Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Lebih 30% remaja sering atau kadangkala main permainan online dengan orang tidak dikenali: MCI

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 13 Feb 2024 02:30PM Dikemas Kini : 13 Feb 2024 08:58PM
SINGAPURA: Lebih 30 peratus remaja sering atau kadangkala bermain permainan online dengan individu tidak dikenali.

Demikian menurut tinjauan Kementerian Perhubungan dan Penerangan (MCI).

Lebih 10 peratus juga berkomunikasi dengan individu tidak kenali di luar permainan, kemungkinan besar mendedahkan remaja tersebut kepada pemangsa dewasa dan penipuan online, dedah MCI.

Dapatan yang dikeluarkan pada Selasa (13 Feb) yang diperolehi daripada tinjauan yang dijalankan dari pintu ke pintu melibatkan 810 remaja warga Singapura, dan ibu bapa mereka, bermula pada Oktober 2022 hingga Februari 2023.

Remaja tersebut yang berusia antara 10 dengan 18 tahun bermain permainan online sekurang-kurangnya sebulan sekali.

Tinjauan itu bertujuan untuk memahami tabiat permainan antara remaja dan kesedaran ibu bapa serta usaha untuk mengurus kesan permainan tersebut terhadap kesejahteraan anak-anak mereka.

Meskipun majoriti responden (64 peratus) tidak pernah atau jarang bermain permainan online dengan individu tidak dikenali, 36 peratus sering atau kadang-kadang melakukannya.

Kira-kira 14 peratus bercakap dengan individu tidak dikenali tentang topik selain permainan, berkongsi butiran peribadi, atau bertemu mereka di luar.

Hampir separuh daripada remaja yang ditinjau bermain permainan setiap hari, selama sekurang-kurangnya dua jam pada setiap sesi permainan.

Tinjauan itu juga mendapati bahawa 17 peratus remaja berusia 13 hingga 18 tahun pernah dibuli pemain lain. Hanya lapan peratus yang memberitahu ibu bapa mereka tentang kejadian yang berlaku, manakala hampir separuh tidak mengambil sebarang tindakan.

Dalam kumpulan usia yang sama, sekitar 38 peratus pernah menyaksikan kandungan kesat atau ganas dalam permainan. Mereka yang bermain permainan menembak "lebih cenderung untuk menemui kedua-dua kandungan berbahaya itu".

"Tinjauan MCI bertujuan untuk menunjukkan perlunya meningkatkan kesedaran ibu bapa kepada aktiviti permainan anak-anak mereka, dan menggalakkan remaja untuk mengambil tindakan lebih baik terhadap kelakuan mereka ketika bermain."

KESEDARAN IBU BAPA, INISIATIF BAHARU

Kebanyakan ibu bapa tidak sedar tentang kegiatan permainan anak-anak mereka. Hanya separuh daripada mereka dapat memberi anggaran yang tepat pada waktu yang diluangkan anak mereka pada permainan.

Sementara itu, 31 peratus sedar siapa yang bermain dengan anak mereka, manakala 25 peratus tidak sedar langsung.

Ibu bapa yang lebih prihatin tentang tabiat permainan anak-anak mereka didapati lebih cenderung untuk mengurus aktiviti tersebut, termasuk menetapkan had waktu permainan (54 peratus) dan menggunakan wadah kawalan untuk ibu bapa (22 peratus).

Sungguhpun demikian, bagi remaja yang ditetapkan had waktu permainan oleh ibu bapa, 24 peratus berbohong kepada ibu bapa mereka tentang waktu sebenar yang diluangkan.

Untuk meningkatkan keselamatan online bagi pengguna warga Singapura, terutamanya golongan remaja, Menteri Perhubungan dan Penerangan Josephine Teo mengumumkan inisiatif baharu pada sebuah sesi pelibatan awam pada Selasa (13 Feb), bagi menyokong Hari Internet Lebih Selamat.

MCI menarik perhatian bahawa Penguasa Pembangunan Infokom Media (IMDA) akan memperkenalkan "bahan bersaiz kecil" baharu, untuk membantu ibu bapa dalam membimbing anak-anak mereka melayari internet "dengan lebih selamat dan bertanggungjawab".

Bahan tersebut akan diedarkan secara berperingkat bermula Februari di portal Digital untuk Kehidupan (DfL), termasuk laman Keluarga Seumur Hidup Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) dan Gerbang Ibu Bapa (PG) Kementerian Pendidikan (MOE).

MCI menyatakan sumber tersebut akan disusun mengikut umur dan pencapaian digital, seperti telefon pintar pertama kanak-kanak, akaun media sosial atau permainan online.

Selain itu, terdapat bengkel, webinar dan aktiviti-aktiviti keluarga yang akan dianjurkan rakan kongsi Digital untuk Kehidupan.
Sumber : CNA/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan