Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Lebih 30% orang Melayu berusia 60 tahun ke atas hidap kencing manis

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Lebih banyak usaha termasuk saringan kesihatan perlu diadakan bagi warga emas agar mereka dapat memantau keadaan kesihatan masing-masing.

Ini juga bagi menangani trend membimbangkan berkaitan kadar penghidap kencing manis dalam kalangan warga emas Melayu.

Lebih 30 peratus daripada mereka yang berusia 60 tahun ke atas menghidap penyakit tersebut.

Demikian didedahkan Setiausaha Parlimen Kesihatan Rahayu Mahzam dalam satu
wawancara berkenaan perbahasan Jawatankuasa Peruntukan kementerian tersebut.

KADAR NASIONAL KENCING MANIS STABIL, NAMUN KADAR MASYARAKAT MEMBIMBANGKAN

Beliau menarik perhatian kadar nasional bagi mereka yang menghidap penyakit kencing manis kekal stabil iaitu pada kadar 7.9 peratus daripada 2017 hingga 2020.

Namun, kadar penghidap kencing manis dalam kalangan masyarakat Melayu tetap membimbangkan.

"Kita dapat lihat yang satu daripada tiga orang berbangsa Melayu yang berumur 60 tahun ke atas menghidap penyakit kencing manis. Jadi ini juga menandakan angka yang merisaukan dalam masyarakat kita khususnya.

"Jadi kita harus pertingkatkan usaha untuk memastikan adanya saringan kesihatan agar mereka dapat mengetahui tentang keadaan kesihatan mereka dengan lebih awal. Mereka jaga pemakanan mereka, jaga aktiviti fizikal mereka dan sebagainya," kata Cik Rahayu.

Seorang lelaki merokok di tempat awam. (Gambar: Gaya Chandramohan)

KADAR PEROKOK MELAYU TUNJUK KEMAJUAN, NAMUN MASIH PERLU USAHA

Dalam pada itu, usaha menggalak masyarakat membuang tabiat merokok kian menunjukkan hasil dengan kadar merokok dalam masyarakat Melayu terus merosot - daripada 25 peratus pada tahun 2017, kepada 20 peratus dalam perangkaan terkini.

Usaha menurunkan kadar merokok kian menunjukkan hasil namun lebih banyak perlu dilakukan bagi mengurangkan lagi jumlah perokok di sini.

Ini termasuk bagi perokok Melayu yang turut menunjukkan kemajuan berbanding perangkaan yang dicatatkan pada 2017.

"Peratusannya adalah satu dalam empat yang merokok tapi kini dalam tahun 2020 kita lihat satu dalam lima orang yang merokok, jadi adalah peningkatan hasil daripada usaha yang telah dijalankan pada masa lalu tetapi tentu sekali usaha ini harus dipertingkatkan," kata Cik Rahayu.

Namun demikian, dalam ucapannya di parlimen baru-baru ini, Cik Rahayu membangkitkan tentang budaya 'vaping' sebagai trend yang meningkat di seluruh dunia.

"Ini adalah sesuatu yang kita lihat dalam kalangan anak-anak muda. Ini sebenarnya membimbangkan kerana ia akan membawa kepada ketagihan nikotin yang juga akan membawa kepada ketagihan merokok. Jadi ini yang harus kita banteras, jadi kita harus adakan usaha juga untuk meningkatkan pendidikan awam tentang hal ini," tejkan CIk Rahayu.

Bagi menangani trend membimbangkan ini, pelbagai langkah juga akan dilaksanakan termasuk meningkatkan rangka kerja denda bagi 'vaping' dan meningkatkan kesedaran tentang bahaya 'vaping' melalui kempen khusus.

(Gambar hiasan: Anupam Mahapatra/Unsplash)

KUMPULAN KERJA DITUBUHKAN; BERI TUMPUAN 5 ASPEK KHUSUS

Cik Rahayu juga menarik perhatian bahawa Kumpulan Kerja Jangkauan Masyarakat Melayu (MCO) sudahpun ditubuhkan bagi memberi tumpuan kepada lima aspek khusus.

"Yang pertama adalah pemakanan. Kedua, aktiviti fizikal tentang bagaimana untuk kekal aktif. Ketiga adalah bagaimana untuk mencegah penggunaan merokok. Keempat adalah melihat bagaimana mereka boleh pergi melakukan pengesanan dengan lebih kerap dan kelima adalah kesihatan mental.

"Jadi dalam lima-lima aspek ini kita juga akan mengadakan aktiviti khusus, bekerjasama dengan badan Melayu/Islam dan juga agensi-agensi lain untuk memastikan kita dapat mengadakan program yang lebih padat, lebih bersesuaian untuk masyarakat kita," kata Cik Rahayu.

Tahun ini, Lembaga Penggalakan Kesihatan (HPB) akan meluaskan jangkauan MCO dengan bekerjasama dengan semua MAEC.

HPB juga akan bekerjasama dengan lebih banyak MAEC, masjid dan pertubuhan Melayu/Islam bagi menggalakkan tabiat pemakanan lebih sihat pada bulan Ramadan tahun ini.

Usaha-usaha ke arah gaya hidup yang lebih sihat ini kini juga boleh memanfaatkan Dana Singapura Kita Yang Sihat bernilai $1.5 juta dengan kerjasama HPB dan MCCY.

(Gambar: Jason Tuinstra/Unsplash)

KURANGKAN PENGAMBILAN SODIUM

Pemakanan lebih sihat juga giat ditingkatkan dengan usaha mengurangkan pengambilan sodium.

Ini terutama sekali semasa membubuh garam ke dalam makanan.

"Kalau kita lihat masyarakat kita rata-rata masyarakat Singapura mengambil 3.6 gram sodium setiap hari. Ini sebenarnya lebih daripada dua kali ganda yang disarankan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), iaitu kurang daripada 2 gram sehari - bermakna dalam satu hari itu, mengambil satu setengah sudulah garam.

"Pengambilan sodium yang tinggi akan membawa kepada darah tinggi dan ini juga akan membawa kepada komplikasi yang lain seperti angin ahmar, juga serangan jantung dan sebagainya. Ini juga satu perkara yang kita harus berikan perhatian yang lebih khusus," kata Cik Rahayu.

Bagi menangani pengambilan sodium berlebihan, HPB antara lain menggalak penggunaan garam rendah sodium sebagai alternatif dan pendidikan awam bagi meningkatkan kesedaran orang ramai.

Sumber : BERITA Mediacorp/IM/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan