 11 November tahun lalu, menurut kenyataan media MOT dan PA.

Ini termasuk kumpulan pertama baucar pengangkutan awam yang diagihkan secara langsung kepada keluarga-keluarga berpendapatan rendah di bawah skim bantuan jangka pendek hingga sederhana dan Bantuan Jangka Panjang ComCare di bawah naungan Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF).

Keluarga-keluarga yang layak diberikan tempoh sehingga 31 Januari 2021 untuk memohon baucar pengangkutan awam dan semua baucar yang diagihkan mesti ditebus selewat-lewatnya pada 30 Jun tahun depan.

Sesebuah keluarga dianggap layak sekiranya pendapatan mereka dari semua sumber setiap orang tidak melebihi S$1,200.

Pendapatan keluarga dari semua sumber merujuk kepada pendapatan tetap daripada pekerjaan dan perniagaan, serta pendapatan daripada pelaburan, sewa dan sumber lain seperti duit pencen dan sumbangan tunai daripada saudara-mara yang tidak tinggal serumah. Ini juga termasuk agihan Pemerintah secara berkala seperti Tambahan Pendapatan Daya Kerja (WIS).

Para keluarga yang layak tetapi belum membuat permohonan digalakkan supaya melakukannya di balai rakyat atau kelab masyarakat berdekatan sebelum permohonannya ditutup.

Kenyataan itu turut mendedahkan bahawa Jawatankuasa Perundingan Rakyat (CCC) akan menilai dan membantu kes-kes yang mungkin terlepas sedikit syarat-syarat kelayakan atau memberikan baucar pengangkutan awam tambahan kepada keluarga-keluarga yang mungkin memerlukan lebih banyak bantuan.

Sekitar 30,000 keluarga berpendapatan rendah di bawah skim bantuan jangka pendek hingga sederhana dan Bantuan Jangka Panjang ComCare akan layak mendapat baucar secara automatik dan menerima surat penebusan secara langsung melalui pos. Mereka memerlukan surat dan kad pengenalan NRIC mereka untuk menebus baucar-baucar tersebut.

Langkah ini akan menyokong keluarga-keluarga berpendapatan rendah yang lebih terjejas akibat kegawatan ekonomi yang disebabkan oleh pandemik COVID-19.

Surat baucar pengangkutan awam akan dikeluarkan melalui dua kumpulan. Agihan pertama dijalankan pada pertengahan Disember, iaitu untuk penerima ComCare yang mendapat bantuan jangka pendek hingga sederhana atau bantuan jangka panjang setakat sehingga 31 Ogos tahun ini.

Agihan kedua pula akan dijalankan secara berperingkat mulai pertengahan Mac tahun depan. Ini akan membantu penerima ComCare yang bukan sebahagian daripada agihan pertama dan akan mendapat bantuan jangka pendek hingga sederhana atau bantuan jangka panjang pada 31 Januari tahun depan.

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita