Lebih 30% peguam baharu mungkin tinggalkan kerjaya dalam masa 3 tahun: Hakim Besar
Sekitar satu daripada tiga peguam yang baru diterima masuk di Singapura mungkin meninggalkan kerjaya itu dalam masa tiga tahun, dengan beban kerja yang berat, budaya tempat kerja yang lemah dan kekurangan bimbingan antara sebab utama, kata Hakim Besar Sundaresh Menon pada Isnin (20 Apr).
"Terdapat banyak sebab, tetapi saya dapat katakan antara yang paling ketara adalah kerumitan yang semakin meningkat dalam kerja undang-undang, baik dalam undang-undang sendiri dan sekitaran di mana para peguam bekerja," kata Hakim Besar Menon dalam ucapannya di auditorium Mahkamah Tinggi semasa Majlis Penerimaan Masuk Peguam tahun ini.
Dalam ucapannya yang mengalu-alukan penerimaan masuk 321 peguam baharu dalam tiga sesi pada Isnin dan Selasa, Hakim Besar Menon menggariskan beberapa cabaran yang dihadapi oleh sektor undang-undang, sambil mengulangi keprihatinan yang disampaikan dalam ucapannya sebelum ini.
Tahun ini, beliau menekankan dua keprihatinan khusus bagi peguam yang diterima masuk pada masa yang berubah-ubah iaitu perkembangan pesat kecerdasan buatan (AI) dan kemampanan amalan undang-undang.
KESAN AI TERHADAP PERANAN JUNIOR
Kebimbangan terhadap jumlah peguam yang meninggalkan kerjaya itu muncul ketika kerjaya tersebut melalui perubahan pesat didorong oleh teknologi.
Menukil tinjauan yang dijalankan dalam kalangan peguam-peguam baharu, Hakim Besar Menon berkata 92 peratus responden sudah pun menggunakan AI dalam tugas mereka.
Dalam tinjauan sama, sepertiga responden menyatakan mereka berkemungkinan akan meninggalkan kerjaya itu sepenuhnya dalam masa tiga tahun akan datang.
Walaupun AI boleh meningkatkan kecekapan, ia juga mungkin membentuk semula peranan peringkat permulaan ini dengan mengurangkan keperluan untuk tugas rutin - seperti penyelidikan dan penyediaan draf - yang pernah dianggap sebagai latihan asas untuk peguam muda, kata Hakim Besar Menon.
KEMAMPANAN KERJAYA DALAM UNDANG-UNDANG
Gangguan teknologi dan kerumitan tugas undang-undang yang semakin bertambah boleh menjejas kemampanan kerjaya tersebut.
"Perkembangan itu adalah penting kerana kesannya mendalam. Ia menjejas sama ada individu berbakat akan tertarik kepada kerjaya itu dan sama ada mereka akan kekal dalam kerjaya tersebut," katanya.
Beliau menambah faktor-faktor itu juga menjejas prestasi pekerjaan mereka, kemampanan kesejahteraan mental mereka dan "sama ada standard etika kerjaya itu dapat menangani tekanan yang dihadapi oleh ramai peguam sekarang".
Dengan latar belakang tersebut, kepimpinan dalam pertubuhan itu - termasuk kelakuan, jangkaan dan budaya yang dipupuk - adalah penting dalam membentuk cara peguam menjalankan amalan mereka, kata Hakim Besar Menon.
Sebagai respons, sektor perundangan sedang memperkenalkan inisiatif untuk mengukuhkan pembangunan profesional, membangunkan kecekapan teknikal dalam penggunaan AI dan memupuk amalan tempat kerja yang lebih mampan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.