Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Lebih 30,000 ibu bapa hadiri Program Keibubapaan Positif: MSF

Lebih 30,000 ibu bapa telah meraih manfaat daripada Program Keibubapaan Positif, yang mengajar mereka kaedah menguruskan tingkah laku anak-anak mereka, kata Setiausaha Parlimen Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga Eric Chua pada Rabu (3 Mac).

Anggaran Waktu Membaca:
Lebih 30,000 ibu bapa hadiri Program Keibubapaan Positif: MSF

(Gambar: Mediacorp)

Diterbitkan : 03 Mar 2021 12:43PM Dikemas Kini : 03 Mar 2021 12:48PM

SINGAPURA: Lebih 30,000 ibu bapa telah meraih manfaat daripada Program Keibubapaan Positif, yang mengajar mereka kaedah menguruskan tingkah laku anak-anak mereka, kata Setiausaha Parlimen Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga Eric Chua pada Rabu (3 Mac).

Program "berasaskan bukti" itu juga dikenali sebagai Triple P, dirintis buat pertama kali pada 2014 dan sejak itu diperkenalkan di sekolah-sekolah dan agensi-agensi khidmat sosial merata negara.

Ia kini tersedia menerusi platform e-pembelajaran atau Zoom, di tengah-tengah pandemik COVID-19.

"Triple P terbukti berkesan, dengan para ibu bapa melaporkan pengurangan sekitar 20 peratus dalam kedua-dua skor tingkah laku bermasalah anak-anak mereka dan skor tekanan keibubapaan tiga bulan selepas selesai program ini," kata EncikChua.

Program keibubapaan itu adalah salah satu cara kementerian itu berusaha untuk meningkatkan kesedaran tentang kesihatan mental belia, dan memberi persediaan lebih baik kepada ibu bapa untuk menyokong para belia ini, kata Encik Chua, semasa menjawab pertanyaan parlimen oleh AP Carrie Tan (PAP-Nee Soon).

Usaha ini dilakukan terutamanya sedang pandemik COVID-19 "menimbulkan cabaran baru dan menggariskan pentingnya memperkukuh kesihatan dan kesejahteraan mental golongan belia kami", katanya.

Encik Chua juga mengambil perhatian bahawa sumber rujukan digital tambahan dibangunkan di tengah-tengah pandemik untuk menyokong para ibu bapa. Ini termasuk laman web khusus yang menyediakan sumber dan peralatan untuk para pengasuh.

Bagi keluarga yang memerlukan lebih banyak bantuan, khidmat kaunseling online ditubuhkan pada April tahun lalu oleh kementerian itu dan Hab Psikologi Masyarakat.

Khidmat tersebut membantu lebih 1,200 klien tahun lalu, kata Encik Chua.

"Kami akan terus bekerjasama dengan agensi-agensi dan rakan-rakan masyarakat lain untuk membantu para ibu bapa menyokong kesihatan dan kesejahteraan mental anak-anak mereka dengan lebih baik," katanya.

Sumber : CNA/TQ/tq

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa